- Advertisement -spot_img
4,842
published news
and counting

Strategi Pembangunan Pasca COVID-19

Must read

RAKAN 3Q2021-6

Sarawak mempunyai sasaran menjadi negeri maju menjelang 2030 bersama rakyatnya yang dipacu oleh data dan inovasi serta menikmati kemakmuran ekonomi secara inklusif dalam persekitaran yang lestari.

Bagi merealisasikannya, saiz ekonomi negeri ini perlu digandakan daripada RM136 bilion pada 2019 kepada RM282 bilion pada 2030.

Inilah antara aspirasi yang terkandung dalam pelan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030 yang dilancarkan oleh Ketua Menteri YAB Datuk Patinggi (Dr.) Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Haji Openg pada 22 Julai 2021.

Pelan Pembangunan Strategi Pasca COVID-19 menggariskan enam sektor utama yang akan memacu pertumbuhan ekonomi Sarawak

Pelan tersebut turut menggariskan tujuh teras strategik yang akan mempercepatkan pembangunan ekonomi Sarawak.

Yang pertama, mentransformasi ekonomi Sarawak kepada lebih berdaya saing dengan meningkatkan produktiviti, membangunkan lebih banyak aktiviti hiliran bernilai tinggi serta mewujudkan industri baharu dengan penglibatan sektor swasta.

Kedua, memudahkan perniagaan bagi pelaburan domestik (DDI) dengan matlamat menjadikan Sarawak destinasi pelaburan pilihan untuk pelaburan langsung asing (FDI).

Ketiga, berbelanja untuk kawasan yang memberi kesan paling banyak terhadap ekonomi, sosial dan alam sekitar dengan menyediakan kemudahan akses jalan raya ke hab ekonomi dan sosial yang akan merangsang aktiviti sosioekonomi dan taraf hidup rakyat.

Keempat, mengoptimum penggunaan aset dan pembiayaan kerajaan serta membangunkan modal insan bagi menyokong pembangunan sosioekonomi.

Pembangunan modal insan menjadi pemboleh ubah yang menyokong pertumbuhan ekonomi Sarawak

Kelima, mempercepatkan penggunaan data dan digital untuk menjana hasil dengan mewujudkan liputan rangkaian telekomunikasi dan infrastruktur di seluruh negeri.

Keenam, memacu faedah ekonomi dan sosial semua rakyat Sarawak termasuk menyediakan infrastruktur asas dan inisiatif bersepadu bagi membantu meningkatkan pendapatan isi rumah dengan memberi tumpuan kepada penduduk miskin.

Teras strategik ketujuh melibatkan langkah mengimbangi pertumbuhan ekonomi dengan kelestarian alam sekitar melalui inisiatif utama seperti mengekalkan liputan hutan lebih daripada 50 peratus dan inisiatif teknologi hijau.

Pelan tersebut turut memperincikan enam sektor utama sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi, iaitu Pembuatan, Pertanian Komersial, Pelancongan, Perhutanan, Perlombongan dan Perkhidmatan Sosial.

Sektor pembuatan akan mempromosi Sarawak sebagai destinasi pelaburan pilihan utama sama ada untuk domestik dan asing terutama dalam aktiviti hiliran bernilai tinggi untuk industri berasaskan sumber dan bukan berasaskan sumber.

Usaha ini dilakukan dengan membangunkan ekosistem yang efisien seperti taman perindustrian yang dilengkapi dengan infrastruktur industri untuk pelaburan swasta.

Antara inisiatif yang dijalankan termasuklah membangunkan Hab Petrokimia, meluaskan kawasan Taman Teknologi Tinggi Samajaya, Taman Perindustrian Bio dan Taman Perindustrian Perabot.

Pada masa yang sama, program keusahawanan yang melibatkan komuniti setempat akan diperbanyakkan bagi meningkatkan penglibatan perniagaan komuniti, khususnya dalam industri kecil dan sederhana (SME).

Program keusahawanan akan diperbanyakkan bagi meningkatkan penglibatan komuniti dalam perniagaan

Bagi mencapai sasaran sebagai pengeksport makanan menjelang 2030, Sarawak akan memanfaatkan pertanian moden dan perkongsian global dalam usaha membangunkan sektor pertanian komersial.

Pertanian komersial akan menarik pelaburan swasta bagi mempercepat produktiviti dan pertumbuhan yang akan menyediakan bahan makanan yang bernilai untuk pemprosesan makanan hiliran bernilai tambah tinggi, terutama untuk pasaran eksport.

Usaha ini akan dicapai melalui inisiatif utama seperti membangunkan taman agro, membangunkan produk hiliran bernilai tinggi seperti olekimia dan menjalankan program pertanian pintar.

Menjelang 2030, Sarawak menyasar untuk menjadi destinasi eko pelancongan dan tempat pertemuan dalam acara perniagaan di rantau Asia Tenggara.

Lebih banyak aset dan produk pelancongan akan dibangunkan, disokong oleh peningkatan kesalinghubungan industri pelancongan serta keupayaan pemain pelancongan tempatan.

Promosi segmen budaya, pengembaraan, alam (CAN), makanan dan festival akan diperhebatkan selain mempelbagaikan fokus pelancongan seperti pelancongan dalam segmen kesihatan, sukan, agro dan pendidikan.

Melalui inisiatif ini, Sarawak menjangkakan peningkatan kedatangan pelancong pada 7.5 peratus setahun.

Bagi sektor perhutanan, amalan pengurusan dan pengawasan hutan akan fokus pada mengimbangi kadar penebangan dan pertumbuhan hutan dan meningkatkan hasil produk dan servis yang diperolehi daripada hutan.

Antara inisiatif yang akan dilaksanakan termasuklah menanam semula 200,000 hektar kawasan hutan usang, melaksanakan Program Kredit Karbon, membangunkan penanaman buluh dan industri berasaskan buluh.

Untuk sektor perlombongan, penerokaan sumber mineral lain seperti pasir silika, nadir bumi (rare earth elements) dan tanah liat kaolin untuk aktiviti hiliran bernilai tinggi akan dijalankan.

Pemetaan geologi dilengkapi maklumat terperinci seperti lokasi, jumlah simpanan dan nilai mineral akan dibangunkan dan kerajaan juga akan merancang model perniagaan untuk memudahkan pelaburan dalam industri perlombongan dan pemprosesan produk hiliran.

Transformasi dalam sektor perkhidmatan sosial bermatlamat supaya rakyat menikmati taraf hidup yang berkualiti dan sihat secara inklusif melalui penyampaian perkhidmatan yang berpatutan dan inovatif.

Antara inisiatif yang dilaksanakan meliputi program pembasmian kemiskinan dan kebajikan rakyat dengan memperkenalkan Insuran SarawakCare, pembinaan makmal ujikaji dan penyelidikan, Pusat Pakar Perubatan Normah yang baharu, perkhidmatan kebajikan untuk golongan istimewa dan skim perumahan.

Usaha-usaha tersebut adalah sebahagian daripada hasrat kerajaan dalam mewujudkan asas kukuh kepada rakyat yang terjejas untuk pulih daripada pandemik COVID-19.

Pelan pembangunan tersebut turut menyenaraikan tujuh pemboleh ubah, iaitu Transformasi Digital, Infrastruktur Asas, Pengangkutan, Utiliti, Tenaga Diperbaharui, Pendidikan dan Pembangunan Modal Insan yang menyokong enam sektor ekonomi utama.

Ketua Menteri optimis bahawa usaha ini akan meningkatkan nilai pelaburan swasta ke KDNK daripada RM21 bilion pada 2020 kepada RM61.5 bilion pada 2030 atau kenaikan 11.2 peratus setahun.

Manakala bahagian pelaburan swasta kepada KDNK pada tahun 2030 pula akan beranjak pada kadar 21.9 peratus.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article