Kesukaran mendapatkan rawatan haemodialisis kini tidak lagi dihadapi oleh penduduk di daerah Saratok kerana perkhidmatan tersebut kini boleh didapati di hospital di daerah berkenaan.
Perkhidmatan haemodialisis yang mula beroperasi pada September tahun lepas (2005) ternyata dapat mengurangkan beban dan kos tinggi yang perlu ditanggung oleh pesakit.
Menurut Robin Ak Koyong, pembantu perubatan kanan di Unit Haemodialisis, Hospital Saratok pengwujudan perkhidmatan ini kena pada masanya, memandangkan pesakit tidak lagi perlu mendapatkan rawatan di hospital yang agak jauh.
Katanya, sebelum ini pesakit terpaksa berulang-alik sama ada ke Hospital Kuching atau Sibu untuk mendapatkan rawatan tersebut.
Perkhidmatan ini, jelas Robin diharap dapat sedikit sebanyak dapat memberi keselesaan kepada pesakit mendapatkan rawatan.
Walaupun masih baru dilaksanakan dan kebanyakan pengguna belum mengetahui mengenainya, namun beliau yakin ramai pesakit akan memanfaatkan sepenuhnya perkhidmatan ini.
Sebagai permulaan, unit ini dibekalkan dengan empat (4) buah mesin yang dapat digunakan oleh tiga (3) orang pesakit pada satu-satu masa.
Menurut beliau, sehingga penghujung bulan Mac 2006, mereka telah menerima seramai enam (6) orang pesakit yang telah menggunakan perkhidmatan ini.
Antara kemudahan lain disediakan di sini, katanya dua (2) buah bilik khas disediakan untuk pesakit hepatitis B dan C yang secara tidak langsung dapat memberi keselesaan kepada pesakit berkenaan menjalani rawatan haemodialisis.
Unit Haemodialisis adalah unit terbaru yang diwujudkan di Hospital Saratok daripada 13 unit yang lain bagi memenuhi keperluan pesakit berkenaan.