- Advertisement -spot_img
4,843
published news
and counting

MOSTI Perkenal Lima Skim Dana R&D Baharu di Bawah PEMACU

Must read

Bermula Januari 2021, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) telah menawarkan lima (5) skim dana pembiayaan projek Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) di bawah Program Dana Pemacu Teknologi Strategik (PEMACU) iaitu;

  1. Dana Penyelidikan Strategik (SRF);
  2. Dana Pembangunan Teknologi 1 (TeD1);
  3. Dana Pembangunan Teknologi 2 (TeD2);
  4. Dana Bridging (BGF); dan
  5. Dana Applied Innovation (AIF).

Tujuan dana tersebut diperkenalkan adalah untuk membangunkan ekosistem R&D dengan memberi tumpuan terhadap projek penyelidikan eksperimental (Experimental Development).

SRF adalah satu program skim pembiayaan khas yang disediakan oleh MOSTI untuk membiayai penyelidikan dalam bidang yang telah dikenal pasti akan memberi impak tinggi kepada negara dan sejajar dengan Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara (DSTIN).

SRF memberi impak tinggi kepada negara dan sejajar dengan DSTIN

SRF adalah merupakan inisiatif top-down untuk membangunkan penyelidikan dan teknologi ke arah meningkatkan daya saing industri di Malaysia melalui bidang-bidang khusus yang ditawarkan oleh MOSTI atau isu strategik kepada negara.

Projek R&D teknologi ini dilaksanakan untuk mengatasi isu strategik nasional seterusnya mendorong Malaysia menjadi negara berpendapatan tinggi di mana ia adalah sejajar dengan inisiatif semasa Kerajaan.

TeD1 dan TeD2 adalah terbuka kepada penyelidik dan syarikat yang berminat untuk melaksanakan projek R&D bagi menghasilkan proses dan produk baharu dalam bidang yang telah dikenal pasti oleh Kerajaan.

Projek R&D tersebut hendaklah berpotensi dalam menyelesaikan permasalahan di peringkat nasional secara lestari dan holistik.

Bagi TeD1, projek yang dicadangkan hendaklah sekurang-kurangnya pada tahap formulasi konsep iaitu pelan atau reka bentuk penghasilan teknologi, proses atau produk baharu yang berpotensi untuk dikomersialkan.

TeD1 berpotensi untuk dikomersialkan

Hasil projek adalah teknologi prototaip baharu, proses atau produk yang nilainya dapat dihasilkan untuk pelanggan, industri dan masyarakat.

Bagi TeD2 pula, projek yang dicadangkan perlu sekurang-kurangnya mempunyai pembuktian konsep (proof of concept, POC) atau prototaip yang telah berfungsi (working prototype).

TeD2 adalah ke arah pengkomersialan

Projek juga mesti mempunyai reka bentuk yang baik, dibuktikan secara saintifik serta berdaya saing dengan teknologi dan penyelidikan masa kini.

Tujuan TeD1 adalah untuk membangunkan konsep sedia ada yang berkaitan dengan reka bentuk teknologi, proses atau produk yang berpotensi untuk dikomersialkan.

Selain itu, ia juga bertujuan untuk merangsang pertumbuhan penyelidikan dan pembangunan teknologi

dalam kalangan Institut Penyelidikan Kerajaan, Agensi STI, Institusi Pengajian Tinggi dan industri.

Manakala, TeD2 bertujuan untuk membangunkan konsep sedia ada yang berkaitan dengan reka bentuk teknologi, proses atau produk ke arah pengkomersialan bagi mengurangkan jurang kegagalan (valley of death).

Ia juga bertujuan untuk merangsang pertumbuhan penyelidikan dan pembangunan teknologi melalui jaringan kerjasama antara Institut Penyelidikan Kerajaan, Agensi STI Kerajaan, Institut Pengajian Tinggi dengan industri.

BGF pula telah diperkenalkan dalam Rancangan Malaysia ke-12 (RMKe-12) berperanan bagi mengatasi jurang pembiayaan yang wujud di antara tahap penyelidikan asas dan pengkomersialan.

Matlamat BGF adalah untuk meingkatkan tahap kesedaran produk untuk menembusi pasaran

Dana ini akan membolehkan hasil penyelidikan atau produk R&D yang telah siap untuk pasaran dapat melepasi pengesahan piawaian dan standard yang ditetapkan oleh badan regulatori tempatan atau antarabangsa.

Selain itu, dana ini juga dapat membantu proses ‘up-scaling’ dan ‘advanced packaging’ produk yang akan memberi nilai tambah kepada hasil R&D tempatan bagi menembusi pasaran serantau dan antarabangsa.

Tujuan BGF adalah untuk mengurangkan jurang kegagalan antara fasa pra pengkomersialan kepada pengkomersialan dan meningkatkan tahap kesediaan produk-produk hasil R&D supaya dapat menembusi pasaran.

AIF pula diperkenalkan untuk meningkatkan penyertaan inovator dalam aktiviti inovatif dan mendorong inovasi teknologi produk, proses, sistem atau perkhidmatan baharu yang berpotensi untuk dikomersialkan.

Matlamat AIF adalah untuk meningkatkan penyertaan inovator dalam aktiviti inovasi

Pada hakikatnya, inovasi telah menyumbang kepada peningkatan produktiviti dan pertumbuhan ekonomi serta kesejahteraan masyarakat.

Inovasi tersebut boleh terdiri daripada kombinasi, gabungan atau integrasi teknologi yang membawa kepada produk, proses, sistem atau perkhidmatan baharu atau penambahbaikan teknologi sedia ada dengan peningkatan nilai atau pengurangan kos yang lebih baik.

Justeru, hasil yang dijangka daripada pembiayaan AIF ini adalah produk, proses, sistem baharu atau hak Harta Intelek (Intellectual Property Right) yang bermanfaat untuk pelanggan, perniagaan dan masyarakat.

Menyedari pentingnya inovasi untuk penjanaan ekonomi (wealth creation) dan kesejahteraan sosial, Kerajaan perlu mendorong idea inovasi dalam mewujudkan masyarakat saintifik dan inovatif.

Lima (5) skim dana tersebut di atas telah diterangkan oleh Penolong Setiausaha Kanan Bahagian Dana MOSTI, Encik Sharul Ramadhan bin Yahaya semasa Program MyStartup Roadshow yang telah diadakan pada 23 Jun 2022 di Kampung Digital, TEGAS.

Penolong Setiausaha Kanan Bahagian Dana MOSTI, Encik Sharul Ramadhan bin Yahaya mengulas tentang skim dana yang diperkenalkan oleh MOSTI

Mengulas lanjut, beliau memberitahu bahawa MOSTI telah melancarkan Malaysia Grand Challenge (MGC) yang disokong oleh Dana Pembiayaan MOSTI pada 8 Januari 2021.

MGC tersebut bertujuan untuk memartabatkan agenda Sains, Teknologi dan Inovasi Negara bagi meningkatkan ekonomi mampan dan inklusif sejajar dengan Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi (DSTIN) tahun 2021 hingga 2030.

MGC akan memperkenalkan pelbagai insentif dan langkah kolaboratif melalui penggunaan teknologi pengganggu (disruptive technology) dalam usaha mengarus utamakan bidang sains, teknologi dan inovasi, seterusnya menjadikan Malaysia sebuah negara berteknologi tinggi.

Tujuan MGC diperkenalkan adalah untuk menggalakkan aktiviti Penyelidikan, Pembangunan, Pengkomersialan dan Inovasi (R&D&C&I) negara.

Bermula Januari 2021, MOSTI telah menawarkan pembiayaan dana penyelidikan dan pembangunan di bawah PEMACU.

Dana tersebut telah diperluaskan kepada para pemohon dari kalangan syarikat-syarikat pemula (startups) serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) melalui agensi-agensi di bawah Kementerian.

MGC bakal memberi manfaat dalam perkembangan inovasi, kreativiti dan kadar pengkomersialan produk tempatan melalui penggunaan teknologi lestari, seterusnya mengurangkan kebergantungan negara kepada teknologi serta inovasi luar.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article