- Advertisement -spot_img
4,777
published news
and counting

Koperasi Jukdian Mantapkan Sektor Pelancongan di Long Bedian

Must read

Koperasi Jukdian Bersatu Miri Berhad yang terletak di Long Bedian Apoh Baram telah didaftarkan di bawah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) pada 14 November 2007.

Menurut Pengerusinya Kaunselor Jok Eng Jok, Koperasi Jukdian yang terdiri daripada 136 ahli dari kalangan penduduk kampung Long Bedian yang menetap di kampung mahupun bandar bermatlamat untuk meningkatkan kepentingan ekonomi keluarganya.

Koperasi Jukdian menawarkan produk-produk pelancongan seperti tempat penginapan atau inap desa (homestay) yang kini semakin terkenal di Long Bedian iaitu Tapun Homestay.

Tapun Homestay yang siap dibina sepenuhnya pada November 2009 menyediakan kemudahan penginapan berkonsep ala rumah sendiri dengan ciri-ciri binaan moden dan tradisional untuk memastikan kepuasan pelawat dipenuhi.

Tapun Homestay bercirikan binaan moden dan tradisional untuk memenuhi kepuasan pelawat

Tapun Homestay mempunyai 12 bilik tidur, kemudahan dapur gas, bekalan elektrik 24 jam, kemudahan bilik mandi dan tandas yang selesa selain kemudahan peti sejuk, bekalan minuman pelbagai jenis, kerusi dan meja untuk berehat, bersantai serta ruang untuk mesyuarat atau perbincangan mini.

Selain inap desa, Koperasi Jukdian turut menawarkan perkhidmatan pengangkutan darat dan sungai, menjalankan perniagaan katering dan menjual hasil-hasil kraf tangan.

Tapun Homestay menyediakan kemudahan penginapan yang berkonsep ala rumah sendiri
Ruang untuk mesyuarat atau perbincangan mini di Tapun Homestay

Anggota-anggota Koperasi Jukdian mempunyai kepakaran yang berbeza-beza kerana ada diantara mereka yang bekerja dalam bidang kejuruteraan mekanikal, akauntan, kontraktor, wakil rakyat, pendidik, medik, staf estet dan sebagainya.

Menurut beliau, Koperasi Jukdian pernah menjadi pembekal sebanyak tiga kali bagi Program Peningkatan Usahawan Bumiputera (PUTERA), iaitu projek anjuran Pejabat Setiausaha Kewangan Negeri Sarawak dengan kerjasama Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC).

Pengerusi Koperasi Jukdian, Kaunselor Jok Eng Jok

Bukan itu saja, Tapun Homestay juga pernah muncul sebagai Naib Johan dalam Pertandingan Ilham Desa Peringkat Zon yang diadakan di Kuala Lumpur pada 23 hingga 25 November 2010.

Untuk rekod, Kampung Long Bedian sudah menyertai Pertandingan Ilham Desa ini sebanyak tujuh (7) kali iaitu pada tahun 2001, 2002, 2005, 2006, 2007, 2010 dan 2021.

Sijil Kemenangan Tapun Homestay yang muncul sebagai Naib Johan dalam Pertandingan Ilham Desa Peringkat Zon

Pada 2014, Koperasi Jukdian telah dilantik menjadi pembekal dalam beberapa aktiviti dan program kemasyarakatan, seterusnya dipilih sebagai Penggerak Projek Desa Lestari di bawah Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW).

Program ini merupakan salah satu inisiatif baharu kerajaan di bawah Program Transformasi Kerajaan 2.0 bagi mewujudkan kawasan desa maju dan rakyat berpendapatan tinggi.

Kampung-kampung yang terpilih akan menjadi desa contoh model pembangunan desa kepada kampung-kampung lain di negara kita.

Kampung Long Bedian Miri Sarawak adalah diantara 13 buah kampung seluruh Malaysia dipilih menyertai Program Desa Lestari bagi tahun 2014 setelah Long Bedian muncul sebagai sebuah kampung yang berdaya saing, maju, progresif serta ingin terus berubah dan membangun.

Selaras dengan hasrat Kerajaan untuk memperkasakan ekonomi penduduk luar bandar melalui inisiatif ‘cooperative driven’, semua kampung yang terpilih harus mempunyai atau menubuhkan koperasi untuk menggerakkan Program Desa Lestari.

Justeru, rasional Koperasi Jukdian Bersatu Miri Berhad dilantik sebagai penggerak program adalah berasaskan kepada perkara-perkara berikut:

Koperasi Jukdian merupakan penggerak kepada Projek Desa Lestari
  • Untuk mencapai matlamat Kerajaan bagi memperkasakan ekonomi dan meningkatkan pendapatan penduduk luar bandar secara komuniti
  • Beroperasi sebagai entiti perniagaan yang menjadi milik komuniti penduduk kampung melalui pegangan saham keanggotaan
  • Bentuk projek yang dicadangkan adalah melalui perancangan dan keputusan bersama pengurusan koperasi di mana projek yang diusahakan secara tidak langsung menjadi milik seluruh anggota koperasi yang hasil aktiviti perniagaannya akan memberi faedah secara langsung kepada komuniti dan negara
  • Projek yang diusahakan secara tidak langsung menjadi milik seluruh anggota koperasi yang hasil aktiviti perniagaannya akan memberi faedah secara langsung kepada komuniti.

Diantara peranan dan tanggungjawab pengurusan koperasi adalah mencadangkan senarai projek berdasarkan hasil perbincangan di peringkat pengurusan koperasi atau melalui sesi bengkel yang dianjurkan oleh KKLW.

Dua (2) orang Ahli Jawatankuasa (AJK) koperasi telah dihantar bersama dua orang pemimpin kampung untuk mengikuti Bengkel Pelaksanaan Program Desa Lestari di Kuala Lumpur.

Program Desa Lestari di bawah Koperasi Jukdian memiliki aset-aset seperti lima (5) unit calet, dua (2) buah kereta pacuan empat roda Isuzu D-Max, sebuah Jengkaut (Backhoe Loader/Excavator) dan dua (2) buah lori tiga (3) tan.

Dalam perkembangan lain, kaunselor Jok memaklumkan bahawa Kampung Long Bedian turut terpilih bagi menyertai Pertandingan Aspirasi Kampung Sejahtera (PAKS) yang telah bermula pada bulan April dan akan berakhir pada Oktober 2022.

Menurut beliau, pertandingan ini melibatkan 150 buah kampung tradisional dan rumah panjang di seluruh Malaysia dan 20 daripada jumlah kampung tersebut adalah dari Sarawak.

Terdapat tiga kriteria yang akan dinilai dalam pertandingan ini, iaitu yang pertama ialah tadbir urus yang merujuk kepada cara mereka berinteraksi dan berhubung dengan wakil rakyat, pejabat daerah dan agensi kerajaan apabila ada dalam kalangan masyarakatnya berdepan masalah.

Kedua ialah ekonomi daya saing, merujuk kepada pembabitan penduduk dalam aktiviti perusahaan kecil dan sederhana (IKS) bagi memperkasa aktiviti ekonomi luar bandar supaya lebih berdaya saing dan berimpak tinggi.

Ketiga ialah dari aspek modal insan yang berkualiti dari sudut inovasi, inisiatif dan kreativiti dalam memajukan kampung mereka.

PAKS dilihat sebagai satu aktiviti yang sangat penting kerana ia dapat menggerakkan komuniti kampung ke arah melahirkan masyarakat luar bandar yang proaktif dan berdaya saing.

Pertandingan ini juga akan membolehkan komuniti setempat mengenal pasti kelebihan dan potensi kampung masing-masing selain menggerakkan usaha mereka untuk mengetengahkan kampung masing-masing ke tahap pembangunan yang lebih tinggi.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article