– dipetik dan disesuaikan daripada keluaran RAKAN Sarawak July-September 2021 –
Projek Rintis ‘Reading Seeds’ adalah antara pencapaian terbesar Pustaka Negeri Sarawak dalam tempoh tiga (3) tahun kebelakangan ini, menurut Pemangku Ketua Pegawai Eksekutifnya, Puan Arpah Adenan yang ditemu ramah RAKAN Sarawak secara dalam talian.
Projek yang mendapat peruntukan sebanyak RM780 ribu itu telah diperluaskan ke tujuh (7) buah negeri iaitu Pulau Pinang, Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Terengganu dan Pahang selepas ia dilaksanakan dengan jayanya di Sarawak sejak tahun 2016.
Menurut beliau, projek rintis Reading Seeds ini dilaksanakan dengan kerjasama Pustaka Negeri Sarawak dan Perpustakaan Negara Malaysia.
Projek ini turut melibatkan kerjasama Kementerian Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak, dan Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri.
Jelas beliau, matlamat projek rintis ini adalah untuk memupuk amalan membaca seawal mungkin ketika bayi membesar dan pendekatan yang digunakan adalah dengan menanam rasa suka membaca ketika fasa kritikal tumbesaran bayi dan menggalakkan ibubapa membaca kepada bayi mereka.
Antara impak yang dijangka daripada projek rintis ‘Reading Seeds’ ini ialah, ia akan meningkatkan kadar literasi dalam kalangan peserta projek.
Selain itu, ia juga dapat meningkatkan amalan budaya membaca dan belajar sepanjang hayat dalam kalangan peserta projek; meningkatkan pembangunan kognitif dalam kalangan peserta projek; dan menambah baik hubungan kekeluargaan dalam kalangan peserta projek.
Selain Projek Rintis ‘Reading Seeds’, pembinaan Kampus Baharu Pustaka Negeri Sarawak Sibu yang menelan kos sebanyak RM32 juta juga merupakan pencapaian terbesar Pustaka Negeri Sarawak dalam tempoh tiga (3) tahun kebelakangan ini.
Kampus Baharu Pustaka Negeri Sarawak Sibu telah dirasmikan oleh Ketua Menteri YAB Datuk Patinggi (Dr.) Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Haji Openg pada 21 Oktober 2020.
Pembinaan Pustaka Negeri Sarawak Sibu melibatkan kerjasama Pustaka Negeri Sarawak dengan Jabatan Kerja Raya Sarawak dan Majlis Perbandaran Sibu.
Beliau menyifatkan, kewujudan kampus baharu Pustaka Negeri Sarawak Sibu ini telah menjadi satu kemudahan baharu yang akan memberikan perkhidmatan maklumat kepada penduduk di Zon Tengah Negeri Sarawak.
Antara impak yang beliau jangkakan daripada projek Pustaka Negeri Sarawak Sibu ini ialah, ia akan melonjakkan amalan budaya membaca dan belajar sepanjang hayat dalam kalangan masyarakat di Zon Tengah Sarawak.
Selain itu, ia juga akan dapat meningkatkan kualiti hidup masyarakat di Bandaraya Sibu melalui kemudahan serta perkhidmatan maklumat yang disediakan.
Dalam perkembangan lain, Puan Arpah Adenan turut memaklumkan RAKAN Sarawak tentang projek-projek Pustaka Negeri yang telah dilaksanakan dalam Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK11).
Antara projek-projek yang telah dilaksanakan ialah;
- Memikrofilem dan mendigitalkan dokumen dengan kos sebanyak RM2 juta (inisiatif untuk menukar bahan arkib ke format mikrofilem dan digital serta memudahkan akses untuk pengguna).
- Pembinaan Bangunan Arkib Negeri di Kuching dengan kos RM150 juta untuk menyediakan kemudahan bagi menyimpan arkib awam negeri Sarawak serta memberikan akses kepada bahan-bahan ini untuk masyarakat Sarawak.
- Pembangunan Koleksi untuk Pustaka dan cawangan-cawangan di Kuching, Sibu dan Miri dengan kos sebanyak RM12 juta untuk menyediakan koleksi bahan perpustakaan dalam pelbagai format bagi memenuhi keperluan maklumat masyarakat Sarawak.
- Pemuliharaan Bahan-Bahan Arkib dan Program di Kuching yang menelan kos sebanyak RM4 juta untuk memudahkan pemuliharaan bahan arkib dalam bentuk asal bagi menjamin akses berpanjangan kepada masyarakat Sarawak.
- Latihan dan Pembangunan Sumber Manusia di Kuching dengan kos sebanyak RM1 juta untuk melatih pekerja bidang perpustakaan dalam bidang-bidang khusus pengurusan maklumat.
- Landskap dan Pembangunan Rekreasi Awam untuk Pustaka Negeri Sarawak dengan kos sebanyak RM1.5 juta untuk menyediakan kemudahan taman, rekreasi dan riadah bagi masyarakat di Bandaraya Kuching.
Selain projek-projek di atas, Pustaka Negeri turut mengadakan program-program turun padang (outreach program) dan tanggungjawab sosial korporat (CSR) seperti PANDei (People Accessible, Network, for Digital Empowerment & Inclusivity), Jom Nambah Ilmu, Jom Berambeh, Perkhemahan Ilmu dan Sudut Bacaan Komuniti.
Namun begitu, beliau memberitahu sejak pandemik Covid-19 melanda dunia pada awal tahun 2020, aktiviti-aktiviti yang biasa dilaksanakan semasa program turun padang ini telah dilakukan secara dalam talian melalui Pustaka Channel di YouTube dan Facebook.
Bagi tahun 2021, beliau memaklumkan kepada RAKAN Sarawak berkenaan projek utama berimpak besar yang akan dilaksanakan ialah projek sambungan Bangunan Arkib Negeri di mana pembinaannya akan bermula pada tahun ini dan dijangka siap dalam masa tiga (3) tahun.