- Advertisement -spot_img
4,827
published news
and counting

myGAP Jamin Pengeluaran Produk Berkualiti dan Selamat

Must read

myGAP merupakan satu skim persijilan yang dirangka oleh Jabatan Pertanian pada tahun 2002 untuk memberi pengiktirafan kepada ladang-ladang yang mengamalkan Amalan Pertanian Baik (APB).

myGAP merupakan satu skim persijilan untuk memberi pengiktirafan kepada ladang-ladang yang mengamalkan APB

APB pula adalah satu sistem pengurusan sumber di dalam pengeluaran pertanian secara baik dan lestari berkonsepkan mesra alam sekitar, menjaga kebajikan dan keselamatan pekerja bagi menghasilkan produk yang berkualiti, selamat dan sesuai dimakan.

APB dapat mengatasi masalah tanah yang mati atau gersang, kekurangan mikroorganisma berfaedah, kekurangan nutrien mikro dan bahan organik.

Sistem ini dapat meningkatkan produktiviti ladang serta menghasilkan makanan yang selamat dan berkualiti dengan mengambil kira kebajikan, keselamatan dan kesihatan pekerja serta memelihara alam sekitar.

Perkara ini dijelaskan oleh Pegawai Penyelidik Kanan Jabatan Pertanian Sarawak, Cik Lai Lee San ketika ditemu ramah RAKAN Sarawak.

Pegawai Penyelidik Kanan Jabatan Pertanian Sarawak, Cik Lai Lee San

Mengulas lanjut, beliau memberitahu myGAP adalah penjenamaan semula bagi menggantikan Skim Amalan Ladang Baik Malaysia (SALM) yang telah dibangunkan berpandukan Malaysian Standard MS 1784:2005 Crop Commodities – Good Agricultural Practice (GAP).

Persijilan myGAP dianggap sebagai satu alat bantuan dalam Sistem Pengembangan Tekno Pertanian (SPTP) Jabatan Pertanian dan ia telah menjadi amalan pengusaha di dalam menjalankan aktiviti di ladang supaya menghasilkan keluaran segar yang lebih berkualiti dan selamat untuk dimakan.

Carta aliran menunjukkan sejarah persijilan myGAP

Antara kelebihan skim myGAP ialah, ia menghasilkan produk-produk pertanian yang berkualiti dan selamat dimakan; meningkatkan produktiviti pengeluaran; keselamatan serta kebajikan pekerja ladang terjamin; hasil pertanian mudah dikenali dan dapat bersaing di pasaran domestik dan antarabangsa; memelihara alam sekitar; dan penggunaan racun makhluk perosak secara lestari.

Dengan itu, skim persijilan myGAP memberi faedah terhadap pengeluar produk pertanian, alam sekitar, pengguna dan keselamatan pekerja.

Carta aliran menerangkan tentang Amalan Pertanian Baik (APB)

Faedah kepada pengeluar misalnya, hasil yang dikeluarkan dari ladang yang dipersijilkan myGAP boleh menggunakan logo myGAP pada pembungkusan hasil jualan.

Dengan skim ini juga, ia dapat mengurangkan pencemaran hasil, mengurangkan kehilangan hasil pengeluaran kerana hasil pengeluaran lebih berkualiti dan selamat dimakan malah, hasil pertanian dapat bersaing di pasaran domestik dan antarabangsa.

Pengguna pula mendapat keyakinan bahawa produk yang dibeli adalah selamat dan berkualiti (mematuhi piawaian MS1784:2005) dan seterusnya ia telah menjamin keselamatan dan kebajikan pekerja dengan adanya amalan penggunaan racun yang lestari.

Carta aliran proses persijilan myGAP

Sehubungan itu menurut beliau, untuk mendapat persijilan myGAP, pemohon mesti lulus ketiga-tiga perkara berikut iaitu; Pemeriksaan tapak; Analisis hasil bagi residu racun makhluk perosak, logam berat dan microbial (jika diperlukan); serta audit amalan ladang.

Di peringkat pemeriksaan tapak, pegawai pembimbing akan memastikan tapak pertanian yang diusahakan mempunyai kebenaran untuk mengusahakan tanah (sewa atau pemilikan) selain memastikan kawasan pertanian tidak menjejaskan alam sekitar.

Pegawai pembimbing juga akan memastikan ladang mengamalkan langkah pemuliharaan tanah (jika perlu), kemudian analisis sampel dilakukan bagi memastikan hasil ladang adalah selamat dimakan.

YB Datuk Sri Roland Sagah Wee Inn semasa Majlis Pelancaran myGAP.AM pada 8 Oktober 2020 di Kuching

Di peringkat audit amalan ladang, pemohon perlu melalui dua proses audit iaitu pra-audit dan audit amalan ladang.

Pra-Audit akan dijalankan oleh Pegawai Jabatan Pertanian peringkat Daerah bagi memastikan pengusaha mengamalkan amalan pertanian baik dan memenuhi keperluan persijilan myGAP.

Pegawai pra-audit akan mengambil sampel hasil untuk tujuan analisis residu racun makhluk perosak, logam berat dan microbial (jika berkenaan).

Audit amalan ladang dijalankan bagi mengenal pasti pengusaha mengamalkan dan mematuhi amalan pertanian baik berdasarkan piawai yang telah ditetapkan dan seterusnya mengesyorkan untuk dipersijilkan.

Pengauditan dilaksanakan oleh Pegawai Jabatan Pertanian (Teknikal) yang dilantik oleh Ketua Pengarah Pertanian.

Menurut beliau, penyertaan skim myGAP adalah secara sukarela dan perkhidmatan juga diberikan secara percuma dengan syarat tanah yang diusahakan adalah sah di sisi undang-undang; ladang telah bertanam dan mengeluarkan hasil; dan hasil dikeluarkan untuk jualan domestik atau eksport.

Setakat 15 Mei 2022, seramai 226 individu telah mendapat persijilan myGAP mengikut kategori masing-masing iaitu 213 orang mendapat persijilan myGAP (tanaman), lima (5) orang mendapat persijilan myOrganic dan lapan (8) orang mendapat persijilan myGAP.AM. (myOrganic dan myGAP.AM merupakan skop di bawah myGAP)

myOrganic merupakan penjenamaan semula Skim Organik Malaysia (SOM) yang dibangunkan oleh Jabatan Pertanian bagi memberi pengiktirafan kepada ladang yang mengamalkan perladangan organic berpandukan Malaysia Standard MS 1529: 2001 – The production, processing, labelling & marketing of plant based.

myGAP.AM merupakan skim persijilan yang mengiktiraf pemeliharaan lebah atau kelulut yang mengamalkan amalan pertanian yang baik bagi menjamin kualiti hasil (madu, roti lebah, propolis, lilin lebah) di samping memelihara kebajikan lebah atau kelulut, pekerja ladang dan alam sekitar.

Pada tahun 2021 dan 2022, skop baharu telah diperkenalkan iaitu myGAP.TBM (Tanaman Bukan Makanan) dan myGAP.PF (Pesticide Free) bagi menampung permintaan pengusaha untuk mempersijilkan pelbagai jenis skop penanaman dalam sektor pertanian (tanaman).

myGAP.TBM adalah skim persijilan yang dirangka dan dilaksanakan oleh Jabatan Pertanian untuk mengiktiraf ladang tanaman bukan makanan yang mengamalkan APB bagi mengeluarkan hasil yang bersih dan berkualiti, menjaga keselamatan alam sekitar serta menjamin keselamatan dan kebajikan pekerja.

Manakala, myGAP.PF merupakan skim persijilan yang dirangka untuk mengiktiraf ladang yang mengamalkan APB berkonsepkan mesra alam sekitar, menjaga kebajikan dan keselamatan pekerja serta tidak mengguna pakai racun perosak sintetik bagi menghasilkan makanan yang selamat dan berkualiti.

Kesimpulannya, myGAP bermatlamat untuk mewujudkan industri pertanian yang berdaya saing, pengeluaran produk berkualiti, selamat dan mesra alam serta berorientasikan eksport.

MyGAP dijadikan sebagai alat atau teras kepada Sistem Pengembangan Tekno Pertanian (SPTP) Jabatan Pertanian yang memberi khidmat pengembangan pertanian dalam pengeluaran bahan yang mencukupi, berkualiti dan selamat dimakan.

Sehubungan itu, semua hasil ladang wajib menjalani analisis sisa baki racun makhluk perosak dan mikrobial (salad, timun dan tomato) sebelum dipersijilkan dan sebelum pembaharuan sijil.

myGAP mempunyai tiga (3) halu tuju iaitu pertama, untuk meningkatkan bilangan ladang yang mendapat persijilan myGAP bagi menggalakkan pengeluaran produk pertanian yang berkualiti dan selamat dimakan untuk kegunaan domestik dan pasaran eksport.

Kedua, untuk meningkatkan kesedaran dan permintaan pengguna terhadap produk pertanian yang berkualiti dan selamat dimakan serta mempunyai sijil myGAP.

Ketiga, untuk meningkatkan daya saing produk pertanian Malaysia di peringkat antarabangsa dan keempat ialah penguatkuasaan dengan skim Persijilan GAP antarabangsa seperti ASEAN GAP dan Global GAP.

Oleh itu, Kerajaan menerusi Jabatan Pertanian berhasrat untuk mempersijilkan semua ladang yang melaksanakan APB sama ada dengan myGAP atau myOrganic.

Kesan Penggunaan Racun Perosak

  1. PARKINSON

       Menurut Kajian Universiti Stanford, sebanyak 496 pesakit yang didiagnosis dengan penyakit Parkinson’s mendapati penggunaan racun perosak di rumah meningkatkan gangguan neurologi sebanyak 70%.

  • KANSER

       Penyelidik di Sekolah Perubatan Mount Sinai di New York mendapati racun serangga dalam rumah telah menyebabkan perubahan hormon yang mengganggu fungsi pembiakan dan menyumbang kepada kanser.

  • NEUROTOKSI

       Penyelidik Jabatan Kesihatan Masyarakat, Pusat Perubatan UKM, Cheras Kuala Lumpur mendedahkan:

  • 75% daripada pesawah di Sabak Bernam mempunyai satu simptom pendedahan kepada racun serangga.
  • Racun serangga perosak chloryrifos dalam darah 7% daripada 100 responden terlibat dengan purata 7.29 nanogram setiap satu mililiter darah (sd 5.84 nanogram setiap mililiter).
  • Racun organofosforus disahkan mengakibatkan keracunan saraf (neurotoksik) dan atakssia (ketidakseimbangan badan) dengan degeneras akson dan myelin (selaput saraf dan otak).
  • Chloropyrifos menjejaskan sistem saraf, sistem pernafasan, sistem jantung di samping kulit dan mata kebas, terasa dicucuk-cucuk, nyahkoordinasi, sakit kepala, pening, menggigil, loya, kekejangan di abdomen, berpeluh dan penglihatan yang kabur.
Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article