- Advertisement -spot_img
4,842
published news
and counting

Projek-projek Infrastruktur Merubah Landskap Pembangunan Daerah Kecil Lingga

Must read

– dipetik dan disesuaikan daripada keluaran RAKAN Sarawak July-September 2021 –

Pelbagai projek infrastruktur sedang rancak dilaksanakan di Daerah Kecil Lingga yang bakal merubah landskap pembangunan dan taraf hidup penduduknya.

Projek Tebingan Sungai Lingga merupakan antara projek yang kini di peringkat akhir pelaksanaan dan dijangka siap sepenuhnya pada September tahun 2021.

Berdasarkan jadual asal, projek tersebut yang bermula pada 13 Ogos 2019 sepatutnya siap pada Mei 2021.

Projek Tebingan Sungai Lingga yang sedang dalam pembinaan

Namun, kerja-kerja pembinaan sedikit terjejas disebabkan oleh banjir yang berlaku disusuli dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) oleh kerajaan dalam mengawal penularan pandemik COVID-19.

Walau bagaimanapun, projek berkenaan telah dijadualkan semula dan dijangka siap sepenuhnya pada September tahun ini.

Antara komponen menarik projek tebingan tersebut termasuklah pembinaan tujuh unit kedai, tandas awam, Terubok Interactive dan Open Plaza Waterpark.

Lakaran artis menggambarkan papan tanda Tebingan Sungai Lingga

Projek Tebingan Sungai Lingga disenaraikan di bawah Projek Rakyat dan dilaksanakan oleh Lembaga Kemajuan dan Lindungan Tanah (PELITA) dengan kos bernilai RM5 juta.

Pembangunan infrastruktur di Daerah Kecil Lingga turut menyaksikan dua (2) buah projek Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) telah siap dilaksanakan.

Yang pertama ialah projek Pasar Lingga termasuk pembinaan Taman Selera yang bernilai RM5 juta. Projek ini yang memberi kemudahan kepada para petani dan peniaga menjual hasil pertanian serta barangan keperluan asas telah dimulakan pada 13 Ogos 2019 dan siap pada 31 Mei 2021.

Projek RMK11 kedua ialah projek pembinaan Sekolah Menengah Kebangsaan Lingga yang baharu. Dibina di atas tapak seluas 11.2 ekar, bangunan baharu sekolah tersebut menempatkan 20 bilik darjah serta kemudahan asrama yang mampu menampung 400 orang pelajar.

Komponen projek tersebut termasuklah lapan unit rumah guru dan kemudahan-kemudahan lain.

Pelaksanaan projek di bawah Program Transformasi Luar Bandar (RTP) di Lingga tidak kurang hebatnya apabila 19 daripada 25 buah projek RTP telah siap manakala lima (5) buah projek pula sedang dalam peringkat pelaksanaan dan hanya satu projek yang belum dimulakan.

Selain daripada projek-projek tersebut, Daerah Kecil Lingga akan mengalami proses pembangunan yang lebih pesat apabila Projek Jalan Pesisir Pantai dan Jalan Utama Kedua selesai dilaksanakan pada masa akan datang.

Kedua-dua projek berkenaan akan menghubungkan penduduk kawasan sekitar ke Sebuyau dalam Bahagian Samarahan.

Dari segi tarikan, Daerah Kecil Lingga juga mempunyai tempat-tempat menarik untuk dikunjungi serta keunikan alam semula jadi yang mampu mengundang pengunjung dari luar.

Antaranya ialah, Pusat Penyelidikan Terubok Sungai Sarawak, Gunung Lesong berketinggian 3,000 kaki di Ulu Lingga, Air Terjun Balau serta pembentukan beting pasir yang panjang di Pulau Seduku.

Lingga yang berkedudukan di tebingan Sungai Batang Lupar juga terkenal dengan buaya air masin bersaiz besar.

Seiring dengan pembangunan fizikal yang sedang berlaku di samping tarikan alam semula jadi yang ada, Daerah Kecil Lingga dijangka mengalami perubahan sosioekonomi yang ketara dan sudah pasti memberi manfaat kepada penduduknya..

Profil Daerah Kecil Lingga (Info Tambahan)

Daerah Kecil Lingga mempunyai keluasan 365 batu persegi di bawah pentadbiran Bahagian Sri Aman dan juga boleh dihubungi melalui laluan air menghubungkan Lingga, Ulu/Banting dan Engkeranji.

Pemandangan dari udara pekan Lingga

Kepadatan penduduk di Lingga ialah seramai 4,850 orang dengan majoritinya kaum Iban dengan peratusan 60%, diikuti Melayu 30%, Cina 7% dan lain-lain kaum 3%.

Pekan Lingga yang menjadi tumpuan penduduk sekitar terletak di pinggir Sungai Batang Lupar dengan jarak kira-kira 50 kilometer dari bandar Simanggang, Sri Aman.

Pekan Lingga merupakan sebuah pekan nelayan yang terkenal dengan spesies ikan bermutu tinggi seperti ikan terubok yang dijual pada harga RM18 hingga RM24 sekilogram.

Majoriti penduduk Lingga menjalankan aktiviti pertanian sebagai sumber pendapatan utama.

Dari segi peratus, 53% penduduk mengusahakan tanaman padi, 37%v menanam dan menjual lada, 10% menjalankan aktiviti tangkapan ikan dan segelintir penduduknya mengusahakan tanaman sayur-sayuran dan buah-buahan, berniaga secara kecil-kecilan, menjuak getah, damar, rotan dan pelbagai lagi hasil hutan dan tanaman.

RAKAN 3Q2021-64
Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article