– dipetik dan disesuaikan daripada keluaran RAKAN Sarawak July-September 2021 –
Mungkin tidak banyak yang diketahui mengenai Pantu, sebuah daerah kecil di bawah pentadbiran Bahagian Sri Aman.
Sungguhpun begitu, Pekan Pantu, Pekan Sg. Tenggang dan Pekan Lachau yang terletak dalam daerah tersebut sering menjadi tumpuan persinggahan pengunjung.
Keluasan Daerah Kecil Pantu adalah sekitar 734.20 kilometer persegi dengan kepadatan penduduk seramai 11,315 orang.
Sebanyak 157 buah kampung yang turut menempatkan kawasan rumah panjang terdapat di daerah kecil berkenaan.
Kebanyakan kawasan di Pantu telah mendapat liputan bekalan elektrik dan air hampir 100%.
Dari segi akses pengangkutan, kebanyakan kawasan sekitar Pantu boleh dihubungi dengan jalan raya seperti Jalan Serian-Sri Aman, Jalan Lachau-Bangkong, Jalan Punggu-Kara, Jalan Bait-Selanjan dan Jalan Pantu.
Daerah Kecil Pantu juga dijangka mendapat tempias daripada pembangunan Projek Lebuh Raya Pan Borneo.
Pertanian merupakan aktiviti utama di daerah yang terletak 65 kilometer dari pusat bandar Sri Aman, iaitu Simanggang.
Berdasarkan statistik 2010, majoriti penduduk Pantu terdiri daripada masyarakat Iban dengan peratusan 80.5%. Manakala selebihnya pula ialah masyarakat Melayu, Bidayuh, Cina dan masyarakat bumiputera dari pelbagai suku kaum.
Bagi masyarakat Iban mereka lebih cenderung dengan tanaman lada, kelapa sawit, padi, buah-buahan serta menternak ayam dan ikan.
Masyarakat Cina pula terlibat dalam kegiatan komersial serta bertani dengan mengusahakan tanaman lada di samping menternak ayam dan ikan.
Daerah Kecil Pantu kini sedang mengorak langkah mencapai visi menjadi antara daerah yang maju dari segi sosial dan ekonomi selari dengan visi Sarawak mencapai negeri maju menjelang 2030.
Beberapa projek infrastruktur dan naik taraf yang meliputi aspek sosial dan ekonomi telah dan sedang dilaksanakan di daerah berkenaan.
Menurut maklumat daripada pejabat Residen Bahagian Sri Aman, antara projek yang telah siap termasuklah projek naik taraf dan baik pulih bangunan Klinik Kesihatan Pantu serta naik taraf jalan desa ke dua buah kawasan rumah panjang, iaitu Rh. Annie ak William di Semawa dan Rh. Peter ak Gimang di Penyau, Pantu.
Ketiga-tiga projek berkenaan merupakan sambungan daripada projek yang dilaksanakan di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11).
Selain itu, Projek Jambatan Sungai Mansau di bawah Program Transformasi Luar Bandar (RTP) juga telah siap sepenuhnya sejak dimulakan pada 2019.
Pembinaan jambatan tersebut yang menggantikan jambatan kayu dilaksanakan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak dengan kos berjumlah RM300,000.
Pada Julai lepas, Setiausaha Kerajaan Negeri YB Datuk Amar Jaul Samion berkesempatan melawat dan meninjau perkembangan projek berkenaan.
Di sebalik lawatan beliau tersebut, perancangan yang lebih besar untuk membangunkan Daerah Kecil Pantu dari segi tadbir urus yang lebih baik telah dibincangkan.
Sehubungan dengan itu, persempadanan semula kawasan Pantu dengan pengambilan beberapa buah kampung di bawah pentadbiran Daerah Simunjan turut dibincangkan, bertujuan untuk memudahkan tadbir urus, seterusnya memudahkan rakyat di luar bandar untuk berurusan dengan agensi-agensi kerajaan.
Daerah Kecil Pantu juga menerima pelbagai program dan projek pembangunan dalam sektor pertanian bagi meningkatkan sosioekonomi penduduknya.
Antara projek pertanian yang dijalankan ialah program pengeluaran benih padi di ladang benih padi Paya Kudak yang terletak di Kampung Limau, Pantu.
Projek yang dilaksanakan oleh Pejabat Pertanian Daerah Kecil Pantu membabitkan kawasan tanah seluas 15 hektar dan melibatkan 21 orang peserta.
Objektif program adalah untuk menghasilkan benih padi variasi moden yang berkualiti dan boleh ditanam dua kali setahun.
Pembangunan industri getah melalui Jabatan Pertanian Sarawak (JPS) turut dijalankan di Pantu melalui program tanaman getah baharu berkelompok yang melibatkan beberapa kawasan meliputi kawasan Gayau, Limau dan Issu.
Lebih daripada itu, Daerah Kecil Pantu juga terkenal dengan perusahaan tanaman kelapa sawit, kacang Sacha Inchi dan buah-buahan seperti Rambutan Anak Sekolah yang telah pun menembusi pasaran ke Dubai, Emiriah Arab Bersatu.
Memandangkan aktiviti pertanian tekah menyumbang kepada pembangunan sosioekonomi penduduk Pantu, Kerajaan Sarawak melalui pelan strategik Jawatankuasa Pembangunan Sri Aman (SADA) bercadang untuk mewujudkan pusat pengumpulan, pemprosesan dan pembungkusan, iaitu CPPC Lachau.
Cadangan tersebut adalah bagi memenuhi keperluan golongan tani di kawasan sekitar dalam memasarkan hasil pertanian yang dapat meningkatkan pendapatan mereka.
Dari segi tarikan pelancongan, tidak banyak yang terdapat di Pantu berikutan kawasannya yang tidak begitu luas.
Namun, penduduk luar yang sering datang ke Pantu sudah pastinya mengetahui identiti daerah kecil tersebut yang juga terkenal dengan buah durian, ikan Tapah dan udang galah.
Inilah antara keistimewaan dan tarikan yang sering menjadi tumpuan para pengunjung ketika berlangsungnya Pesta Pantu yang diadakan setiap tahun.