- Advertisement -spot_img
4,777
published news
and counting

Pelbagai Projek Mega Bawa Impak Besar Kepada Sri Aman

Must read

– dipetik dan disesuaikan daripada keluaran RAKAN Sarawak July-September 2021 –

Pelbagai projek mega yang telah dan sedang dilaksanakan di Bahagian Sri Aman sudah pasti akan membawa Sri Aman ke peringkat yang lebih tinggi terutama dari segi pembangunan sosioekonomi.

Antara projek mega yang telah dan sedang dilaksanakan ialah Projek Pasar Tamu Baharu Simanggang, Projek Menaiktaraf Tebingan Sri Aman, pembinaan Pusat Rekreasi (Simanggang Peace Park), Kompleks Islam Sri Aman, Projek Taman Estet Perindustrian Sri Aman dan Jambatan Batang Lupar kedua yang menghubungkan bahagian Betong dengan lebih dekat.

Pasar Tamu Baharu Simanggang yang terletak di Jalan Astana telah mula dibuka kepada penjaja sejak 30 Julai lepas dan beroperasi tiga hari seminggu bermula setiap Jumaat dengan masa operasi yang ditetapkan oleh Majlis Daerah Sri Aman (MDSA) adalah dari pukul 8 pagi sehingga 11 pagi.

Bagi memastikan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara Fasa 2 dalam mengelak penularan wabak COVID-19, MDSA telah menyediakan kaunter saringan kesihatan, pendaftaran dan menggunakan sistem penggiliran kepada peniaga dan pengunjung.

Mengikut perancangan asal, Pasar Tamu Baharu Simanggang ini sepatutnya dibuka pada pertengahan Ogos berikutan kes penularan COVID-19 yang kian meningkat.

Namun, disebabkan musim-musim buah-buahan sehingga menyebabkan lambakan penjaja berniaga di perkarangan pasar tamu sedia ada telah mendorong Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) terpaksa membuka tamu baharu itu lebih awal daripada tarikh yang sepatutnya.

Pasar Tamu Baharu Simanggang yang terletak di Jalan Astana telah dibuka sejak 30 Julai 2021

Walau bagaimanapun, bagi meningkatkan aspek disiplin dan rasa tanggungjawab peniaga terutamanya berkaitan kebersihan, setiap petak atau lot perniagaan dikenakan caj sebanyak RM5.

Manakala, untuk memastikan keadaan sentiasa selamat daripada jangkitan wabak COVID-19 PBT melalui MDSA turut menyediakan kaunter saringan kesihatan, pendaftaran dan menggunakan sistem penggiliran kepada peniaga dan pengunjung.

Seterusnya ialah projek menaiktaraf Tebingan Sri Aman yang menelan kos keseluruhan bernilai RM12 juta juga kini sudah hampir siap sepenuhnya.

Projek menaiktaraf Tebingan Sri Aman yang sudah hampir siap

Oleh itu, penduduk Sri Aman harus berbangga kerana projek tersebut bakal menjadi mercu tanda baharu pelancongan bagi bandar Simanggang.

Projek Menaiktaraf Tebingan Sri Aman ini bakal menarik lebih ramai lagi pelancong untuk berkunjung ke bandar Simanggang sekaligus menjana pendapatan penduduk serta industri pelancongan di sini.

Seterusnya Projek Pembinaan Kompleks Islam Sri Aman yang berkeluasan 6.37 ekar di bandar Sri Aman berdekatan dengan tebingan Sungai Sri Batang Lupar telah bermula sejak Februari 2021.

Pembinaan Kompleks Islam Sri Aman ini melibatkan dua fasa di mana fasa pertama melibatkan pembinaan bangunan pejabat setinggi tujuh (7) tingkat, mengambil masa selama 30 bulan untuk disiapkan manakala fasa kedua melibatkan pembinaan 32 unit kedai setinggi tiga (3) tingkat.

Projek Pembinaan Kompleks Islam Sri Aman seluas 6.37 ekar di Bandar Simanggang

Lokasi strategik Kompleks Islam Sri Aman yang terletak di tebingan sungai sudah pasti akan menjadi ikon baharu di Sri Aman dengan keindahan warna-warni lampu bangunan tersebut pada waktu malam.

Sementara itu, Di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11), Kerajaan Sarawak telah meluluskan peruntukan sebanyak RM32.7 juta bagi melaksanakan Projek Taman Estet Perindustrian Sri Aman seluas 5.5 hektar di Jalan Taman Sabu.

Peruntukan yang diluluskan kepada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Terminal Perindustrian dan Pembangunan Usahawan itu bertujuan membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) khususnya di Simanggang untuk menjalankan perniagaan.

Taman Estet Perindustrian tersebut kelak akan menempatkan 51 lot tapak yang didirikan dengan bangunan untuk pengoperasian berpusat industri dan bengkel kecil.

Projek tersebut terbahagi kepada dua fasa iaitu fasa pertama merangkumi skop bernilai RM5.13 juta membabitkan kerja-kerja menimbus tanah (earth works) dan pembinaan benteng dan telah siap sepenuhnya pada September 2019.

Manakala pembinaan fasa dua membabitkan kos RM8.6 juta merangkumi pembinaan infrastruktur seperti sistem saliran, penyambungan bekalan air, bekalan elektrik dan pemasangan kabel Telekom, dijangka siap pada September 2021.

Kerajaan Sarawak juga telah bercadang untuk membina Pusat Rekreasi (Simanggang Peace Park) yang terletak di Jalan Astana lama seluas 15 hektar  sehingga ke Rumah Sri Aman dengan peruntukan berjumlah kira-kira RM20 juta.

Pembinaan ‘Simanggang Peace Park’ itu bakal menjadikan Sri Aman sebagai sebuah kawasan yang lebih selesa, selamat dan kondusif untuk didiami mahupun dikunjungi.

Di bawah projek tersebut, rumah residen sebelum ini akan dibangunkan menjadi muzium mini selain menaik taraf Jalan Astana, Jalan Main Bazaar, Jalan Abang Aing dan Jalan Resak yang akan menghubungkan Tebingan Sri Aman.

Menerusi pelbagai projek pembangunan ini, sudah pasti ia akan dapat membantu meningkatkan sosioekonomi tempatan dan mewujudkan banyak peluang pekerjaan dan perniagaan bagi penduduk tempatan dan pelabur antarabangsa dalam jangka masa panjang.

RAKAN 3Q2021-68
Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article