Sejarah, Fungsi dan Bidang Kuasa
Jabatan Tenaga Kerja Sarawak adalah salah sebuah Jabatan di bawah Kementerian Sumber Manusia yang telah mula beroperasi pada 26 Julai 1960 dengan kekuatan anggota seramai enam (6) orang.
Pada Disember 2020, bilangan anggotanya ialah seramai 219 orang pegawai serta kakitangan dan daripada jumlah tersebut, seramai 134 adalah Penguat kuasa jawatan Skim Sosial (S) dan seorang JUSA C dan selebihnya ialah jawatan guna sama.
Dengan jumlah anggota tersebut, JTK Sarawak telah mampu memberi perkhidmatan dengan cekap dan yang terbaik.
Sebelum penubuhan Malaysia, fungsi JTK dilaksanakan oleh Pejabat Residen dan Pejabat Daerah, kemudian selepas 16 September 1963, fungsi berkenaan diambil alih oleh Kementerian Buruh pada ketika itu sebelum ia ditukar nama kepada Kementerian Sumber Manusia.
JTK Sarawak ketika itu dikenali sebagai Jabatan Buruh Sarawak dan bermula pada 29 November 2002, Jabatan ini telah mengambil alih peranan Jabatan Tenaga Rakyat di Sarawak, seterusnya Jabatan Buruh Sarawak telah ditukar nama kepada Jabatan Tenaga Kerja Sarawak pada tahun 2003.
Di bawah Inter-Governmental Committee (IGC) Report 1962, Pesuruhjaya Buruh Sarawak yang kini digelar Pengarah Tenaga Kerja Sarawak bertanggungjawab secara langsung kepada Menteri Sumber Manusia melalui Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia dalam semua aspek penguatkuasaan dan pentadbiran undang-undang perburuhan di Sarawak.
Pada 25 Januari 2010, Pusat JobsMalaysia (JMC) di Kuching dan JobsMalaysia Point (JMP) di semua Pejabat Tenaga Kerja di Sarawak diwujudkan dan bertindak sebagai pusat sehenti (one stop centre) bagi perkhidmatan pekerjaan.
Fungsi utamanya ialah untuk membantu penempatan pencari kerja tempatan melalui platform portal JobsMalaysia.
Pada 18 Julai 2013, apabila Pusat Transformasi Bandar (UTC) ditubuhkan di Jalan Bukit Mata, Kuching, JTK Sarawak telah membuka pejabat kecil sebagai JMC sebelum ditutup pada September 2020 apabila fungsi perkhidmatan pekerjaan di Jabatan ini diambil alih oleh PERKESO yang melaksanakan program My Future Job.
Perkara ini dijelaskan oleh Pengarah Tenaga Kerja Sarawak, Encik Awang Raduan bin Awang Omar ketika ditemu ramah RAKAN Sarawak.
Perkhidmatan JTS Sarawak
Beliau menerangkan antara perkhidmatan-perkhidmatan yang disediakan oleh JTK Sarawak berkaitan;
- Membuat aduan dan tuntutan kes buruh
- Permohonan lesen agensi pekerjaan swasta
- Permohonan lesen penggajian pekerja bukan pemastautin
- Permohonan permit perburuhan di bawah Ordinan Buruh (Sarawak Bab 76)
- Pemeriksaan berkanun
- Laporan pemeriksaan pekerja
- Tuntutan pampasan pekerja
- Perkhidmatan pekerjaan (JobsMalaysia)
- Perkhidmatan-perkhidmatan lain yang disediakan
Penguatkuasaan Undang-undang, Kaedah dan Perintah
Manakala, antara undang-undang yang dikuatkuasakan oleh JTK Sarawak ialah;
- Ordinan Buruh (Sarawak Bab 76)
- Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2011
- Akta Umur Persaraan Minimum 2012
- Akta Pampasan Pekerja 1952
- Akta Maklumat Pekerjaan 1953
- Akta Agensi Pekerjaan Swasta 1981
- Akta Anti-Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007
- Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988
Sementara itu, Kaedah dan Perintah yang dikuatkuasakan oleh JTK Sarawak termasuklah;
- Kaedah-Kaedah Buruh (Sarawak) (Had Kerja Lebih Masa) 2008
- Kaedah-Kaedah Buruh (Sarawak) (Bayaran kena dibayar kepada pekerja yang mati) 2008
- Kaedah-Kaedah Buruh (Sarawak) (Kandungan Kontrak) 2008
- Kaedah-Kaedah Buruh (Sarawak) (Faedah Penamatan dan Pemberhentian Kerja Sementara) 2008
- Kaedah-Kaedah Buruh (Sarawak) 2009
- Pemberitahuan (Pemberhentian) Kerja 2009
- Kaedah-Kaedah Buruh (Penggajian Kanak-Kanak dan Orang Muda) (Sarawak) 2012
- Kaedah-Kaedah Buruh (Pekerja Separa Masa) (Sarawak) 2013
- Perintah Gaji Minimum 2020
- Ordinan Darurat Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja (Pindaan) 2021
JTK Sarawak juga bertanggungjawab menguatkuasakan Perintah-Perintah Gaji Minimum yang mula berkuat kuasa pada 1 Januari 2013 dan Akta Umur Persaraan Minimum 2012 yang berkuat kuasa pada 1 Julai 2013.
Orang awam boleh mendapatkan maklumat lanjut tentang perintah dan akta tersebut di laman sesawang rasmi Jabatan ini.
JTK Sarawak sentiasa bertekad untuk mencapai visi sebagai peneraju standard piawaian pengurusan perburuhan dan penguatkuasaan perundangan perburuhan negara.
Selain itu, JTK juga komited untuk mencapai misi dalam memperkasakan sistem pengurusan perburuhan dan penguatkuasaan perundangan perburuhan bagi memastikan hak asasi dan kepentingan masyarakat industri dijamin terpelihara.