- Advertisement -spot_img
4,843
published news
and counting

Pencapaian JTK Sarawak Dilihat Dalam Pelbagai Aspek

Must read

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Sarawak telah banyak melakukan penambahbaikan terhadap penyampaian perkhidmatan antaranya ialah pelaksanaan inisiatif pendigitalan.

Perkembangan ini dikongsikan oleh Pengarah Tenaga Kerja, Sarawak, Encik Awang Raduan bin Awang Omar ketika ditemu ramah RAKAN Sarawak.

Pertama, JTK Sarawak telah memperkenalkan sistem ‘Spot-me’ iaitu sebuah sistem yang merekod kehadiran staf atau pegawai menggunakan aplikasi telefon pintar.

Pengarah Tenaga Kerja, Sarawak, Encik Awang Raduan bin Awang Omar menunjukkan aplikasi ‘Spot-me’ pada telefon pintar beliau

Sistem ‘Spot-me’ yang dibangunkan oleh Unit Pemodenan Tadbiran Dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) ini dapat mengesan kedudukan staf kerana ia dilengkapi dengan Sistem Kedudukan Sejagat atau dalam Bahasa Inggeris dikenali sebagai Global Positioning System (GPS).

Sistem ini mempunyai beberapa kelebihan antaranya, staf atau pegawai tidak perlu lagi berebut untuk ‘punch card’ kerana mereka kini boleh melakukannya dari jarak 200 meter.

Sistem ‘Spot-me’ yang dibangunkan oleh Unit Pemodenan Tadbiran Dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) digunakan oleh JTK Sarawak

Sekiranya staf atau pegawai tertentu lambat masuk pejabat, sistem ini akan meminta pegawai tersebut memberi penjelasan atau tunjuk sebab mereka lambat masuk ke pejabat.

Dalam hal ini, hanya penyelia sahaja yang boleh memberi kelulusan atas sebab kelewatan tersebut kerana mereka bertanggungjawab melakukan pemantauan berkenaan isu staf lewat masuk pejabat.

Walau bagaimanapun, beliau mengakui bahawa sistem ini masih ada kelemahan kerana ia bergantung sepenuhnya kepada pencapaian internet.

Kedua, JTK Sarawak telah memperkenalkan Monitoring System on the Employment of Non-Sarawakians (MSEN) untuk permohonan Approval in Principle (AP) atau Lesen Penggajian Pekerja Bukan Pemastautin.

Statistik ringkasan pencapaian JTK Sarawak bagi tempoh Januari hingga Jun 2022

Dengan adanya sistem ini, majikan yang hendak memohon pekerja asing boleh melakukannya dengan mudah secara dalam talian tanpa perlu pergi ke pejabat JTK.

Majikan hanya perlu memasukkan (key-in) kesemua maklumat dalam sistem MSEN tersebut untuk dihantar kepada JTK, dan setelah maklumat berjaya diisi, majikan perlu menghantar salinan cetak (hard copy) kepada JTK untuk membuktikan permohonan tersebut adalah benar.

Ketiga, JTK Sarawak telah membangunkan Sistem E-NRE Repositori Lesen (Electronic-Non-Resident Employment) yang membolehkan majikan memuat turun lesen secara dalam talian dan menggunakan pangkalan data lesen bagi Jabatan.

JTK Sarawak menjalankan aktiviti pemeriksaan berkanun di tempat kerja

Sistem ini telah dapat menjimatkan masa majikan manakala pihak JTK juga telah dapat mengurangkan penggunaan kertas. 

Keempat, JTK Sarawak telah membangunkan sistem Ez-Labourcase untuk merekod dan memantau aduan atau tuntutan buruh.

Sistem ini sangat membantu terutama sekali semasa dunia sedang dilanda pandemik COVID-19 di mana mahkamah tidak dapat dibuka, dan mereka perlu failkan kes dalam tempoh 90 hari.

Sehubungan itu, Encik Awang Raduan memaklumkan bahawa, JTK akan mempertandingkan inisiatif ini dalam konvensyen Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) yang akan diadakan pada bulan Oktober akan datang.

Perkhidmatan Dalam Talian

Semasa pandemik COVID-19 juga, JTK Sarawak turut menggunakan kaedah dalam talian seperti  aplikasi Zoom Meeting dan Google Meet untuk memberi perkhidmatan kepada pelanggan-pelanggan khususnya bagi Pendidikan Perburuhan serta khidmat nasihat.

Sistem-sistem yang telah diperkenalkan ini adalah bertujuan untuk menyebarluaskan perkhidmatan jabatan agar ianya tidak terhad kepada perkhidmatan di kaunter sahaja.

JTK Sarawak juga telah berjaya menyiapkan Pelan Antirasuah Organisasi (OACP) 2021 – 2025 yang menjelaskan komitmen “Warga JTK Sarawak beriltizam serta komited bagi memastikan segala pelan tindakan dan inisiatif yang dibangunkan dalam OACP dapat dilaksanakan dengan telus dan berintegriti.”

JTK Sarawak telah membangunkan OACP tersebut berdasarkan inisiatif di bawah Strategi 2 iaitu ‘Memperkukuhkan Kecekapan Penyampaian Perkhidmatan dalam Sektor Awam’.

Pelan OACP JTK Sarawak telah terhasil daripada perbincangan dan sesi percambahan fikiran semasa Bengkel Pembangunan dan Pemurnian Kerangka OACP yang telah diadakan pada 19-21 Oktober 2020 bertempat di Dorset Boutique Hotel.

Pengurusan Tertinggi JTK Sarawak amat peka dan konsisten dalam mendukung aspirasi negara agar dikenali sebagai kerajaan berintegriti justeru, pelan ini diyakini dapat menangani permasalahan dan kelemahan urus tadbir, integriti dan gejala rasuah dalam kalangan warga JTK Sarawak.  

Bagi penerapan nilai-nilai murni dalam kalangan warga jabatan, pelbagai program seperti Program Tahunan anjuran JTK Sarawak yang dikenali sebagai Program Labour Go Rural Area Programme (GRAP) turut dilaksanakan sebagai satu inisiatif untuk menyantuni komuniti setempat.

JTK Sarawak menjalankan aktiviti pemeriksaan berkanun di tempat kerja

Antara aktiviti yang sering diadakan bersama komuniti adalah program serahan bakul kasih kepada yang memerlukan dan program Pendidikan Perburuhan untuk memberikan kesedaran kepada penduduk akan undang-undang perburuhan negara.

Selain itu, JTK juga turut mengadakan aktiviti pembersihan surau, gereja, tepi pantai dan sebagainya agar jabatan ini dapat lebih mendekat dengan masyarakat dan masyarakat akan lebih mengenali kita.

JTK Sarawak mengadakan Program Ceramah dan Pendidikan Pemburuhan di rumah panjang

Antara pencapaian JTK Sarawak yang lain ialah, setakat bulan Jun 2022, sebanyak 98% daripada 185 kes aduan buruh telah berjaya diselesaikan dalam tempoh 30 hari manakala sebanyak 92% daripada 485 kes tuntutan kes buruh telah berjaya diselesaikan di Mahkamah Buruh dalam tempoh 90 hari.

Selain itu, sebanyak 92% daripada 1,766 lesen penggajian pekerja bukan pemastautin telah berjaya diluluskan dan dikeluarkan dalam tempoh tujuh (7) hari manakala sebanyak 92% daripada 2,937 lesen penggajian pekerja bukan pemastautin telah berjaya diperbaharui dalam tempoh 10 hari.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article