Jabatan Imigresen Malaysia merupakan salah satu agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang menyediakan perkhidmatan kepada Warganegara Malaysia, Penduduk Tetap dan Warga Asing yang berkunjung ke Malaysia.
Secara amnya, Bahagian Hal Ehwal Imigresen di KDN berperanan memastikan dasar dan peraturan kemasukan orang asing ke negara ini bersesuaian dengan kepentingan negara di samping memastikan warganegara dan warga asing yang layak tidak dinafikan sebarang kemudahan imigresen.
Bahagian ini juga berperanan menggubal dasar Imigresen dan Pasport, dasar Permit Masuk dan juga perkara yang berkaitan dengan dokumentasi di sempadan atau lintas batas antara dua negara.
Fungsi utama bahagian ini meliputi kajian dasar, perundangan dan prosedur hal ehwal Imigresen berkenaan penyelarasan permit masuk, penyelarasan hubungan antarabangsa, penyelarasan kemudahan pas imigresen, penyelarasan kawalan dokumentasi dan urus setia bagi Makmal Pengurusan Warga Asing.
Bahagian Hal Ehwal Imigresen menjalankan tugas-tugas di bawah akta-akta dan peraturan-peraturan yang sedia ada seperti berikut:
- Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002);
- Peraturan-peraturan Imigresen 1963;
- Akta Pasport 1966 (Akta 150);
- Pekeliling Jabatan Imigresen Malaysia;
- Perintah Am; dan
- Arahan Pentadbiran.
Sehubungan itu, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sarawak mempunyai empat peranan utama iaitu yang pertama adalah mengeluarkan Pasport dan Dokumen Perjalanan kepada warganegara dan penduduk tetap yang hendak pergi ke luar negara.
Contohnya, apabila seseorang individu hendak pergi ke Indonesia, Australia, London, England dan sebagainya, maka individu tersebut perlu memohon pasport atau dokumen perjalanan di Jabatan Imigresen.
Pasport Malaysia adalah suatu Dokumen Perjalanan yang sah yang dikeluarkan oleh kerajaan kepada warganegara Malaysia bagi maksud perjalanan keluar negara, dan ia adalah hak milik Kerajaan Malaysia dan boleh ditarik balik pada bila-bila masa.
Permohonan pasport ini boleh dilakukan di semua Pejabat Imigresen di Malaysia dan di Pejabat Perwakilan Malaysia luar negara dan tempoh sah laku pasport adalah lima (5) tahun dari tarikh ia dikeluarkan.
Perkara ini dijelaskan oleh Pengarah Imigresen Sarawak, Datu Ken Anak Leben ketika ditemu ramah oleh RAKAN Sarawak.
Peranan Jabatan Imigresen Sarawak yang kedua ialah mengeluarkan dokumen-dokumen lain seperti Dokumen Perjalanan Terhad untuk ‘internal travel’ kerana JIM Sarawak mahu mengawal kemasukan warga dari Semenanjung dan Sabah.
Dokumen Perjalanan Terhad ini dikeluarkan kepada warganegara Malaysia dari Semenanjung dan Sabah bagi tujuan perjalanan keluar atau masuk dan tinggal sementara di Sarawak bagi tempoh melebihi tiga (3) bulan.
Tempoh sah laku Dokumen Perjalanan Terhad ini adalah lima (5) tahun dari tarikh ia dikeluarkan dan boleh dilanjutkan selama lima (5) tahun lagi.
Peranan Jabatan Imigresen Sarawak yang ketiga ialah mengeluarkan Visa kepada pekerja asing yang hendak bekerja di negeri Sarawak dan pelawat yang hendak datang ke negeri Sarawak.
JIM Sarawak juga bertanggungjawab mengeluarkan Pas kerja kepada warganegara asing yang hendak bekerja di Sarawak, dan mengeluarkan Permit kepada penduduk yang baharu memohon.
Peranan JIM Sarawak seterusnya ialah, mengawal selia pergerakan keluar masuk orang di pintu-pintu masuk yang diwartakan (luat, darat dan udara).
Setiap kali anda hendak keluar dari luar negeri Sarawak, anda perlu melalui pintu pemeriksaan Imigresen yang telah diwartakan.
Dalam hal ini, pelawat yang masuk adalah wajib melapor kepada pintu masuk yang terdekat kerana peranan Imigresen bukan untuk mengejar dan menangkap mereka, sebaliknya mereka wajib melapor kepada pintu masuk.
Sehubungan itu, JIM telah menguatkuasakan Akta Imigresen 1959/63, Peraturan-peraturan Imigresen 1963, Akta Pasport 1966, Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (pindaan 2010).
Dengan penguatkuasaan akta ini, warganegara yang memohon pasport perlu mempunyai kriteria-kriteria yang dapat memenuhi syarat kerana mereka tidak boleh memohon sesuka hati.
Menurut Datu Ken, JIM Sarawak mempunyai keistimewaan kerana semasa penubuhan Malaysia Kerajaan Negeri Sarawak menghendaki kuasa autonomi ke atas imigresen berkenaan kemasukan warga negara asing dan warga negara yang berasal dari Semenanjung, Sabah dan Labuan.
Bermakna, Kerajaan Negeri Sarawak menghendaki kuasa-kuasa kemasukan mereka yang bukan warga Sarawak, adalah berada di bawah bidang kuasa negeri Sarawak.
Jelas beliau, perkara ini telah termaktub dalam Akta Imigresen Malaysia 1959/63 di bawah Bahagian 7, Seksyen 62 hingga Seksyen 74 (ini semua kuasa Kerajaan Negeri Sarawak).
Contohnya, warganegara yang berasal dari Semenanjung yang mahu masuk ke Sarawak, berpandukan akta tersebut, mereka perlu melalui kawalan Imigresen. Bisanya warganegara Semenanjung diberi tempoh tiga bulan untuk berada di Sarawak dan bagi mereka yang datang untuk bekerja juga tidak boleh datang sesuka hati kerana mereka perlu memohon pas yang sesuai, yang telah ditentukan oleh Kerajaan Negeri Sarawak.