Program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (JAKM) siri ketujuh kali ini menyantuni Keluarga Malaysia di Negeri Sarawak Bumi Kenyalang, bertempat di Dataran Perayaan, Petra Jaya, Kuching, bermula dari 5 hingga 7 Ogos 2022.
JAKM adalah kesinambungan kepada kejayaan pelaksanaan program 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 9 hingga 12 Disember 2021.
Menerusi keputusan Mesyuarat Jemaah Menteri, penganjuran program ini diperluaskan melalui siri JAKM yang akan diadakan di 13 buah negeri dan acara penutupan di Putrajaya.
JAKM Negeri Johor merupakan siri jelajah yang pertama telah diadakan pada 3 hingga 5 Mac 2022 di Dataran Angsana Mall Johor Bahru.
JAKM Negeri Perlis adalah siri jelajah kedua yang diadakan pada 25 hingga 27 Mac 2022 di Kompleks Sukan Tuanku Syed Putra, Kangar.
JAKM Negeri Sabah adalah siri jelajah ketiga yang diadakan pada 20 hingga 22 Mei 2022 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), Kota Kinabalu.
JAKM Negeri Terengganu adalah siri jelajah keempat yang diadakan pada 2 hingga 4 Jun 2022 di Kompleks Sukan Negeri Terengganu, Kuala Nerus.
JAKM Negeri Perak adalah siri jelajah kelima yang diadakan pada 1 hingga 3 Julai 2022 di Litar Dato’ Sagor, Pasir Salak.
JAKM Negeri Kelantan adalah siri jelajah keenam yang diadakan pada 22 hingga 24 Julai 2022 di Pekarangan Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu.
Penganjuran jelajah ini merupakan manifestasi semangat kebersamaan antara Kerajaan Persekutuan melalui penglibatan pelbagai kementerian dan agensi bersama-sama Kerajaan Negeri selaku tuan rumah.
Unit Penyampaian Kemakmuran Bersama (SEPADU), Jabatan Perdana Menteri adalah penganjur dan penyelaras utama program ini.
Konsep penganjuran berfokuskan kepada penyampaian perkhidmatan secara langsung dan pemberian bantuan kepada rakyat.
Majlis Perasmian Penutupan JAKM Negeri Sarawak akan disempurnakan oleh Perdana Menteri, YAB Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob pada 7 Ogos 2022 (Ahad), pukul 10.00 pagi.
Turut hadir Premier Sarawak, YAB Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Haji Openg serta kepimpinan tertinggi Kerajaan Persekutuan dan Negeri.
JAKM Negeri Sarawak diterajui oleh Kementerian Kerja Raya (KKR) selaku kementerian yang bertanggungjawab dalam pengisian program dengan kerjasama Kerajaan Negeri Sarawak.