Hubungan baik antara Sarawak dan Persekutuan sejak penubuhan Malaysia adalah berlandaskan kepada semangat kebangsaan yang kuat untuk kepentingan kepada Malaysia sebagai sebuah negara yang berdaulat dan merdeka.
Premier Sarawak, YAB Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Haji Openg menekankan adalah penting setiap rakyat Malaysia memastikan semangat kebersamaan dan kebangsaan yang telah terjalinan sejak sekian lama terus kekal dihayati.
Beliau menyatakan demikian ketika berucap dalam Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2022 Peringkat Negeri Sarawak pada 13 Ogos 2022.
Jelas Premier Sarawak, jika diimbas kembali hubungan yang terjalin antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan, ia sudah terbentuk antara para pemimpin terdahulu ketika pembentukan Malaysia.
Kemudiannya melalui gabungan parti-parti politik bersama parti-parti lain ketika Sarawak di bawah platform politik yang sama dengan parti-parti lain selama 45 tahun.
Beliau percaya platform politik yang berlainan pada ketika ini tidak seharusnya menjadi penghalang ke arah menjalin kerjasama dan keakraban antara Kerajaan Sarawak dan Kerajaan Persekutuan dalam semangat kebangsaan untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang maju dan dihormati.
Jelas beliau jika ditinjau daripada sejarah penubuhan Malaysia pada 1963, Perdana Menteri Tanah Melayu ketika itu iaitu Tunku Abdul Rahman telah melihat betapa pentingnya untuk membawa Persekutuan Tanah Melayu, Singapura, Brunei, Sarawak dan Borneo Utara (Sabah) ke arah satu bentuk kerjasama politik dan ekonomi melalui Gagasan Malaysia.
Keadaan ini, jelasnya perlu menyedarkan kita bahawa pembentukan Malaysia pada tahun 1963 adalah bersandarkan kepada semangat kebersamaan dalam Persekutuan Malaysia di mana Sarawak bersama Tanah Melayu dan Sabah telah bergabung dengan dipacu oleh aspirasi ke arah kemerdekaan dan pembangunan untuk semua wilayah.
Malah, semangat ini diteruskan dengan Konsep Keluarga Malaysia yang ilhamkan YAB Perdana Menteri sesungguhnya adalah amalan dan fahaman yang sememangnya telah wujud di Sarawak sejak dahulu lagi dan akan kita teruskan dalam konteks hubungan antara Sarawak dan Kerajaan Pusat.
Suasana kemesraan dan muhibah yang tergambar dalam penganjuran program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia minggu lepas harus terus wujud antara Kerajaan Sarawak dan Kerajaan Persekutuan untuk memastikan keseluruhan negara ini sama-sama bergerak ke arah menjadi kawasan yang maju, terutamanya di Sarawak.