Tebaloi, makanan ringan tradisional masyarakat Melanau Sarawak kini boleh diperoleh dengan mudah di semua pintu masuk, kedai-kedai cenderamata utama serta pasaraya-pasaraya terkemuka (termasuk rangkaian Pasaraya Giant di seluruh negara) untuk dijadikan sebagai buah tangan mahupun hadiah untuk dibawa pulang.
Saiz bungkusan yang lebih kecil (130 gram) dan rekaan grafik berlatarkan Menara Berkembar Petronas pada bungkusannya sudah cukup menunjukkan sasaran utamanya ialah para pelancung yang datang atau bagi menarik pasaran antarabangsa.
Sungguhpun demikian, saiz yang lebih besar turut dihasilkan bagi memenuhi selera dan permintaan tempatan.
Strategi pembungkusan itu diperkenalkan oleh Pertubuhan Peladang Negeri Sarawak sebagai salah satu langkah meningkatkan pasaran bagi produk tebaloi yang dihasilkan oleh Kilang Tebaloi Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Simunjan di Sadong Jaya.
Projek Kilang Tebaloi itu telah dimulakan pada tahun 2000 dengan modal permulaan kira-kira RM400 ribu. Kini ia diuruskan oleh dua kakitangan PPK dan 10 orang pekerja terdiri daripada penduduk tempatan.
Ia juga merupakan satu-satunya pusat pemprosesan tebaloi secara komersil di luar Bahagian Mukah yang terkenal dengan perusahaan itu.
Pengurus Besar kilang itu, Kamal Tahir menjelaskan bahawa lokasi itu dipilih kerana terdapat banyak kelapa muda dan daun pisang yang merupakan keperluan penting untuk pengeluaran tebaloi. Kira-kira 60 kg kelapa parut segar diperlukan setiap hari. Tepung sagu pula dibawa dari Mukah dan boleh bertahan lama sungguhpun memakan masa dalam proses penghantarannya.
Tebaloi di Sadong Jaya dihasilkan daripada tepung sagu, kelapa parut segar, gula dan serbuk kunyit yang kemudiannya dibakar di atas daun pisang menggunakan oven untuk memberi rasa yang lembut dan harum. Tebaloi yang dihasilkan boleh disimpan sehingga satu setengah tahun.
Menurut Kamal, kilang tebaloi itu telah mengeluarkan di antara 550 dan 630 bungkus (80 – 90 kg) sehari dalam tiga tahun pertama operasinya. Walau bagaimanapun, pengeluarannya menurun kepada di antara 300 dan 350 bungkus (60 – 70 kg) sehari sejak tahun 2004 berikutan pengenalan bungkusan baru yang bersaiz lebih kecil dan berintensif buruh serta proses pengubahsuaian yang dilaksanakan ke atas kilang.
Beliau turut yakin bahawa pengeluaran tebaloi akan meningkat sebanyak 45 peratus tahun ini dengan adanya kerjasama baru bersama dengan Lembaga Pemasaran Pertanian Pesekutuan (FAMA).
Kerjasama penyelidikan dan pembangunan (R&D) dengan Lembaga Pemasaran Lada Hitam (JPLH) juga telah diadakan untuk menghasilkan tebaloi berperisa lada sebagai langkah menambah kepelbagaian produknya. Selain itu, tebaloi berperisa cokelat dan pandan juga telah dirancang untuk dikeluarkan sedikit masa lagi bagi menarik pasaran luar negeri.
Sebagai langkah memenuhi keperluan pengeluaran, sebuah kilang baru akan dibina tidak lama lagi di tapak yang telah dikenalpasti dan akan dilengkapi dengan mesin terkini.
Langkah membina kilang baru itu juga bertujuan untuk membolehkan kilang itu menepati piawaian dalam industri pemprosesan makanan negara yang seterusnya akan memajukan lagi pengeluaran tebaloi di Sadong Jaya.