- Advertisement -spot_img
4,842
published news
and counting

Inisiatif Baharu dan Insentif Untuk Penjawat Awam

Must read

Perdana Menteri YAB Dato’ Sri Ismail Sabri bin Yaakob telah mengumumkan beberapa inisiatif baharu dan insentif untuk penjawat awam sempena Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam Ke-18 (MAPPA XVIII) yang berlangsung di Putrajaya International Convention Centre (PICC), Putrajaya pada 30 Ogos 2022.

Perdana Menteri YAB Dato’ Sri Ismail Sabri bin Yaakob menyampaikan amanat pada MAPPA Ke-18 yang berlangsung di Putrajaya International Convention Centre (PICC), Putrajaya pada 30 Ogos 2022 (Foto Facebook Ketua Setiausaha Negara)

Yang pertama, kadar maksimum jumlah cuti rehat yang boleh dikumpul bagi tujuan award wang tunai (GCR) dinaikkan daripada 160 hari kepada 180 hari.

Kenaikan kadar maksimum GCR baharu yang diumumkan membolehkan cuti penjawat awam disimpan bagi tujuan award wang tunai di masa persaraan, seterusnya meningkatkan tunai di tangan pada hari persaraan kelak.

Kedua, tambahan Kadar Cuti Rehat Khas sebanyak lima (5) hari menjadikan jumlah Cuti Rehat Khas 15 hari setahun kepada Pegawai Perkhidmatan Pendidikan yang telah berkhidmat melebihi 10 tahun.

Seramai lebih kurang 500,000 guru akan mendapat manfaat daripada tambahan cuti rehat tersebut bagi urusan-urusan mustahak dan kecemasan yang dibenarkan serta memberi peluang kepada para guru mengumpul jumlah GCR yang lebih tinggi apabila bersara.

Seramai lebih kurang 500,000 guru akan mendapat manfaat daripada tambahan cuti rehat khas sebanyak lima hari seperti diumumkan Perdana Menteri pada MAPPA Ke-18

Ketiga, perluasan tafsiran ahli keluarga bagi kemudahan Cuti Tanpa Rekod urusan kematian ahli keluarga terdekat.

Perdana Menteri menjelaskan, jika sebelum ini cuti tanpa rekod bagi urusan kematian hanya tertakluk kepada kematian suami atau isteri, ibu kandung dan ibu mertua, bapa kandung dan bapa mertua serta anak sahaja, penambahbaikan tafsiran ahli keluarga diperluas kepada kematian yang melibatkan adik-beradik, nenek dan datuk bagi anggota perkhidmatan awam.

Keempat, penambahbaikan pemberian pergerakan gaji tahunan kepada pegawai yang telah mencapai gaji maksimum.

Kerajaan telah bersetuju menambah baik Kadar Tetap 3% semasa yang diterima oleh pegawai yang mencapai gaji maksimum kepada suatu kadar baharu dan diseragamkan mengikut gred bagi semua klasifikasi perkhidmatan berkuat kuasa 1 Januari 2022.

Tambah beliau, pekeliling bagi menjelaskan perkara tersebut secara terperinci akan dikeluarkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Kelima, bayaran Kenaikan Gaji Tahunan (KGT) tambahan khas sebanyak RM100 untuk penjawat awam Gred 11 hingga Gred 56 dan akan dibayar mulai Januari 2023.

Bayaran tambahan berkenaan akan memanfaatkan seramai 1.28 juta penjawat awam dengan implikasi kewangan sebanyak RM1.5 bilion.

Sebelum ini, kadar KGT bagi Gred 11 adalah sebanyak RM80, maka pada tahun 2023, penjawat awam gred tersebut akan menerima kadar KGT asas sebanyak RM80 dan tambahan khas sebanyak RM100 menjadikan jumlah KGT yang diterima pada 2023 adalah sebanyak RM180, jelas Perdana Menteri.

Keenam, Bantuan Khas Kewangan (BKK) bagi tahun 2023 akan dibayar sebanyak RM700 kepada anggota perkhidmatan awam Gred 56 ke bawah dan RM350 bagi pesara kerajaan dan veteran tidak berpencen.

Menurut Perdana Menteri, kerajaan sentiasa mendengar keluh-kesah anggota perkhidmatan awam. Oleh itu, kerajaan bersetuju agar JPA menyegerakan kajian ke atas Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) dengan mengambil kira keseluruhan aspek modal insan merangkumi saraan dan perkhidmatan agar relevan dengan keadaan semasa serta kemampuan kewangan kerajaan.

MAPPA Ke-18 turut dihadiri Ketua Setiausaha Negara, YBhg Tan Sri Dato’ Seri Mohd Zuki bin Mohd Ali.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article