Kumpulan KAUL IX dari Majlis Daerah Dalat dan Mukah telah dinobatkan sebagai Johan konvensyen Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK), Kementerian Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak (MPHLG) yang telah berlangsung selama tiga hari bermula 8 hingga 10 Ogos 2022.
Masalah longgokan sampah sarap yang melimpah keluar dari tong sampah telah mencetuskan idea kepada kumpulan KAUL IX untuk mencipta sebuah alat inovasi yang dipanggil ‘Trash Bin Sensors’ (TRASENS) bagi memastikan kerja-kerja kutipan sampah dapat dilakukan dengan lebih cekap.
TRASENS direka khas dengan aplikasi supaya dapat mengesan tahap muatan di dalam tong sampah adalah pada kadar yang telah ditetapkan.
Apabila muatan-muatan tong sampah penuh, kakitangan Majlis akan menerima isyarat dari aplikasi tersebut, seterusnya akan menghubungi pihak yang bertanggungjawab untuk mengangkat muatan sampah tersebut.
Penggunaan TRASENS telah berjaya meningkatkan keberkesanan operasi pengurusan sisa pepejal dengan mewujudkan persekitaran kerja yang lebih baik bagi petugas Pembantu Awam.
TRASENS merupakan inisiatif pihak Majlis dalam menangani aduan awam mengenai longgokan sampah yang bertaburan di sekeliling tong sampah di taman awam.
Sampah sarap yang bertaburan dan longgokan sampah merupakan antara pandangan yang menjengkelkan masyarakat dan boleh menjejaskan imej bandar Mukah sebagai pilihan destinasi pelancongan.
Sehubungan dengan itu, TRASENS secara tidak langsung telah dapat membentuk masyarakat berminda kelas pertama yang bertanggungjawab dan kesedaran yang tinggi dalam aspek kebersihan persekitaran.
Kumpulan EMCO dari Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) pula telah dinobatkan sebagai Naib Johan yang menampilkan projek bertajuk ‘Kesesakan lalulintas yang disebabkan kerja-kerja baikpulih lampu isyarat tergendala akibat bekalan elektrik terputus mengambil masa yang lama’.
Inovasi Kumpulan EMCO yang digelar TL PowBank telah siap dan mula diguna pakai pada September 2019 dan sehingga kini, ia telah berjaya menjimatkan masa 100% dan Return on investment (ROI) sebanyak 377%.
TL-PowBank telah dihasilkan untuk diguna pakai di sepuluh (10) lokasi lampu isyarat di kawasan DBKU untuk mengatasi masalah kesesakan lalu lintas disebabkan kerja-kerja membaiki lampu isyarat tergendala disebabkan bekalan elektrik yang terputus.
Kumpulan EMCO bersedia berkongsi inovasi dengan mana-mana Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) atau mana-mana agensi yang mempunyai bidang tugas yang sama.
Sementara, di Tempat Ketiga ialah Kumpulan A.I.M dari Majlis Daerah Matu dan Daro (MDMD) dengan projek inovasi bertajuk ‘Aduan kacau ganggu lembu ternakan terbiar di jalan kampung Tian yang tinggi’.
Aduan awam berkaitan dengan gangguan lembu ternakan terbiar di kawasan Kampung Tian adalah satu isu yang tidak berkesudahan dan menjadi buah mulut penduduk setempat serta data juga telah menunjukkan aduan berkenaan adalah yang tertinggi diterima oleh Seksyen Kesihatan, MDMD.
Hal ini secara tidak langsung telah menjejaskan imej Majlis kerana seolah-olah pihak MDMD gagal mengambil tindakan ke atas permasalahan ini.
Masalah ini juga seringkali dibincangkan di dalam Mesyuarat Jawatankuasa Majlis semenjak 2016 dan sehingga ke tahun 2020 masih belum ada jalan penyelesaiannya.
Ketiadaan prosedur atau tatacara penguatkuasaan yang jelas serta agensi khusus yang menguatkuasakan tindakan terhadap perkara ini menyebabkan pihak pemilik atau penjaga haiwan ini mengambil kesempatan.
Maka, kumpulan AIM telah menggubal satu polisi khas berasaskan perundangan-perundangan yang sedia ada untuk menangani perkara ini.
Polisi Penguatkuasaan Haiwan Ternakan Terbiar Bagi Kawasan Pentadbiran MDMD telah berkuat kuasa sepenuhnya semenjak 1 Mac 2021 dan telah memberikan kesan langsung terhadap isu ini.
Kadar aduan mengenai isu telah menurun dengan drastik dan kadar kepuasan pelanggan meningkat yakni di dalam aspek penguatkuasaan haiwan ternakan terbiar.
Seterusnya, pemenang bagi persembahan terbaik ialah kumpulan G.U.R.L dari Majlis Daerah Lundu (MDL) dengan projek bertajuk ‘Tempoh pengesanan fail pegangan yang panjang’ kerana mendapati Isu pengurusan fail pejabat bukanlah isu yang remeh-temeh.
Akta dan peraturan telah pun ditetapkan bagi menunjukkan keseriusan Kerajaan dalam memastikan keselamatan dan kerahsiaan terpelihara pada setiap masa hingga jika disabit kesalahan tindakan tatatertib boleh dikenakan sehingga hukuman buang kerja.
Kelemahan dalam pengurusan fail dan rekod boleh memberi ruang serta peluang bagi isu kebocoran maklumat hingga ianya berjaya disalurkan kepada pihak yang tidak bertanggungjawab.
Sekiranya tidak diselesaikan, masalah ini boleh memberi kesan kepada kakitangan yang bertanggungjawab, peningkatan kos perbelanjaan pejabat, tahap kecekapan organisasi, proses kerja yang kurang efisien, penggunaan masa yang panjang dan fungsi Jabatan sebagai PBT.
Setelah inovasi ini diperkenalkan, pegawai fail sedia ada telah banyak mendapat manfaat kerana mereka talah didedahkan dengan kemahiran Teknologi Maklumat (IT) dan impaknya terhadap tugasan hakiki mereka ialah, ia telah dapat dilaksanakan dengan kadar yang maksimum.
Proses kerja juga menjadi semakin pendek dan mudah sekali gus memberi imej yang baik dalam usaha Jabatan memberi perkhidmatan terbaik kepada pelanggan. Untuk rekod, projek ini telah berjaya memberi penjimatan ke atas masa pengesanan fail dengan penurunan masa sebanyak 97.06%.