Seminar Hari Peladang, Penternak dan Nelayan (HPPN) 2006 yang bertemakan ‘Pertanian adalah Perniagaan’ anjuran Jabatan Pertanian Sarawak dan Angkatan Zaman Mansang (AZAM) bertempat di Sri Aman awal Ogos lalu telah berjaya membuka minda seramai kira-kira 50 peserta yang menghadirinya.
Para peserta yang terdiri daripada kalangan peladang, penternak dan nelayan berkenaan kini bukan sahaja melihat pertanian sebagai sumber pendapatan keluarga malah lebih jauh lagi sebagai sebuah perniagaan yang mampu memberi manfaat kepada lebih ramai pihak melalui pewujudan peluang-peluang baru.
Mereka juga telah berpeluang menghadiri klinik pertanian yang melibatkan penyertaan beberapa buah agensi seperti Bank Pertanian Malaysia, Jabatan Pertanian Sarawak, MARDI, FAMA dan SALCRA.
Selain itu, seminar sehari itu juga membawa kepada perbincangan tentang beberapa sektor pertanian yang berpotensi untuk dibangunkan.
Sektor tanaman, perikanan, ternakan dan industri kecil serta sederhana telah dikenal pasti berpotensi dan mempunyai peluang yang luas untuk dibangunkan
Turut menarik perhatian peserta ialah kisah kejayaan atau sesi perkongsian pengalaman daripada beberapa rakan seperjuangan mereka yang dijemput khas oleh pihak penganjur.
Sesi perkongsian itu diharap dapat menyuntik semangat para peserta untuk mengikut jejak rakan-rakan yang telah berjaya menceburkan diri dalam pertaniaan komersil.
Info Seminar HPPN
Diadakan pada setiap tahun sempena sambutan perayaan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan (HPPN) dan dihadiri oleh para usahawan dan pengusaha dalam sektor pertanian, penternakan dan perikanan.
Objektif
- mengukuhkan ilmu pengetahuan peserta mengenai pertanian adalah perniagaan
- menggalakkan minat peserta dalam menceburi bidang keusahawanan pertanian komersil
- mendedahkan maklumat mengenai teknik pengurusan pertanian yang berkesan
- meningkatkan motivasi peserta dalam kegiatan pertanian moden
Tujuan
Untuk memupuk minat bertani di kalangan masyarakat selain untuk menyebarkan maklumat berkaitan sektor pertanian kepada masyarakat umum di negeri Sarawak.