Seperti yang kita sedia maklum, sasaran Kerajaan Sarawak dalam Strategi Pembangunan Pasca-COVID-19 2030 (PCDS 2030) ialah untuk memastikan Sarawak maju dan beralih kepada sektor ekonomi baharu yang dipacu oleh teknologi digital, data dan inovasi.
Oleh itu, kami sebagai anggota perkhidmatan awam akan terus komited untuk memastikan inovasi ini menjadi budaya dalam penyampaian perkhidmatan awam agar ianya kekal berdaya saing dalam persekitaran perniagaan global yang dinamik serta tidak menentu.
Perkara ini ditekankan Setiausaha Kerajaan Sarawak, YB Datuk Amar Haji Mohamad Abu Bakar Marzuki semasa berucap pada Majlis Anugerah Sarawak Civil Service Innovation Convention Awards (SCSICA) 2022 di Raia Hotel dan Convention Center, Kuching pada 21 Oktober 2022.
Jelas beliau, perkhidmatan awam kini berada dalam era di mana rakyat menuntut dan mengharapkan mutu perkhidmatan yang tinggi selaras dengan gaya hidup pada masa kini.
Sudah tentu kaedah penyampaian yang digunakan dalam perkhidmatan awam pada masa dulu mungkin tidak lagi sesuai justeru, ia perlu dipertingkatkan dan diinovasikan dari semasa ke semasa.
Beliau berharap anggota perkhidmatan awam akan sentiasa meningkatkan mutu perkhidmatan menggunakan pendekatan dan idea-idea yang lebih berinovasi bagi memenuhi harapan dan permintaan rakyat untuk mendapatkan perkhidmatan yang berkualiti tinggi.
Berkenaan dengan Bulan Inovasi Perkhidmatan Awam ini, ia merupakan anjuran secara kolaborasi diantara Jabatan Premier Sarawak dan Pejabat Setiausaha Persekutuan Sarawak.
Beliau menyifatkan ia merupakan platform untuk agensi-agensi Kerajaan di Sarawak sama ada peringkat Negeri atau peringkat Persekutuan untuk melestarikan budaya inovasi sebagai teras penyampaian perkhidmatan.
Tema “Inovasi Untuk Kelestarian” dianggap bertepatan dan relevan dengan PCDS 2030 yang telah diilhamkan oleh Premier Sarawak, YAB Datuk Patinggi Tan Sri (Dr.) Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Haji Openg.
Sepanjang tahun ini, sebanyak 33 jenis program yang berkaitan dengan inovasi telah dianjurkan oleh 36 agensi di Sarawak yang terdiri daripada 17 agensi negeri dan 19 agensi persekutuan.
Beliau yakin, dengan adanya program seperti ini, budaya inovasi akan sentiasa dipupuk di kalangan anggota perkhidmatan awam di samping menyemai budaya inovasi di kalangan orang ramai.
Bulan inovasi seperti ini turut merapatkan hubungan di kalangan anggota perkhidmatan awam yang bekerja sebagai satu pasukan.
Kerana itu beliau percaya, semangat satu pasukan yang disemai di kalangan anggota perkhidmatan awam ini akan membolehkan perkhidmatan disampaikan dengan lebih berkesan lagi.
Beliau menyatakan bahawa program SCSICA telah dianjurkan sejak sekian lama dan ia telah berjaya melestarikan budaya inovasi dan kreativiti di kalangan penjawat awam Sarawak.
Unit Pemodenan Perkhidmatan Sarawak (UPPN), Jabatan Premier Sarawak dan Kementerian-Kementerian yang berkaitan telah berjaya menganjurkan konvensyen KIKdi peringkat Kementerian, Unit-Unit Jabatan Premier, Pejabat Residen dan Pejabat Daerah.
Pendekatan seumpama ini merupakan langkah yang berkesan untuk memperkasakan inovasi di kalangan anggota perkhidmatan awam di semua peringkat iaitu dari peringkat operasi sehinggalah ke peringkat pengurusan.
Beliau memaklumkan, pada tahun ini sebanyak 132 pasukan telah menyertai SCSICA dan 45 pasukan telah berjaya mara ke pusingan akhir.
Ini merupakan satu usaha yang sangat memberangsangkan dan beliau berharap, ia akan dapat diteruskan pada tahun-tahun yang akan datang.
Pada pandangan beliau, kita harus bangga dengan pencapaian penjawat awam di peringkat negeri ini kerana produk atau perkhidmatan yang dihasilkan menerusi platform KIK telah berjaya mendapat pengiktirafan bukan hanya di dalam negeri tetapi juga di luar negara.
Dari tahun 2010 lagi kumpulan KIK kita telah berjaya membuktikan bahawa mereka bukan hanya berjaya di peringkat negeri dan kebangsaan, malah telah berjaya di peringkat antarabangsa.
Pada tahun ini, Sarawak telah menghantar tiga (3) kumpulan dari agensi Perkhidmatan Awam Sarawak untuk menggalas cabaran menyertai 47th The International Convention on QC Circles (ICQCC) 2022 di Jakarta pada 15 hingga 18 November 2022. Tiga kumpulan tersebut ialah kumpulan SASSOKU TECH dari Jabatan Tanah dan Survei (JTS) Bahagian Kuching, Kumpulan INNOTECH Q9 dari JTS Bahagian Bintulu dan Kumpulan SIRIUS PRIME dari Majlis Bandaraya Miri.