- Advertisement -spot_img
4,842
published news
and counting

Nilai Integriti Cegah Salah Laku

Must read

Usaha pembangunan dan penyatuan industri pertanian Sarawak amat terdedah kepada risiko rasuah, penyelewengan serta salah guna kuasa.

Sehubungan dengan itu, Setiausaha Tetap Kementerian Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah (M-FICORD), YBhg Datu Edwin Abit mengingatkan, pemupukan nilai integriti dalam kalangan pegawai dan kakitangan kementerian perlu diperluaskan supaya kes yang melibatkan salah laku dapat dikurangkan pada masa hadapan.

Menurut beliau, nilai tugas warga kementerian harus berlandaskan pada integriti kerana selain daripada nilai profesional dan semangat kerja berpasukan, integriti adalah satu daripada tiga (3) nilai yang lazimnya menjadi amalan teras dalam kementerian berkenaan.

Datu Edwin menjelaskan, nilai integriti juga merupakan kualiti asas yang perlu ada pada setiap pegawai dan kakitangan M-FICORD bagi memastikan visi, misi dan fungsi kementerian secara keseluruhannya dapat dicapai.

Datu Ebit mengetuai bacaan ikrar integriti pada sambutan Hari Integriti M-FICORD (Foto Facebook M-FICORD)

Sebagai langkah memerangi amalan rasuah dan salah guna kuasa, beliau memaklumkan bahawa pihak kementerian telah mengadakan Bengkel Pelan Anti Rasuah Organisasi (OACP) serta melancarkan Buku OACP M-FICORD khusus untuk agensi dan jabatan di bawah M-FICORD pada awal tahun ini.

Inisiatif tersebut juga menurut beliau adalah salah satu daripada usaha meningkatkan integriti dalam kalangan warga kementerian secara keseluruhan.

Beliau turut menasihatkan, setiap pegawai dan kakitangan M-FICORD memainkan peranan penting dalam memastikan penghayatan nilai integriti dan kesedaran tentang kemudaratan rasuah serta kesan rasuah terhadap individu, keluarga, masyarakat, organisasi dan negara.

Warga M-FICORD diingatkan supaya sentiasa memupuk nilai integriti yang dijadikan asas dalam melaksanakan tugas untuk memerangi salah laku dan budaya rasuah (Foto Facebook M-FICORD)

Dalam konteks kementerian, Datu Edwin mencadangkan agar setiap peringkat pengurusan perlu mempertingkatkan aspek usaha yang sewajarnya atau ‘due diligence’ dalam melaksanakan semua tugas demi meningkatkan mutu perkhidmatan untuk kesejahteraan rakyat.

Beliau mengakui, komitmen kepimpinan dalam memupuk budaya organisasi tulen yang berpaksikan integriti bukanlah tugas yang mudah.

Oleh yang demikian, beliau mengajak seluruh warga kementerian untuk sama-sama berusaha ke arah memupuk integriti dalam diri masing-masing bagi memastikan M-FICORD sentiasa dihormati dan disanjung.

Datu Ebit memaklumkan perkara tersebut ketika berucap pada majlis sambutan Hari Integriti Peringkat Kementerian Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah pada 5 Oktober 2022 di Kuching yang dirasmikan oleh Menteri Industri Makanan, Komoditi & Pembangunan Wilayah Sarawak, YB Dato Sri Dr. Stephen Rundi anak Utom.

Selain melancarkan OACP M-FICORD, pihak kementerian berkenaan juga telah menubuhkan Unit Integriti selari dengan arahan Pekeliling Integriti Negeri Sarawak Bilangan 2 Tahun 2019.

Objektif penubuhan Unit Integriti M-FICORD bertujuan untuk membudayakan sistem pentadbiran yang cekap, berintegriti, bermoral dan beretika.

Selain melancarkan OACP M-FICORD, pihak kementerian berkenaan juga telah menubuhkan Unit Integriti selari dengan arahan Pekeliling Integriti Negeri Sarawak Bilangan 2 Tahun 2019
Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article