Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) yang ke-26 turut meraikan 35 graduan kohot pertama Ijazah Sarjana Muda Program Perubatan, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan yang mendapat tajaan biasiswa penuh daripada Kerajaan Sarawak melalui Yayasan Sarawak.
Po Kian Ee, 25, berbangsa Cina dan berasal dari Kuching sangat bersyukur kerana telah mendapat tajaan biasiswa penuh daripada Kerajaan Sarawak melalui Yayasan Sarawak.
Po Kian Ee berkata, dengan adanya biasiswa yang diberikan oleh Yayasan Sarawak, sekurang-kurangnya ia telah dapat meringankan bebannya dari segi kewangan sepanjang lima (5) tahun pengajian di Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS).
Sebelum meneruskan pengajian di UNIMAS, Po Kian Ee merupakan pelajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Kuching No.1 (Tingkatan 1 hingga 5), kemudian memasuki Tingkatan Enam di SMK Batu Lintang.
Selepas tamat tingkatan enam, Po Kian Ee telah membuat keputusan untuk belajar dalam bidang perubatan kerana dia berniat mahu membantu orang yang sakit.
Bagi Po Kian Ee, dalam bidang perubatan, antara perkara yang paling penting ialah mempunyai kemahiran dalam komunikasi kerana kita perlu berkomunikasi dengan pesakit-pesakit yang berasal dari latar belakang yang berbeza apabila kita mahu memberikan rawatan kepada mereka.
Selain itu, kemahiran komunikasi ini juga sangat penting kerana kita perlu berinteraksi dengan rakan-rakan sekerja untuk mewujudkan satu pasukan yang cemerlang.
Sepanjang pengajian di UNIMAS, antara pengalaman yang tidak dapat dilupakan Po Kian Ee ialah apabila dia bertemu dengan pesakit-pesakit yang kritikal seperti kanser dan kemalangan sehingga mereka terpaksa dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU).
Situasi seperti inilah yang sukar dilupakan, namun ia telah dapat memberi motivasi dan dorongan kepadanya untuk belajar bersungguh-sungguh agar dapat memberi rawatan terbaik kepada pesakit-pesakit seperti ini suatu hari nanti.
Luah Po Kian Ee, pengajian dalam bidang perubatan sangat panjang iaitu selama lima (5) tahun dan ia memerlukan pengorbanan, semangat serta kesungguhan yang tinggi untuk berjaya menamatkan pengajian ini.
Jadi, kepada lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) yang berminat untuk menyambung belajar dalam bidang perubatan, Po Kian Ee mencadangkan agar mereka memilih UNIMAS sebagai tempat pengajian.
Hal ini kerana Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan UNIMAS mempunyai tenaga pengajar yang sangat komprehensif malah fakulti ini juga dilengkapi dengan kemudahan-kemudahan yang baik termasuk perpustakaan, perpustakaan dalam talian, kemudahan sukan dan sebagainya.
Akhir sekali, Po Kian Ee ingin mengucapkan terima kasih kepada semua tenaga pengajar, ibu bapa, kawan-kawan, rakan seperjuangan dan pesakit-pesakit yang pernah dijumpai kerana merekalah yang telah banyak memberikan dorongan serta motivasi kepadanya.
Sementara itu, Sofia Binti Mohd Adib Abdullah @Edyfa Sanyem, 24, sangat bersyukur mendapat biasiswa daripada Yayasan Sarawak kerana biasiswa tersebut telah dapat meringankan beban mereka dari segi kewangan.
Beritahunya, mereka yang mendapat biasiswa daripada Yayasan Sarawak juga sangat beruntung kerana yuran pengajian, sara hidup, pengangkutan, penginapan, bantuan buku, elaun perkakasan, elaun kertas dan projek ditanggung sepanjang tempoh pengajian
Sofia adalah berbangsa Bidayuh yang berasal dari Kampung Panchor Dayak Serian, dan merupakan anak kedua daripada empat orang adik beradik.
Sofia telah memilih bidang perubatan kerana minatnya yang tinggi terhadap bidang tersebut, malah katanya, bidang perubatan mempunyai banyak cabaran, justeru dia mahu mencabar dirinya untuk berdepan dengan cabaran-cabaran tersebut.
Menceritakan pengalamannya semasa berada di dalam dewan graduasi, Sofia memberitahu dirinya agak gemuruh namun, di sebalik semuanya itu, dia berasa sangat gembira dan bersyukur kerana telah dapat membanggakan ibu bapanya.
Menurut Sofia, belajar dalam bidang perubatan ini bukanlah mudah kerana kita perlu banyak mengorbankan masa untuk belajar malah, kita harus cekal dan banyak bertabah kerana banyak cabaran yang perlu dilalui.
Tambahnya, semestinya segala ilmu dan tunjuk ajar yang diberikan oleh pensyarah dimanfaatkan sepenuhnya kerana merekalah yang memberi bimbingan dan daripada bimbingan itulah kita dapat meraih kejayaan.
Selain itu, SofIa juga sering meluangkan masa belajar bersama rakan seperjuangan dan “senior” selain mendapatkan maklumat-maklumat daripada laman sesawang yang berkaitan dengan bidang yang dipelajari dan juga mendapatkan buku-buku rujukan yang disyorkan oleh pensyarah mereka.
Bagi Sofia, lima (5) tahun tempoh pengajian bukanlah satu jangka masa yang singkat, dan sudah tentu banyak pengalaman yang telah dilalui.
Pengalaman yang paling tidak dapat dia lupakan adalah apabila memasuki tahun ketiga pengajian kerana tahun tersebut adalah “clinical year” tahun yang semakin mencabar, dan setiap kali sebelum masuk ke dewan kuliah, dia sering berasa cemas dan bimbang.
Kerana itu, dia dan kawan-kawannya sentiasa buat persiapan sebelum memasuki kelas agar mudah untuk dia fahami apa yang diajar oleh pensyarah.
Walaupun begitu, ia tetap dianggap kenangan manis baginya walaupun kerana ia merupakan penyuntik semangat untuk mencapai kejayaan.
Bagi Sofia, bidang perubatan memerlukan perbelanjaan yang tinggi kerana kos pengajian yang agak mahal, namun dia tetap gigih kerana apabila berjaya menjadi seorang doktor, dia akan mempunyai peluang untuk membantu orang yang sakit atau yang memerlukan khidmat kesihatan.
Justeru, Sofia berasa beruntung memilih UNIMAS sebagai tempat menuntut ilmu kerana mempunyai tenaga-tenaga pengajar yang ikhlas dan penuh dedikasi dalam menyalurkan ilmu kepada mereka selain mempunyai rakan seperjuangan yang sentiasa memberi dorongan antara satu sama lain.
Selain itu, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan juga dilengkapi dengan fasiliti yang memudahkan proses pembelajaran.
Sudah semestinya UNIMAS telah berjaya melengkapkan semua para graduan untuk menempuhi alam pekerjaan kerana tenaga pengajar banyak memberi tumpuan terhadap skop-skop atau penyakit-penyakit yang sangat menonjol di Sarawak khasnya dan di Malaysia amnya.
Daripada temu ramah yang dijalankan, Po Kian Ee dan Sofia Binti Mohd Adib Abdullah sudah bersedia untuk berkhidmat di mana-mana hospital dalam Sarawak sebagai membalas jasa Kerajaan Sarawak yang telah memberikan biasiswa melalui Yayasan Sarawak kepada mereka.
Sekiranya ditugaskan di kawasan luar bandar, mereka berdua bukan sahaja terima dengan senang hati, malah amat teruja kerana ia adalah pengalaman yang baharu buat mereka.
Difahamkan, mereka akan mula ditugaskan di hospital-hospital Kerajaan di Sarawak pada awal Januari 2023.