Setiausaha Kerajaan Sarawak, YB Datuk Amar Haji Mohamad Abu Bakar bin Marzuki hadir menyaksikan Perlawanan Akhir Bola Sepak Piala Setiausaha Kerajaan Sarawak 2022 di antara pasukan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) FC menentang Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU).
APM FC muncul juara apabila menewaskan DBKU dengan jaringan 2-1 dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Negeri, Petra Jaya, Kuching pada malam 1 November 2022.
Perlawanan dilangsungkan selama 30 minit secara keseluruhan dengan peraturan sembilan (9) orang pemain mewakili setiap pasukan.
Datuk Amar Haji Mohamad Abu Bakar kemudiannya menyampaikan piala kepada juara, naib juara serta pemenang tempat ketiga yang dimenangi bersama oleh pasukan Landas FC dan IPK Sarawak.
Beliau turut menyampaikan hadiah sagu hati dan cenderahati kepada semua agensi yang terlibat menjayakan kejohanan yang dianjurkan oleh APM Negeri Sarawak.
Sebanyak 16 buah pasukan beraksi dalam perlawanan yang bermula di peringkat kumpulan dan kalah mati pada 29 hingga 30 Oktober dan seterusnya ke perlawanan akhir.
Sebelum perlawanan akhir bermula, Datuk Amar Haji Mohamad Abu Bakar dan Pengarah APM Sarawak, PPj. (PA) Abdul Wahab bin Haji Rahim turut menyaksikan perlawanan persahabatan di antara pasukan agensi Kerajaan Persekutuan dan pasukan agensi Kerajaan Negeri.
Perlawanan dimenangi pasukan agensi Kerajaan Negeri menerusi jaringan 2-0.