Salah satu tujuan Festival Penulis Sarawak atau Sarawak Authors Festival 2022 (SAF2022) diadakan adalah untuk menggalakkan kreativiti penulisan kerana menerusi penulisan dan penerbitan, ia dapat memelihara khazanah ilmu di Sarawak.
Selain itu, penganjuran SAF2022 sekali gus mengingatkan masyarakat tentang peranan Pustaka Negeri Sarawak sebagai Pusat Serahan Bahan Terbitan di Sarawak.
Pustaka Negeri Sarawak selain berfungsi sebagai Perpustakaan Negeri, juga berperanan sebagai Pusat Depositori bagi penyimpanan bahan-bahan terbitan, rekod-rekod awam Kerajaan Sarawak dan bahan-bahan arkib untuk negeri Sarawak.
Bagi memastikan Pustaka sentiasa relevan kepada masyarakat di Sarawak, pelbagai aktiviti telah dirancang untuk dilaksanakan termasuk aktiviti atau program yang menggalakkan penulisan dan penerbitan melalui penganjuran SAF yang diadakan setiap dua tahun sekali.
Program seperti ini amat bertepatan dengan peranan Pustaka sebagai Pusat Penyerahan Bahan Terbitan (Legal Deposit) berdasarkan Sarawak State Library Ordinance, 1999.
Sehubungan itu, Premier Sarawak YAB Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Haji Openg berkata, negara kita khasnya mahupun di seluruh dunia amnya, masih terkesan oleh penularan wabak COVID-19 yang telah membawa pelbagai implikasi kepada kita semua.
Namun begitu, dengan adanya semangat dan iltizam untuk memartabatkan legasi penulis-penulis dan penerbit-penerbit di Sarawak ke peringkat yang lebih tinggi, SAF2022 tetap diteruskan secara hibrid sama ada dalam bentuk fizikal mahupun secara dalam talian.
Beliau menyifatkan festival ini amat penting kerana ia diadakan sebagai tanda penghargaan terhadap sumbangan penulis-penulis dan penerbit-penerbit di negeri Sarawak kepada industri penerbitan di negeri ini.
Selain itu, festival ini amat bermanfaat kerana memberi inspirasi dan memupuk minat masyarakat kepada pelbagai bidang penulisan di samping dapat menggalakkan aktiviti penerbitan yang berkualiti di Sarawak
Beliau berkata demikian menerusi teks ucapannya yang dibaca oleh Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, YB Dato Sri Hajah Fatimah Abdullah semasa Majlis Makan Malam SAR2022 Gala Night di hotel Pullman, Kuching pada 27 Oktober 2022.
Sehubungan itu, beliau memberitahu Sumber Yayasan Pembangunan Buku Negara (YPBN) menjelaskan bahawa “ukuran negara maju” menetapkan nisbah setiap juta penduduknya harus menerbitkan sekurang-kurangnya 1,000 judul buku baharu setiap tahun.
Berdasarkan piawaian antarabangsa ini, Malaysia perlu menerbitkan lebih 30,000 judul buku baharu menjelang 2030 jika benar kita ingin diiktiraf sebagai masyarakat di negara maju”.
Hasrat Sarawak untuk menjadi negeri maju akan mudah dicapai sekiranya kita dapat memenuhi piawaian negara maju iaitu dengan menerbitkan sebanyak 1,000 bahan terbitan setahun bagi 1 juta populasi rakyat di negeri ini.
Tambah beliau, jika kita merujuk kepada penanda aras negara maju dari segi jumlah buku yang diterbitkan, kita masih agak jauh ketinggalan kerana hanya 352 tajuk bahan yang diterbitkan telah didepostikan kepada Pustaka Negeri Sarawak pada tahun ini.
Hal ini berkemungkinan terdapat di kalangan penulis yang tidak menerbitkan hasil penulisan mereka dan tidak menyerahkannya kepada Pustaka Negeri Sarawak.
Mengikut Provision Legal Deposit dalam Sarawak State Library Ordinance 1999, setiap penulis dan penerbit perlu mendepositkan bahan terbitan mereka sebanyak tiga (3) salinan bagi bahan bercetak dan dua (2) salinan untuk bahan yang tidak bercetak.
Jelas beliau juga, pelbagai usaha boleh dilaksanakan bagi meningkatkan jumlah bahan terbitan antaranya ialah mewujudkan ruang kerjasama menerusi bidang penulisan.
Beliau turut mencadangkan agar diwujudkan kerjasama penulisan bermula di peringkat pendidikan awal kanak-kanak di antara SeDidik dan Pustaka Negeri Sarawak.
Hal ini kerana menurut beliau, galakan haruslah bermula dari peringkat kanak-kanak untuk mendedahkan mereka mengenai topik-topik penulisan ringkas yang boleh diambil dari bidang warisan, budaya tempatan, sejarah dan lain-lain lagi.
Dalam pada itu, beliau menyatakan bahawa perkembangan bidang penulisan di Sarawak amat positif sekali pada hari ini dengan adanya sokongan padu daripada Kerajaan Sarawak menerusi insentif khas yang telah diperkenalkan sejak 2018.
Tidak ketinggalan juga dengan inisiatif yang diambil oleh Pustaka Negeri Sarawak untuk menubuhkan Acquisition of Sarawak Authors Publication Committee (ASAPC).
ASAPC telah menggalakkan penulis-penulis yang berkaliber dan sentiasa aktif menghasilkan karya-karya berkualiti terutamanya mengenai bidang sastera dan budaya. Hasil-hasil karya penulisan seumpama ini akan dapat meningkatkan lagi kesedaran di kalangan masyarakat bukan sahaja di negeri ini, malah di seluruh pelosok dunia mengenai keunikan bidang kesusasteraan dan penulisan yang terdapat di Sarawak.