Sebagai sebuah organisasi penyelidikan dan teknologi industri terulung di Malaysia, SIRIM akan meningkatkan lagi kerjasama dan membantu Kerajaan Sarawak dalam usaha melaksanakan inisiatif membangunkan industri di Sarawak
Demikian jaminan diberikan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SIRIM Berhad, YBhg Dato’ Indera Dr Ahmad Sabirin Arshad ketika berucap pada Majlis Perasmian Makmal Gas Domestik dan Majlis Pertukaran Dokumen Memorandum Persefahaman di antara SIRIM Berhad dan SEDC pada 8 November 2022.
Jelas beliau, Pelancaran Makmal Pengujian Gas Domestik SIRIM Sarawak pada 8 November 2022 juga menandakan kemuncak kepada usaha yang bermula pada 14 Julai 2020 apabila Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak telah melantik SIRIM Sarawak sebagai badan kawal selia yang mengendalikan ujian dapur gas domestik di negeri ini.
Makmal tersebut kemudian telah ditubuhkan dan disiapkan pada Ogos tahun ini (2022).
Pelancaran ini, menurut beliau juga sejajar dengan Akta Bekalan Gas, Peraturan 2017 yang juga menghendaki semua peralatan gas domestik yang menggunakan gas petroleum cecair (LPG) dilekatkan dengan label SIRIM sebelum dipasarkan.
Keselamatan dapur gas domestik amat penting kerana perkakas gas yang rosak atau di salah pasang boleh menyebabkan kebakaran, kebocoran gas dan juga letupan.
SIRIM, jelas beliau sebagai badan kawal selia yang mengendalikan pengujian dapur gas domestik memainkan peranan penting dalam memastikan semua dapur gas domestik di pasaran adalah selamat dan ia perlu menjalani ujian untuk memastikan keselamatannya sebelum dipasarkan
Menurut beliau, selain daripada perkhidmatan pengujian, SIRIM juga menyediakan perkhidmatan pemeriksaan dan persijilan bagi sektor berteknologi tinggi seperti jejak karbon, kalkulator jejak karbon, pelabelan eko, 5G, loT (Internet of Things), Al (Artificial Intelligence), keselamatan siber yang menyokong perjalanan Malaysia ke arah menjadi negara yang maju dari segi teknologi.
Tambah beliau lagi, dari segi persijilan, SIRIM adalah penyedia persijilan yang diiktiraf dan diterima di peringkat antarabangsa yang menawarkan pelbagai jenis perkhidmatan persijilan sistem pengurusan.
SIRIM telah banyak membantu organisasi memenuhi keperluan dan jangkaan pihak berkepentingan dalam menembusi pasaran tempatan, serantau dan antarabangsa antaranya industri automotif, elektrik dan elektronik (E&E), sektor awam dan pembinaan, sektor kimia dan bahan, petrokimia, minyak dan gas dan lain-lain.
Berkaitan dengan kerjasama dengan Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC), kedua-dua SIRIM dan SEDC telah memeterai satu Memorandum Persefahaman (MoU) di mana kedua-dua pihak bersetuju untuk meningkatkan beberapa bidang skop selain persijilan seperti maklumat teknikal, pemindahan pengetahuan dan pembangunan teknologi bersama.
Selain itu melaksanakan program/seminar/promosi/acara bersama untuk industri; mengejar dan melaksanakan projek bersama-sama sebagai satu pasukan serta Pusat Rujukan untuk peningkatan kualiti dan pembangunan standard.