- Advertisement -spot_img
4,842
published news
and counting

Aktiviti Ekonomi Tambahan (AET), Meningkatkan Pendapatan Isi Rumah Keluarga Peserta SALCRA

Must read

Salah satu polisi dan dasar Lembaga Pemulihan dan Penyatuan Tanah Sarawak (SALCRA) adalah untuk meningkat kualiti hidup masyarakat di luar bandar dengan membangunkan tanah hak adat.

SALCRA telah diberi kepercayaan serta diperuntukkan dana secara langsung oleh Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) bagi menjalankan Aktiviti Ekonomi Tambahan (AET) dalam usaha untuk membina masyarakat yang produktif dan sejahtera.

Pemantauan projek penting bagi memastikan progres projek di semua tempat dalam kendalian SALCRA

Objektif program ini untuk meningkatkan kualiti hidup penduduk luar bandar menerusi perubahan dalam sosioekonomi dan untuk meningkatkan pendapatan peserta secara menyeluruh dari segi kewangan, aset dan lain-lain.

Syarat-syarat yang diletakkan ialah pemilikan tanah kurang dari tiga (3) hektar, sihat dan berdaya tahan, golongan B40, berumur 21 tahun ke atas dan satu (1) projek untuk satu (1) peserta.

Selain itu, program ini juga bertujuan untuk membantu masyarakat di luar bandar menjalankan pelbagai aktiviti ekonomi sampingan dengan keutamaan mereka yang berpendapatan rendah B40 yang juga ahli keluarga peserta SALCRA.

Inisiatif ini dijangka mampu meningkatkan kualiti hidup peserta SALCRA berasaskan aktiviti dalam bidang pertanian, penternakan dan ekonomi desa.

Menurut Cik Sharmine Uli, Eksekutif Pembangunan Peserta AET yang juga koordinator projek SALCRA ketika di temu bual RAKAN Sarawak menyatakan SALCRA masih lagi “baharu” dalam program ini bermula pada tahun 2018 dengan projek kelulut menjadi projek perintis pada tahun 2019 kemudian projek penanaman nanas dan penternakan itik.

Cik Sharmine Uli

Bermula pada tahun 2019 dengan peruntukan RM500,000 (di bawah Rancangan Malaysia ke 11) diteruskan setiap tahun sehingga ke tahun ini (2022).

“Cuma pada tahun lepas (2021), kita memperluaskan skop kategori bantuan projek ini kepada pembuatan bakeri dan roti dan penghasilan jahitan dengan keutamaan kepada isteri dan ibu tunggal kepada peserta SALCRA  yang terlibat dalam projek kelapa sawit.”

“Kebiasaannya, jelas Cik Sharmine pihak SALCRA akan memberikan mereka pilihan secara sekali beri berdasarkan kategori yang mereka pilih dan berdasarkan apa yang disediakan oleh KPLB. Daripada senarai permohonan, SALCRA akan melihat memberikan projek mengikut kesesuaian peserta.”

“Setakat tahun 2018 hingga 2022, terdapat 173 orang peserta mendapat manfaat daripada projek ini, dapat kami menjangkakan sekurang-kurangnya mereka dapat meningkatkan pendapatan keluarga sekitar RM500 ke RM1,000 sebulan.”

“Kawasan tumpuan kami ialah di kawasan estet kelapa sawit yang di bahagikan mengikut CDA (Kawasan Pembangunan Komuniti) di CDA Bau-Lundu, Serian, Sri Aman, Saratok dan Ibu Pejabat.”

“Keutamaan kami, keluarga  yang dikategorikan di bawah B40 sekurang-kurangnya mereka dapat keluar daripada garis kemiskinan.”

“Ini terbukti apabila ada peserta memperolehi pendapatan lumayan terutama dalam projek kelulut manakala untuk projek itik dan nanas belum menampakkan output sebab masih baharu lagi.” 

Dari segi pemantauan projek ini pula, Encik Jaafar Bakri selaku Pembantu Pembangunan Masyarakat berkata tugas utamanya memantau projek tersebut sekurang-kurang sebulan sekali, bertanya dengan progres projek di semua tempat dalam kendalian SALCRA (kawasan Bau, Lundu, Serian dan Sri Aman).

Encik Jaafar Bakri

Dia akan berkomunikasi dengan CDA di setiap kawasan tersebut untuk memastikan semuanya berjalan lancar, dan sekiranya peserta perlukan bantuan atau khidmat nasihat seperti serangan penyakit pihaknya akan mendapat agensi berkaitan seperti Lembaga Nanas dan Jabatan Pertanian.

Jika ditinjau dari segi impak, projek ekonomi tambahan ini jelasnya amat baik walaupun baharu diperkenalkan 2018 di Sarawak dan SALCRA jadi agensi perintis, ia sekurang-kurangnya dapat menambah ekonomi dan menampung kekurangan pendapatan akibat harga tidak stabil kelapa sawit.

Walaupun pada pandangan mata kasar, peranan ini agak jauh daripada tugas asal SALCRA (Kelapa Sawit), perlu diakui program-program tambahan ekonomi ini penting untuk menyeimbangkan dan menambah pendapatan keluarga ketika saat sukar.

Tinjauan RAKAN Sarawak telah menemu bual Encik Sibu Ak Jonteng dari Kampung Bedup Merian, Serian menyifatkan program ini amat baik untuk meningkatkan pendapatan keluarga sebagai alternatif (penanaman nanas, memperuntukkan tanah seluas tiga (3) ekar) selebihnya tanah (100 ekar) yang lain digunakan untuk penanaman buah-buahan, pisang dan lada miliknya sendiri.

Encik Sibu Ak Jonteng dari Kampung Bedup Merian, Serian

Dia memilih untuk menanam nanas jenis MD2 berdasarkan kriteria yang ditetapkan pihak SALCRA pada penghujung tahun 2021, dengan bantuan pemberian baja, racun dan sulur nanas lebih kurang 3,000 sulur

Apabila nanas sudah mengeluarkan hasil kelak, dia akan menjual sendiri hasil tersebut ataupun pemborong akan mengambil darinya. Berdasarkan pengalamannya sebelum ini, kebanyakan hasil pertanian dari kebunnya, ada pemborong dari Siburan dan Kubah Ria akan mengambilnya.

Menurutnya, berbeza dengan nanas yang pernah ditanamnya sebelum ini, nanas jenis MD2 sentiasa mendapat permintaan tinggi, lebih komersial untuk tujuan eksport  seperti apa yang disyorkan  pihak MARDI dan FAMA.

Manakala tinjauan RAKAN Sarawak ke Bau, mengunjungi salah seorang suri rumah yang memilih kategori jahitan, Puan Dayang Ak Chang juga menyatakan program ini memberikan alternatif untuk dia  meningkatkan ekonomi keluarga. Dia antara empat (4) orang yang dipilih mengikuti kategori ini di kampungnya.

Puan Dayang Ak Chang menyifatkan peluang diberi SALCRA ini sebagai alternatif untuk meningkatkan ekonomi keluarga

Daripada tidak mempunyai kemahiran asas dalam jahitan, sebaik mengikuti projek ini dia mengikuti kursus jahitan di Lundu pada Februari yang lepas (2022).

Sebelum ini, dia mengusahakan kraf tangan pembuatan manik secara kecil-kecilan di rumahnya.

Akhirnya, berkat keberanian dan ilmu pengetahuan yang diperolehi daripada kursus jahitan, pada bulan April  dia berjaya menyiapkan tempahan 20 sarung bantal permintaan daripada penduduk di kampungnya.

Dia berterima kasih kerana bukan setakat kemahiran yang diperolehinya, dia turut menerima bantuan tiga (3) buah mesin iaitu mesin jahit lurus, mesin jahit tepi dan mesin untuk sulaman selain peralatan seperti benang dan perkakasan lain.

Berkat ilmu pengetahuan yang diperolehi daripada kursus jahitan, dia berjaya menyiapkan tempahan daripada penduduk di kampungnya

Menurut Dayang, dia kini sedang mendalami selok-belok menghasilkan baju tradisional, sebelum ini hanya menjahit biasa-biasa sahaja. Kemudian baharulah dia bersedia menerima tempahan pakaian.

Biasanya dia selang-selikan masanya antara untuk menghasilkan produk manik dan menjahit pakaian, yang turut menyumbang pendapatan sampingan kepada keluarganya dan menampung sedikit perbelanjaan untuk anaknya.

Info Ringkas Projek AET

Projek Madu Kelulut

  • Projek ini bermula pada tahun 2018 dan merupakan projek pertama di bawah program AET melibatkan 25 orang peserta (AJPLS)- Ahli Jawatankuasa Peladang Ladang SALCRA
  • Setiap peserta telah diberi 40 log kelulut Trigona Etama beserta dengan alat  penuaian madu seperti pam penyedut madu, sarung tangan, baju kalis lebah dan botol penuaian
  • Setiap peserta projek madu kelulut perlu menyerahkan laporan bulanan untuk tujuan penyimpanan rekod

Projek Penternakan Itik

  • Seramai 42 orang peserta SALCRA telah menyertai projek penternakan itik yang dipilih daripada daerah Bau-Lundu, Serian dan Sri Aman
  • Setiap peserta akan menerima 100 ke 200 ekor anak itik baka Khaki Campbell. Selain itu peserta turut menerima peralatan asas untuk menyediakan reban itik seperti atap zink, dawai lantai, dawai pagar, bekas makanan dan minuman.
  • Peserta turut diberikan bantuan makanan itik (starter, layer dan finisher) sebagai permulaan modal untuk peserta menternak itik
Seramai 33 orang peserta telah dipilih untuk menyertai projek penanaman nanas dari daerah Bau-Lundu, Serian dan Sri Aman

Projek Penanaman Nanas

  • Sebanyak 33 orang peserta telah dipilih untuk menyertai projek penanaman nanas dari daerah Bau-Lundu, Serian dan Sri Aman
  • Setiap peserta akan menerima 2000 hingga 3000 sulur nanas MD2 beserta racun, hormon dan baja pertanian
  • Selain itu, bagi memudahkan kerja penanaman di kebun, peserta juga turut diberi bantuan peralatan pertanian seperti kereta sorong, bakul dan pam racun

Projek Membuat Kuih dan Menjahit

  • Seramai 28 orang peserta dari Bau-Lundu dan Serian telah hadir ke Kursus Asas Pembuatan Roti Ban dan Pau Berinti selain Pembuatan Palazzo dan Blouse yang dikendalikan oleh CENTEXS Lundu dan Betong
Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article