- Advertisement -spot_img
4,841
published news
and counting

Inovasi EZe-3.0 Mudahkan Proses Pencucian dan Pembilasan Vial

Must read

Inovasi Easy Vial Cleaner (EZe-3.0) yang telah dicipta oleh kumpulan Catalyst 3.0 dari Jabatan Kimia Sarawak adalah bagi menggantikan EZ-2 yang telah dicipta pada tahun 2019.

Penghasilan produk inovasi yang diketengahkan oleh kumpulan Catalyst 3.0 ini telah melalui proses penambahbaikan dalam tempoh masa satu (1) hingga dua (2) tahun sehingga ia akhirnya telah mampu memenuhi kehendak dan keperluan pengguna.

Kumpulan Catalyst 3.0 telah muncul sebagai Johan semasa Konvensyen KIK Peringkat Jabatan/Agensi Persekutuan

Perkara ini dinyatakan oleh Ketua Kumpulan Catalyst 3.0, Puan Aishah Binti Abdul Aziz ketika ditemu ramah RAKAN Sarawak.

Menurut beliau, pelaksanaan penggunaan Eze-3.0 di lapangan telah bermula pada Januari 2021 melibatkan negeri Selangor, Terengganu, Kelantan, Pahang, Kota Kinabalu dan Sarawak (Kuching dan Bintulu).

Sehubungan itu, sesi perkongsian (sharing session) bersama pengguna tentang cara menggunakan produk Eze-3.0 telah dilaksanakan secara maya (online) pada 25 Oktober 2021.

Puan Aishah mendedahkan, hasil daripada maklum balas melalui soal selidik, temuduga, pemerhatian dan kajian yang telah dijalankan kepada kakitangan teknikal, mendapati bahawa pencucian vial secara manual boleh menyebabkan kontaminasi pada sampel yang dianalisis.

Hal ini adalah kerana kerja-kerja pembilasan yang dilakukan secara manual memerlukan pengendali untuk menghalakan vial tersebut ke pili air, dan proses ini mengambil masa yang agak lama malah, terdapat kebarangkalian bahawa vial ini tidak dibilas secara menyeluruh.

Justeru, penambahan fungsi pencucian menggunakan bahan pencuci pada EZe-3.0 adalah merupakan hasil maklum balas yang diperolehi daripada pengguna.

Inovasi Easy Vial Cleaner (EZe-3.0) yang dicipta oleh kumpulan Catalyst 3.0 dari Jabatan Kimia Sarawak

Ciri EZe-3.0 yang ringan, mudah alih, mesra pengguna dan mempunyai pemegang mudah laras telah memudahkan serta mempercepatkan proses pencucian dan pembilasan vial berbanding EZ-2.

Inovasi EZ-2 telah dicipta pada tahun 2019

EZ-2 juga mempunyai beberapa kelemahan antaranya, bahagian pemegang nozel yang kurang mesra pengguna (mudah tersekat) dan hanya mempunyai fungsi membilas berbanding EZe-3.0 yang mempunyai reka bentuk pemegang yang boleh diselaraskan (lebih ergonomik).

Melalui EZe-3.0, proses pencucian dan pembilasan 143 vial dapat diselesaikan dalam masa lima (5) minit sahaja di mana pencucian menggunakan bahan pencuci mengambil masa selama satu minit diikuti dengan pembilasan air selama empat (4) minit.

Penghasilan EZe-3.0 ini telah dapat menyumbang kepada penjimatan air di mana tempoh cucian dan bilasan dalam masa lima minit amat memadai untuk cucian yang optimum.

Ahli kumpulan Catalyst 3.0 menunjukkan cara-cara penggunaan Easy Vial Cleaner (EZe-3.0)

Selain itu, EZe-3.0 juga telah dapat menjimatkan kos dari segi pembelian vial kerana vial yang lama dapat digunakan semula dengan kualiti kebersihan yang tinggi dalam tempoh yang singkat.

Secara dasarnya, EZe-3.0 dicipta untuk menjimatkan penggunaan air kerana penggunaan air yang minimum dapat mengurangkan penghasilan sisa (waste) cucian dan bilasan justeru, EZe-3.0 bukan hanya mesra pengguna, juga mesra kepada persekitaran.

Menurut Puan Aishah, produk EZe-3.0 telah didaftarkan di Perbadanan Harat Intelek (MyIPO) dengan nombor LY2022Q2352 pada 28 Jun 2022 di bawah Akta Hak Cipta 1987 bagi menjamin integriti dan perlindungan harta intelek yang dimiliki oleh Catalyst 3.0.

Fungsi mekanikal dan elektrikal produk EZe-3.0 telah diuji, dinilai dan disahkan oleh pensyarah Politeknik Kuching melalui beberapa sesi perjumpaan dan perbincangan.

Melalui perbincangan tersebut, produk EZe-3.0 didapati mampu berfungsi secara optimum dan berkesan dari segi pencucian dan pembilasan pada vial.

Penggunaan produk EZe-3.0 telah diseragamkan di peringkat dalaman KIMIA Sarawak khususnya di Seksyen Narkotik, Seksyen Toksikologi dan Seksyen Kimia Air.

Dengan sokongan daripada pihak pengurusan tertinggi di Jabatan, sembilan (9) unit EZe-3.0 telah direplikasi, di mana tiga (3) unit ditempatkan di KIMIA Sarawak manakala satu (1) unit di KIMIA Ibu Pejabat, KIMIA Bintulu, KIMIA Sabah, KIMIA Kelantan, KIMIA Pahang dan KIMIA Terengganu.

Ahli-ahli Kumpulan Catalyst 3.0

Produk EZe-3.0 ini adalah selaras dengan inisiatif Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) di bawah polisi Sains, Teknologi dan Inovasi Kebangsaan (NSTIP) iaitu memacu ekonomi negara dan menjadikan Malaysia berteknologi tinggi menjelang 2030.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article