- Advertisement -spot_img
4,842
published news
and counting

PNS Sebagai Wadah Ilmu dan Pengetahuan

Must read

Pustaka Negeri Sarawak (PNS) telah merangka pelbagai strategi dan program agar golongan-golongan yang enggan belajar mahu belajar dan membaca secara tidak langsung akan membantu Kerajaan mencapai matlamat Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.

Bangunan Pustaka Kuching, Sarawak

Perkara ini dinyatakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif PNS, Tuan Haji Japri Bujang Masli ketika ditemu bual RAKAN Sarawak.

Semasa Majlis Menandatangan Memorandum Persefahaman antara PNS dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada 3 November lalu, beliau ada menyebut tentang Tan Sri (Dr.) Zainal Abidin bin Ahmad yang juga dikenali sebagai Za’ba.

Menurut beliau, Za’Ba pernah mengatakan, sejak awal merdeka, orang Melayu khususnya miskin dan papa kedana yang berpunca daripada kemiskinan ilmu, kemiskinan cita-cita dan kemiskinan agama.

Ketua Pegawai Eksekutif PNS, Tuan Haji Japri Bujang Masli berucap semasa Majlis Menandatangan MOU antara Pustaka dan DBP pada 3 November 2022

Pada hari ini, ia bukan hanya merujuk kepada orang Melayu sahaja, tetapi keseluruhan warga Malaysia secara umumnya yang mungkin tidak lagi termiskin dan papa kedana tetapi cuma hidup sederhana.

Mungkin kita tidak lagi miskin ilmu seperti dulu, miskin cita-cita dan agama seperti sebelumnya tetapi apa yang kita ada pada hari ini boleh dikatakan seakan cacat dalam pemikiran, cacat dalam tujuan dan cacat dalam amalan.

Hal ini kerana, kini maklumat begitu banyak, ilmu pengetahuan mudah didapati tetapi tanpa kemahiran kaedah berfikir yang teratur dan sistematik, maka pendekatan kita selalu tempang sehingga menyebabkan kita tersasar dan amalan kita kadang-kadang tidak berapa betul dari segi kaedahnya.

Oleh itu, adalah penting untuk kita terus mengangkat kemahiran dan juga kebolehan untuk berfikir dengan kritis dan betul, secara sedar sepenuhnya.

Ada orang apabila pergi ke alam maya boleh mencari apa sahaja dalam sekelip mata dan berasa sudah dapat mencapai kebebasan bermaklumat padahal di belakangnya dipengaruhi oleh syarikat teknologi besar yang disogok oleh para usahawan yang ingin mengiklankan produk masing-masing.

Hakikatnya, yang berada di paling atas adalah kerana mereka paling banyak membayar, oleh itu, pemikiran kita menjadi terpesong bila kita mencari mengenai sesuatu perkara kerana kita ingat yang atas itulah yang paling sesuai padahal itulah yang paling banyak membayar yuran iklannya.

Jadi inilah ketempangan dan keterpesongan pemikiran yang dipengaruhi oleh kaedah kapitalis yang menguasai dunia pada hari ini yang kebanyakannya tidak disedari oleh orang ramai.

Tidak dinafikan, sebagai agensi yang berada dalam bidang pengurusan maklumat di perpustakaan juga sebagai pustakawan, sudah tentu PNS amat arif mengenai hal ini.

Sebab itu, internet, google dan berita arus perdana sahaja sebenarnya tidak mencukupi untuk membebaskan kita daripada kecacatan dan ketempangan untuk kita menjadi suatu bangsa yang berpendapatan tinggi dan maju di dunia ini.

Oleh itu, PNS telah mendapat suatu idea bahawa mereka perlu dengan sendirinya berusaha untuk menerbitkan dan menulis sebanyak mungkin pandangan-pandangan yang lebih positif dan juga lebih berguna untuk dijadikan panduan kepada khalayak.

PNS telah mendekati pihak DBP Cawangan Sarawak untuk mempertingkatkan hasil-hasil penulisan dan karya-karya tempatan yang mempunyai pemikiran asli orang-orang kita serta mempunyai pandangan yang jelas dan mementingkan apa yang kita perlukan.

Memorandum Persefahaman antara Pustaka dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dimeterai pada 3 November

Dengan kerjasama ini, PNS akan dapat sedikit sebanyak menuntun perbincangan perdana ataupun naratif utama yang berada di dalam masyarakat kita supaya membawa kita lebih laju untuk mencapai wawasan sebagai negara maju berpendapatan tinggi pada 2030.

Wawasan PNS adalah untuk menjadi wadah ilmu dan pengetahuan kepada negeri Sarawak dan sesuai dengan wawasan itu, PNS menjadi satu-satunya perpustakaan negeri yang mempunyai Akta Serahan Bahan, Ordinan Serahan Bahan atau Legal Deposit di bawah Ordinan PNS Negeri Sarawak 1999.

Penyerahan bahan penerbiatan seperti yang termaktub di bawah Seksyen 15, Sarawak State Library Ordinance, 1999 (Pindaan A186, berkuatkuasa 11 Disember 2019)

Maka, bahan-bahan yang diterbitkan di Sarawak mestilah diserahkan kepada PNS tiga (3) salinan bahan bercetak dan dua (2) salinan bahan tidak bercetak bagi memudahkan khalayak untuk memenuhi kehendak peruntukan undang-undang ini.

Melalui akta serahan bahan ini, PNS telah menerima sekitar 300 lebih judul setahun, namun bilangan tersebut amat sedikit.

Hal ini kerana, salah satu daripada tanda-tanda masyarakat dan negara maju adalah melalui penerbitan bahan bercetak sekurang-kurangnya 1,000 judul untuk setiap 1 juta penduduk dan di Sarawak, kita ada lebih kurang 2.7 juta penduduk, seharusnya ada 2,700 judul buku diterbitkan untuk setahun.

Oleh itu, pembangunan kita yang dipandukan oleh pemikiran kita sendiri amat lambat dan kita masih lagi merujuk buku-buku luar walaupun ianya tidak salah tetapi ia tidak akan dapat memberi suatu impak yang maksimum kepada diri kita sebagai suatu masyarakat yang unik di dalam alam nyata ini.

Oleh itu, kita ingin berusaha menerbitkan kandungan tempatan ini dengan memperkasakan pegawai-pegawai PNS sendiri supaya menulis sama menghasilkan kandungan tempatan untuk kegunaan awam.

Selain itu, PNS juga akan terus menyokong penulis-penulis tempatan dengan kerjasama Jabatan Pendidikan khususnya dan jabatan-jabatan lain supaya penerbitan bahan tempatan ini dapat dipertingkatkan dengan mendadak untuk melonjakkan bangsa kita supaya dapat maju seperti yang kita impi-impikan.

Perkara ini sudah tentunya amat berkait rapat dengan bahasa, dan disebabkan itulah pustaka mahu menjalin kerjasama yang lebih erat dengan pihak DBP.

Hal ini kerana, kita harus mempertingkatkan bahasa, aktiviti bahasa serta penggunaannya di dalam penerbitan penulisan dan penyelidikan juga dalam memandu pemikiran supaya kita dapat mengatasi orang lain.

Jadi, budaya membaca, budaya buku, budaya penulisan dan budaya pembelajaran sepanjang hayat hanyalah satu-satunya pilihan yang kita ada.

Lawatan sambil belajar melibatkan 16 orang murid tadika, dua orang guru pengiring dan ibu bapa ke Pustaka Negeri Sarawak.

Pendidikan formal walaupun sehingga peringkat teratas di universiti, tidak memadai kerana semua negara lain ada pendidikan formal yang sempurna.

Sebab itulah kita terperangkap sebagai suatu masyarakat yang berpendapatan sederhana justeru, kita perlu melangkaui pendidikan formal dan mengamalkan budaya membaca serta boleh belajar sepanjang hayat, barulah kita boleh menjadi yang terbaik di dalam bidang masing-masing.

Lawatan Akademik Program Diploma Pengurusan Maklumat, Fakulti Pengurusan Maklumat, UiTM Sarawak ke Pustaka

Tidak perlulah kita terbaik dalam semua bidang, cukuplah kalau anda dalam bidang A, jadilah pakar dalam bidang itu, nescaya, secara Bersama dan kolektif, kita akan mampu menyaingi masyarakat lain.

Sebab itulah majlis penandatanganan memorandum persefahaman dengan DBP adalah satu peristiwa yang sangat penting bukan hanya untuk PNS, bukan hanya untuk DBP tetapi untuk negeri Sarawak secara umumnya bahkan kemanusiaan sejagat.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article