- Advertisement -spot_img
4,842
published news
and counting

Mengurangkan Beban Dan Meningkatkan Keupayaan Usahawan

Must read

Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan (MINTRED) telah menyediakan sejumlah RM76.06 juta pinjaman keseluruhan menerusi Skim Kredit Mikro Sarawak (SKMS) dan Skim Pinjaman Industri Kecil dan Sederhana (SPIKS) setakat 2022.

Sejumlah 1,965 pengusaha dalam sektor Perusahaan kecil dan Sederhana (PKS) telah mendapat manfaat daripada skim berkenaan.

MINTRED telah melaksanakan pelbagai inisiatif dalam membantu usahawan tempatan untuk terus berkembang

Bilangan tersebut termasuklah seramai 430 usahawan dalam kategori B40 yang turut mendapat manfaat pinjaman tanpa faedah dengan jumlah maksimum RM10,000 bagi setiap pemohon. Jumlah keseluruhan pinjaman yang diluluskan untuk usahawan B40 ialah sebanyak RM2.8 juta.

Menurut Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan, YB Datuk Amar Haji Awang Tengah bin Ali Hasan, Kerajaan Sarawak telah menyediakan subsidi faedah pinjaman semasa pandemik COVID-19 dalam tempoh tiga (3) setengah tahun kepada usahawan yang layak dalam program SKMS dan SPIKS.

Sejumlah 1,387 PKS telah mendapat manfaat subsidi faedah pinjaman dengan jumlah keseluruhan subsidi yang ditanggung kerajaan sebanyak RM6.48 juta.

Subsidi faedah pinjaman merupakan antara inisiatif MINTRED membantu mengurangkan beban usahawan terutama ketika berdepan pandemik COVID-19

Selain daripada subsidi faedah pinjaman, Kerajaan Sarawak juga telah menyediakan moratorium 12 bulan kepada 636 peminjam SKMS dan SPIKS dengan nilai RM14.36 juta.

Datuk Amar Haji wang Tengah memaklumkan perkara tersebut ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak pada November lepas.

Sarawak merupakan satu-satunya negeri di Malaysia yang menawarkan subsidi kadar faedah bagi PKS yang layak yang bertujuan untuk mengurangkan beban kewangan para usahawan semasa berdepan pandemik.

MINTRED turut menjalankan aktiviti promosi usahawan dan produk tempatan di luar Sarawak pada tahun 2022

Sementara itu, Program Graduan ke Arah Keusahawanan (GERAK) dan Usahawan Teknikal dan Vokasional (USTEV) juga telah membantu belia lepasan sekolah dan pengajian tinggi yang berkemahiran teknikal memulakan perniagaan mahupun mengembangkan lagi perniagaan mereka.

Setakat ini, sebanyak RM9.62 juta telah diagihkan kepada 1,114 PKS di bawah kedua-dua program berkenaan.

Sepanjang tahun 2022, MINTRED juga telah mengadakan pelbagai program dan aktiviti bagi meningkatkan kapasiti dan keupayaan PKS di Sarawak.

Program dan aktiviti yang dijalankan akan memudahkan serta meningkatkan kemahiran PKS tempatan supaya menjadi lebih berdaya saing serta dilengkapi dengan pengetahuan dan trend terkini dalam menjalankan perniagaan.

Antara program-program yang telah dijalankan ialah Program Keusahawanan Digital yang menekankan kaedah Pemasaran Digital, Youtubing, Telefon Pintar, Media Sosial, Kursus Kandungan Kreatif dan Randau Digital, Program Asas Keusahawanan merangkumi Kursus Asas Perakaunan dan Perniagaan, Program Keusahawanan Teknikal merangkumi Kursus Pemprosesan Makanan, Kursus Dandanan Rambut dan Kursus Teknologi Jahitan.

Program Jum REGISTA Bisnes

Program seperti Kursus Pengendalian Makanan, Program Jum REGISTA Bisnes, Bazaar Rakyat Online Sarawakku Sayang (BROSS) dan aktiviti promosi produk di ekspo antarabangsa dan nasional yang mengetengahkan usahawan tempatan dan promosi media massa juga telah dijalankan sepanjang tempoh 2022.

Pihak MINTRED mencatatkan seramai kira-kira 35,000 usahawan tempatan telah mendapat manfaat daripada pelbagai program yang ditawarkan setakat ini.

Dari segi pembangunan industri dan kemudahan perniagaan, MINTRED telah mendapat kelulusan peruntukan siling berjumlah RM230.4 juta di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) untuk membangunkan 23 Projek Taman Perindustrian, 22 Anjung Usahawan dan tiga (3) Pusat Pemprosesan.

Lima (5) daripada 23 projek taman perindustrian telah siap dibina merangkumi Kapit (kecuali jalan akses), Demak Laut Fasa 2B, Betong (Fasa 1), Sri Aman dan Sematan (Fasa 1) manakala 10 buah projek lagi dalam pelbagai peringkat pelaksanaan.

Projek-projek tersebut ialah pembinaan empat (4) taman perindustrian di Bau, Sibu, Rantau Panjang dan Samalaju SME Cluster serta enam (6) Anjung Usahawan, iaitu di Sematan, Telok Melano, Gedong, Lawas, Sundar dan Kuala Lawas.

Datuk Amar Haji Awang Tengah menambah, 33 lagi projek berada di peringkat pra pelaksanaan seperti pengenalan tapak, permohonan penempatan dan reka bentuk kejuruteraan.

Projek-projek berkenaan ialah 14 taman perindustrian, iaitu enam (6) di Kuching serta satu (1) projek masing-masing di Sebuyau, Meradong, Dalat, Song, Marudi, Long Lama, Limbang dan Lawas.

Seterusnya ialah 16 Anjung Usahawan, iaitu di Simunjan, Lubok Antu, Debak, Kampung Bungin, Kabong, Pakan, Meradong, Dalat, Daro, Balingian, Song, Bekenu, Beraya, Long Lama, Limbang dan Trusan.

Bagi projek pembinaan Pusat Pemprosesan, tiga (3) buah projek akan dilaksanakan, iaitu satu (1) di Punang dan dua (2) di Awat-awat.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article