- Advertisement -spot_img
4,777
published news
and counting

M-FICORD Beri Tumpuan Komersialkan Sektor Pertanian

Must read

Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah (M-FICORD), YB Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom menyifatkan peruntukan berjumlah RM194.48 juta yang diluluskan oleh Kerajaan Sarawak amat penting bagi membolehkan M-FICORD memulakan inisiatif-inisiatif transformasi bagi mencapai visi memodenkan sektor pertanian dan ekonomi luar bandar menjelang 2030.

Menurut beliau, M-FICORD akan memberi tumpuan terhadap usaha mengkomersialkan sektor pertanian menerusi kerjasama lebih baik dengan rakan kongsi global, domestik dan komuniti yang turut dipacu oleh data dan inovasi.

Ke arah usaha tersebut, M-FICORD bersama Unit Perancangan Ekonomi (EPU) Sarawak akan memperkenalkan Pelan Induk Industri Agromakanan yang komprehensif.

Langkah ini adalah bagi memastikan terdapat sinergi dan penjajaran yang sewajarnya dalam rancangan membangunkan industri agromakanan bersama-sama dengan agensi pembangunan wilayah.

Rock melon yang ditanam di TKPM Rampangi berpotensi untuk dikomersialkan
Sos yang diperbuat daripada cili geronong telah berjaya dikomersilkan di seluruh Malaysia

Antaranya ialah Agensi Pembangunan Tanah Tinggi (HDA), Agensi Pembangunan Wilayah Utara (NRDA), Agensi Pembangunan Bersepadu Wilayah Samarahan (IRSDA) dan Agensi Pembangunan Sri Aman (SADA).

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang telah berlangsung pada 30 November 2022 (Rabu).

Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa memastikan keselamatan makanan (food securtity) adalah satu perkara yang sangat penting.

Oleh itu, bagi memastikan Sarawak tidak berdepan masalah kekurangan bekalan makanan, M-FICORD telah mengambil langkah-langkah perlu bagi membangunkan ekosistem pertanian yang lebih berdaya tahan.

Antara inisiatif yang telah diambil ialah, membangunkan industri padi dan beras; meningkatkan keluaran daging lembu dan produk tenusu; serta memperbanyakkan lagi program pembangunan Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM).

Antara inisiatif kerajaan untuk meningkatkan pengeluaran beras di Sarawak ialah dengan embangunkan kawasan baharu untuk penanaman padi

Beras merupakan makanan ruji kita, namun pengeluaran domestik beras dan padi Sarawak hanya mampu menampung 38 peratus keperluan tahunan sehingga kerajaan perlu mengimport 146,000 tan metrik beras bernilai RM387 juta pada tahun 2021.

Walau bagaimanapun, untuk mengelakkan kekurangan bekalan beras yang tidak dijangka di pasaran global, Syarikat Padiberas Nasional Berhad (Bernas) menyimpan 33,200 tan metrik beras sebagai simpanan dan 20,000 tan metrik lagi sebagai stok dagangan.

Dengan cara ini, ia akan dapat mengekalkan bekalan selama lima bulan memandangkan permintaan komersial bulanan beras di Sarawak adalah dianggarkan kira-kira 10,000 tan metrik.

Penuaian padi menggunakan kaedah moden di Sri Aman

Sebagai penyelesaian jangka panjang, M-FICORD telah mengambil inisiatif utama untuk mengurangkan kebergantungan berlebihan Sarawak kepada beras import.

Antara inisiatif utama untuk meningkatkan pengeluaran beras yang telah diambil oleh pelbagai jabatan dan agensi di bawah M-FICORD termasuklah:

Memulihkan dan meningkatkan infrastruktur di kawasan pengeluaran padi; Membangunkan kawasan baharu untuk penanaman padi; Perkongsian Awam-Swasta-Komuniti (PPCP); Penjenteraan dan automasi ladang; dan Menghasilkan benih padi berkualiti.

Teknologi drone digunakan untuk menyembur baja pada padi

Jumlah kawasan yang sesuai untuk penanaman padi di Sarawak dianggarkan kira-kira 150,000 hektar, termasuk lebih 200 skim yang dilaksanakan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta kawasan pengeluaran pertanian yang lain.

Walau bagaimanapun, kebanyakan kawasan ini sama ada kekurangan infrastruktur ladang atau dalam keadaan usang.

Disebabkan keadaan infrastruktur yang tidak baik di kebanyakan kawasan ini, ada di kalangan para petani hanya membiarkan tanah mereka atau menanam tanaman lain yang menguntungkan seperti kelapa sawit.

Akibatnya, jumlah saiz tanah untuk penanaman padi telah berkurangan dengan ketara kepada kira-kira 83,000 hektar pada tahun 2021.

Untuk membangunkan persekitaran yang kondusif bagi pengeluaran padi dan mengelakkan pengurangan saiz tanah padi, JPS Sarawak sedang memulihkan dua (2) skim sedia ada.

Skim tersebut termasuklah Skim Tanjung Purun dan Skim Kampung Pueh yang meliputi kawasan seluas 200 hektar dengan kos RM3.8 juta di bawah Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK-12).

Satu lagi projek yang telah diluluskan ialah pemulihan Skim Mid-Sadong I dengan kos RM30 juta melibatkan lebih 500 hektar dan kini sudah di peringkat perancangan.

Dalam skim ini, kira-kira 100 hektar di Kampung Lubok Punggor akan ditumpukan untuk penanaman padi istimewa yang dipanggil Biris dan projek ini dijadualkan bermula pada suku pertama tahun depan.

Selain itu, seluas 90 hektar kawasan padi sedia ada di Lebor, Serian, juga akan dipulihkan oleh JPS, yang mana setakat ini, 30 hektar telah dibangunkan.

Satu lagi kawasan di Abok, Pantu, Sri Aman seluas 120 hektar, juga sedang dirancang untuk dinaik taraf di bawah RMK-12.

Sementara itu, kawasan baharu yang telah diluluskan untuk projek penanaman padi paya (irrigated) adalah termasuk 80 hektar di Kampung Mujat, Serian dengan kos RM4.5 juta.

Selain Kampung Mujat, satu lagi kawasan yang dikenal pasti sebagai kawasan baharu yang berpotensi untuk penanaman padi secara besar-besaran ialah di Selepong-Panggil, Sri Aman.

Projek yang akan dibangunkan secara berperingkat ini akan dimulakan dengan keluasan awal 600 hektar, dan apabila siap kelak, projek ini berpotensi menghasilkan tanaman berganda sebanyak 5,400 tan metrik padi setiap tahun.

Di bawah Projek Jelapang Padi Batang Lupar yang dibangunkan oleh Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Batang Lupar, pembangunan infrastruktur utama di Lingga-Banting sedang berjalan dengan baik.

Projek yang akan dibangunkan di kawasan seluas 920 hektar ini dijangka siap pada suku pertama 2024 dengan kos keseluruhan sebanyak RM102.5 juta dan apabila siap nanti, ia dijangka akan menghasilkan tanaman berganda sebanyak 7,400 tan metrik padi setiap tahun.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article