- Advertisement -spot_img
4,842
published news
and counting

BPP-MIS Merancang Dan Melaksana Pembangunan Ummah

Must read

Biro Perkhidmatan Pendidikan Majlis Islam Sarawak (BPP-MIS) telah ditubuhkan pada 1 November 2007 di bawah Ordinan Majlis Islam Sarawak 2001.

Matlamat awal penubuhan BPP-MIS adalah untuk bertindak sebagai badan pemikir, perancang dan pelaksana pelbagai bentuk inisiatif Pendidikan Berasaskan Komuniti (PBK) yang bertujuan membantu dan menjadikan masjid sebagai pusat pendidikan penting masyarakat Islam setempat.

Penubuhan BPP-MIS tertakluk di bawah Seksyen 5, Ordinan 41 Majlis Islam Sarawak (2001) yang jelas menyatakan kewajipan Majlis Islam Sarawak (MIS) untuk menggalakkan, mendorong, membantu dan mengusahakan kemajuan ekonomi, sosial dan kesejahteraan masyarakat Islam di Sarawak selaras dengan Undang-undang Islam.

Inisiatif atau program pendidikan yang dijalankan khusus untuk memenuhi keperluan pendidikan golongan kanak-kanak dan belia yang tidak ditangani atau yang masih belum dapat dipenuhi oleh institusi pendidikan formal semasa.

Dalam melaksanakan PBK, BPP-MIS bertanggungjawab membina program-program PBK, membantu jawatankuasa pengurusan masjid melaksana program pendidikan termasuk melatih fasilitator dan membina rangkaian serta jaringan profesional.

Menurut Pengarah BPP-MIS, YBhg Datu Dr. Haji Julaihi bin Haji Bujang, BPP-MIS berperanan membantu kerajaan dari segi pendidikan berasaskan komuniti dengan menjadikan masjid sebagai pusat latihan dan pendidikan.

Pengarah BPP-MIS, YBhg Datu Dr. Haji Julaihi bin Haji Bujang ketika ditemu bual RAKAN Sarawak

Bagi menjayakan usaha tersebut, beliau berpandangan, masyarakat Islam seharusnya mengembalikan masjid sebagai sebuah institusi yang boleh dijadikan sebagai pusat pendidikan dan bukan hanya sebagai tempat untuk beribadah semata-mata.

Beliau yang ditemu bual RAKAN Sarawak menekankan bahawa penubuhan BPP-MIS bukanlah untuk mengambil alih peranan Jabatan Pendidikan, sebaliknya organisasi tersebut ditubuhkan sebagai melengkapi sistem pendidikan formal sedia ada, khususnya pendidikan yang fokus pada latihan kemahiran berasaskan komuniti.

Hal ini dikatakan demikian kerana BPP-MIS menyasarkan pada golongan kanak-kanak mahupun pelajar sekolah rendah dan menengah serta pelajar yang tercicir dan lepasan sekolah yang tidak mendapat peluang mendapatkan pendidikan selanjutnya atau di peringkat pengajian tinggi.

Menurut Datu Dr. Haji Julaihi, dapatan pihak BPP-MIS pada awal penubuhannya mendapati tahap kemahiran asas 3M (Membaca, Menulis dan Mengira) dalam kalangan kanak-kanak di luar bandar pada masa itu masih rendah.

Program Kembara Hijrah sempena Sambutan Maal Hijrah anjuran BPP-MIS di Masjid An-Najah, Asajaya, Samarahan pada Julai 2022

Demikian juga halnya dengan tahap motivasi golongan belia luar bandar yang kurang menunjukkan minat untuk melanjutkan pelajaran dan tidak kurang juga dalam kalangan mereka yang kurang pengetahuan mengenai peluang melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi.

Menyedari akan hal tersebut, BPP-MIS telah mengenal pasti keperluan bina upaya komuniti yang disasarkan serta mewujudkan strategi, membina dan membangun program seperti yang digariskan di dalam Rangka Pelan Pertama (2008-2012) dan Rangka Pelan Kedua (2013-2017).

Seterusnya di bawah Rangka Pelan Ketiga (2018-2022) BPP-MIS mengenal pasti, memperkasakan dan mengupayakan rakan kongsi yang terdiri daripada institusi pengajian tinggi, agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam, golongan pendidik, ketua masyarakat serta rakan belia untuk membantu menjadikan masjid sebagai pusat aktiviti pendidikan.

Program-program PBK yang dijalankan BPP-MIS adalah seperti English Camp, Kem Eksplorasi Minda, Kem Pemantapan Akidah, Kem Pemantapan Jati Diri, Kem Sukarelawan Belia, Kem BESTARI dan Program Kembara Hijrah.

Salah seorang fasilitator sedang mengendalikan program English Camp
Program English Camp di Masjid Darul Makmur, Kampung Jepak, Bintulu yang diadakan pada Mac 2022

Selain menjalankan aktiviti untuk komuniti, BPP-MIS juga menjalankan aktiviti memperkasa dan meningkatkan kemahiran fasilitator yang mengendalikan pelbagai program yang dianjurkan.

Para fasilitator dihantar untuk menghadiri kursus seperti Kursus Asas Penyelidikan dan Penilaian Program yang bertujuan meningkatkan ilmu pengetahuan dan kemahiran asas dalam penyelidikan dan penilaian program selain bertujuan untuk membentuk sikap positif fasilitator dalam menangani agenda pembangunan ummah serta membina dan meningkatkan keyakinan diri.

Sejak ditubuhkan, BPP-MIS setakat ini telah melatih seramai lebih 1,000 orang fasilitator di seluruh Sarawak.

Dari segi pencapaian pelaksanaan program, Datu Dr. Haji Julaihi memaklumkan, BPP-MIS telah menjalankan sebanyak 196 aktiviti daripada 503 yang dirancang atau bersamaan dengan 40% untuk tempoh 2020 hingga 2022.

BPP-MIS menyasarkan golongan kanak-kanak dan belia dalam Program Berasaskan Komuniti dengan menjadikan masjid sebagai pusat latihan dan pendidikan

Jelas beliau, sebahagian daripada aktiviti yang telah dirancang tidak dan belum dapat dilaksanakan berikutan pandemik COVID-19 yang mula melanda sejak awal 2020.

Pada 2022, sebanyak 208 aktiviti dirancang untuk dilaksanakan, namun demikian, BPP-MIS memberi keutamaan terlebih dahulu untuk menyelesaikan baki aktiviti yang telah dirancang untuk tahun 2020 dan 2021.

Setakat 2022, sebanyak 130 buah masjid di seluruh Sarawak telah dijadikan sebagai pusat PBK serta pusat pembelajaran dan pembudayaan ilmu.

Melangkah ke hadapan, BPP-MIS mempunyai perancangan yang lebih besar dalam memperkasa masyarakat Islam Sarawak dengan memfokuskan pada konsep ‘Pendidikan Syumul’, iaitu pendidikan secara menyeluruh, lengkap dan sejagat.

Datu Dr. Haji Julaihi menerangkan secara ringkas mengenai rancangan masa hadapan BPP-MIS tersebut.

Menurut beliau, tempoh pelaksanaannya disasarkan bermula dari tahun 2021 sehingga tahun 2030 selaras dengan aspirasi Sarawak maju menjelang 2030.

Kursus Asas Penyelidikan dan Penilaian Program untuk fasilitator yang diadakan secara dalam talian

Bagi mencapai agenda pendidikan syumul, empat (4) tindakan diambil, iaitu meneruskan pelaksanaan PBK, mewujudkan Sistem Pendidikan Islam Sarawak (SPIS), melaksanakan Pelan Tindakan Majlis Islam Sarawak (PTMIS) untuk Bidang Pendidikan dan memupuk rasa kebertanggungjawaban bersama terhadap pendidikan.

Jelas Datu Dr. Haji Julaihi, pendidikan syumul yang dilaksanakan memenuhi keperluan serta tuntutan dunia dan akhirat.

Pelaksanaannya merangkumi semua bidang pembangunan insan dengan menggunakan sumber menyeluruh melalui penglibatan semua pihak yang terlibat termasuklah penyampaian bentuk dan kaedah pendidikan yang menyeluruh dan bersepadu.

Untuk mewujudkan Sistem Pendidikan Islam (SPIS), lima (5) komponen utama dimuatkan, merangkumi Struktur Pendidikan, Institusi, Kurikulum, Sistem Pentaksiran dan Naziran.

Dalam melaksanakan SPIS, BPP-MIS merancang untuk mewujudkan struktur pendidikan Islam dari peringkat pendidikan awal kanak-kanak ke peringkat rendah, menengah, diploma atau pra-universiti hinggalah ke peringkat pengajian tinggi.

Kurikulum yang ditawarkan juga serasi (compatible) dengan sistem pendidikan di peringkat nasional dan antarabangsa.

Di bawah Pelan Tindakan Majlis Islam Sarawak (PTMIS), slogan ‘Pendidikan Syumul Membina Ummah Bertakwa’ diangkat untuk direalisasikan menerusi empat (4) strategi.

Strategi yang pertama ialah memartabatkan masjid sebagai pusat pendidikan berasaskan komuniti, kedua, memperkasakan Institusi Pendidikan Islam, ketiga, meningkatkan keprihatinan golongan pendidik tentang agenda pembangunan ummah dan strategi keempat ialah memartabatkan golongan agamawan.

Pada asasnya, BPP-MIS berperanan sebagai satu badan penasihat pendidikan bagi masyarakat Islam di Sarawak.

Selain itu, BPP-MIS juga bertindak sebagai sebuah badan perancang dan pelaksana pelbagai program pendidikan dan latihan yang bertujuan untuk membangun dan membina keupayaan ummah di Sarawak.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article