- Advertisement -spot_img
4,842
published news
and counting

MyCREST Menilai Kemampanan Sesebuah Bangunan

Must read

Pemanasan global dan perubahan iklim yang mengancam dunia berlaku disebabkan oleh peningkatan pelepasan karbon dioksida ke dalam udara.

Aktiviti dalam industri pembinaan merupakan salah satu penyumbang kepada lebih satu pertiga atau 40 peratus daripada pelepasan karbon.

Penggunaan tenaga pada skala besar ketika tempoh operasi dalam kitar hayat bangunan dikaitkan dengan penyumbang kepada pelepasan karbon.

Peka akan hal ini, Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) telah bekerjasama memperkenal dan melancarkan MyCREST (Malaysian Carbon Reduction and Environmental Sustainability Tool) pada 2016 sebagai kaedah pengukuran pelepasan karbon.

Sebelum wujudnya MyCREST, Sistem Penarafan Hijau (pH) JKR diguna pakai sebagai satu alat yang boleh membimbing individu yang terlibat dalam mereka bentuk, pembinaan dan penyenggaraan sesebuah bangunan untuk mengaplikasikan amalan pembangunan mampan dan secara tidak langsung mengurangkan kesan industri pembinaan terhadap alam sekitar.

Objektif pewujudan MyCREST adalah untuk mengintegrasikan kriteria penilaian karbon dalam gabungan strategi sistem penilaian bangunan mampan serta untuk memberikan penilaian karbon yang boleh diukur dalam sistem penarafan mampan yang bersifat holistik.

Selain itu, MyCREST diwujudkan bertujuan untuk memperluas penilaian bangunan hijau sedia ada kepada impak kitaran hidup dan pengkuantitian serta untuk menggabungkan kedua-dua faktor pelepasan karbon dan prestasi mampan menjadi kriteria gabungan yang berkaitan dengan reka bentuk, pembinaan, pentauliahan dan operasi bangunan.

Manakala matlamat pewujudan MyCREST pula adalah untuk kegunaan semua pihak tanpa berasaskan keuntungan, seterusnya mewujudkan satu indeks pengukur terhadap kemampanan untuk diterapkan dalam industri pembinaan negara bagi tempoh jangka panjang.

Pengukuran tahap kelestarian dengan indikator karbon melalui MyCREST adalah pengiktirafan di peringkat nasional yang diaplikasikan pada bangunan kerajaan dan swasta.

MyCREST juga bertujuan untuk memperluas penilaian bangunan hijau sedia ada kepada impak kitaran hidup

Penilaian terhadap sesebuah bangunan dilaksanakan di setiap peringkat merangkumi perancangan, pembinaan dan semasa pengoperasian dan dijalankan secara berasingan mengikut keperluan.

Manfaat yang diperolehi daripada MyCREST adalah bangunan yang dinilai akan diberi pensijilan berdasarkan mata dan pengurangan pelepasan karbon yang dikira yang akan menetapkan penanda aras bagi industri

MyCREST juga mampu menilai kemampanan sesebuah bangunan dan dibangunkan dengan mengambil kira kitaran hayat bangunan keseluruhan bermula daripada prareka bentuk, pembinaan, penggunaan dan penyelenggaraan hingga ke peringkat perobohan.

Bangunan pertama yang menerima penarafan lima MyCREST adalah Kompleks Kerja Raya 2 (Menara KKR).

Sejak dilancarkan, JKR mewajibkan semua projek bangunan awam baharu yang bernilai lebih RM50 juta supaya menggunakan MyCREST.

Langkah tersebut adalah bagi memastikan projek awam pada masa akan datang turut menerima pengiktirafan sebagai bangunan hijau.

Penggunaan MyCREST turut mendapat sokongan daripada sektor swasta, apabila pada 2016, sebanyak 20 pemaju Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) menandatangani memorandum kerjasama untuk menggunakan MyCREST sebagai penarafan kemampanan projek masing-masing.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article