Inisiatif dan idea baharu dalam mencapai aspirasi Sarawak maju menjelang tahun 2030 telah membuka mata dan peluang untuk jentera perkhidmatan awam Sarawak mempersiapkan diri supaya bergerak seiring dan sejalan dengan kepimpinan negeri.
Di bawah kepimpinan Premier Sarawak, YAB Datuk Patinggi Tan Sri (Dr.) Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Haji Openg, banyak idea baharu dan inovatif diperkenalkan oleh beliau, antaranya Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030, Ekonomi Digital, Green Economy, Blue Economy, pembangunan hidrogen termasuklah Dana Kekayaan Berdaulat.
Selari dengan idea dan inisiatif beliau tersebut, penjawat awam disarankan untuk memberi penekanan terhadap perubahan minda supaya menjadi lebih inovatif dan kreatif dalam menyelesaikan masalah melalui kaedah penyelesaian yang lebih efisien dan efektif.
Hal tersebut dikatakan demikian kerana kuasa minda seumpama itu merupakan aset yang dapat memastikan Sarawak berjaya mencapai aspirasi negeri termaju di Malaysia.
Bukan setakat itu sahaja, malah juga Perkhidmatan Awam Sarawak harus mengambil langkah penambahbaikan dalam penyampaian perkhidmatan melalui pendekatan ‘revisit’, ‘rethink’ dan ‘recharge’ bagi memastikan apa yang diilhamkan Premier Sarawak menjadi kenyataan.
Melalui pendekatan tersebut, Setiausaha Kerajaan Sarawak, YB Datuk Amar Haji Mohamad Abu Bakar bin Haji Marzuki menyeru para penjawat awam untuk melihat kembali dan memikirkan semula hal-hal berkaitan prosedur, peraturan, proses dan budaya kerja yang menghalang jentera perkhidmatan awam memberikan perkhidmatan yang cekap.
Begitu juga halnya dengan prosedur atau proses kerja yang tidak lagi relevan agar perlu dibuat penambahbaikan yang sewajarnya supaya menjadi lebih berkesan.
Pada masa yang sama, penjawat awam harus berfikir secara kreatif dan inovatif bagi menghasilkan sesuatu yang baharu yang dapat memudahkan dan mempercepatkan proses kerja dan seterusnya memberi impak kepada rakyat.
Penjawat awam juga perlu meningkatkan segala kemahiran diri yang ada termasuklah berfikiran secara lebih kritis.
Perkara tersebut merupakan antara beberapa penekanan dalam amanat yang disampaikan oleh Datuk Amar Haji Mohamad Abu Bakar pada Majlis Apresiasi Penjawat Awam Bagi DUN N.28 Lingga, Sri Aman pada 13 Januari 2023 yang turut dihadiri mantan Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Jaul Samion, mantan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato Sri Hajah Rohani binti Abdul Karim dan Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Lingga, YB Dayang Noorazah binti Awang Sohor.
Dalam ucapan tersebut, beliau turut menyampaikan saranan Premier Sarawak kepada penjawat awam pada program High Performance Team (HPT) Retreat di Langkawi pada Disember tahun lepas yang menggesa ketua-ketua jabatan untuk lebih kerap turun padang dan berinteraksi dengan rakyat bagi memahami keluhan dan kesusahan rakyat serta respons dengan penyelesaian yang memenuhi kehendak mereka.
Semua itu menurut Datuk Amar Haji Mohamad Abu Bakar hanya boleh dicapai jika penjawat awam bekerja sebagai satu pasukan memandangkan tugas yang menanti penjawat awam pada hari ini semakin berat dan mencabar, ditambah dengan ekspektasi rakyat dan kepimpinan negeri yang saban hari semakin tinggi.
Oleh yang demikian, Perkhidmatan Awam Sarawak perlu mengukuhkan kerjasama dan menjalinkan semangat berpasukan ‘One SCS’ yang lebih padu di antara rakan-rakan dalam perkhidmatan awam di seluruh Sarawak termasuklah Perkhidmatan Awam Persekutuan.