- Advertisement -spot_img
4,842
published news
and counting

Limpahan Projek Pembangunan Di Daerah Gedong

Must read

Selepas diisytiharkan sebagai daerah penuh dan dirancang untuk dibangunkan sebagai kawasan pertanian komersial dan bandar satelit, Daerah Gedong kini dilimpahi beberapa projek pembangunan.

Yang terkini ialah pembinaan dua (2) jalan baharu berkembar dari Serian ke Gedong sepanjang 19 kilometer dan jalan empat (4) laluan sepanjang 74 kilometer yang menghubungkan Gedong dan Kota Samarahan.

Laluan jalan raya utama yang baik menghubungi beberapa buah kampung di Daerah Gedong
Jambatan Gedong merentangi Sungai Batang Kerang merupakan nadi perhubungan penduduk ke Daerah Simunjan

Kedua-dua projek berkenaan dimaklumkan oleh Premier Sarawak, YAB Datuk Patinggi Tan Sri (Dr.) Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Haji Openg ketika beliau meninjau perkembangan pelaksanaan Projek Jalan Lubok Teranggas – Kampung Gedong dan melawat ke tapak projek pembinaan Mini Isthmus Gedong pada 21 Januari 2023.

Menurut beliau, Jalan Gedong – Kota Samarahan yang turut dihubungkan ke Serian juga akan menyediakan laluan khas untuk pengangkutan Transit Aliran Autonomi (ART).

Projek jalan baharu tersebut dijangka akan mengambil masa untuk dibangunkan dalam tempoh 48 bulan.

Premier Sarawak turut memaklumkan bahawa Hulu Simunjan akan dihubungkan dengan Gedong melalui Jalan Gedong – Samalatong yang akan mula dilaksanakan dalam masa tiga (3) bulan akan datang dan dijangka mengambil masa selama 36 bulan untuk disiapkan.

Premier Sarawak, YAB Datuk Patinggi Tan Sri (Dr.) Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Haji Openg meninjau tapak pembinaan Mini Isthmus Gedong. Turut kelihatan Setiausaha Kerajaan Sarawak, YB Datuk Amar Haji Mohamad Abu Bakar bin Marzuki (kiri)

Dalam pada itu, projek Jalan Lubok Teranggas, Samarahan yang menghubungkan Kampung Gedong kini sedang giat dijalankan selepas diumumkan untuk dilaksanakan lebih setahun lalu. Skop pembinaan turut merangkumi dua (2) buah jambatan.

Jalan sepanjang 6.85 kilometer itu dijangka akan memendekkan masa perjalanan dari Samarahan ke Gedong kira-kira 50 minit berbanding dengan satu jam 30 minit melalui Lebuh Raya Pan Borneo.

Daerah Gedong yang merangkumi 12 buah kampung berkembang pesat melalui aktiviti pertanian, perikanan, perniagaan kecil-kecilan dan perusahaan produk makanan yang diusahakan oleh penduduk tempatan.

Perniagaan secara kecil-kecilan merupakan antara aktiviti ekonomi utama penduduk Gedong
Struktur bangunan di atas tanah seluas 3.8 ekar ini menempatkan pusat latihan, pejabat pentadbiran, bengkel, ruang pemprosesan dan teres terbuka

Berdasarkan pada perkembangan tersebut, Anjung Pembangunan Usahawan Gedong telah dibangunkan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak (MINTRED) pada akhir tahun 2020.

Struktur bangunan di atas tanah seluas 3.8 ekar yang kini hampir siap sepenuhnya menempatkan pusat latihan, pejabat pentadbiran, bengkel, ruang pemprosesan dan teres terbuka.

Anjung Pembangunan Usahawan Gedong dijangka akan merangsang pertumbuhan sosioekonomi di kawasan sekitar
Ruang dalaman Anjung Pembangunan Usahawan Gedong menyediakan kemudahan yang selesa kepada para usahawan tempatan menjalankan aktiviti perniagaan dan perusahaan

Ruang dalaman yang selesa akan memberi kemudahan dari segi peningkatan kapasiti dan keupayaan usahawan tempatan melalui aktiviti seperti pemprosesan makanan, pembuatan kraf, anyaman, pembangunan produk termasuklah latihan kemahiran keusahawanan digital yang seterusnya merangsang aktiviti ekonomi kawasan sekitar.

Anjung Pembangunan Usahawan Gedong yang terletak berhampiran dengan Klinik Kesihatan Gedong, Galeri Gedong dan Rumah Rehat Gedong juga bakal menjadi mercu tanda baharu di daerah berkenaan.

Satu lagi projek yang tidak kurang penting yang telah pun memberi manfaat kepada penduduk dari aspek keselamatan ialah projek benteng hakisan Gedong yang dibina secara berperingkat, iaitu dalam tiga (3) fasa pelaksanaan.

Benteng hakisan Gedong memberi manfaat dari aspek keselamatan kepada penduduk yang tinggal berdekatan dengan tebingan Sungai Batang Kerang

Selain itu, Daerah Gedong juga bakal memiliki sebuah kompleks sukan yang dilengkapi dengan pelbagai kemudahan seperti kolam renang, padang bola sepak rumput tiruan, balapan, padang futsal dan sebagainya.

Peruntukan sebanyak RM15 juta untuk melaksanakan projek berkenaan telah pun diluluskan oleh Premier Sarawak.

Penduduk Gedong terutama golongan belia bakal menikmati pelbagai kemudahan sukan di sebuah kompleks sukan yang bakal dibina di Gedong
Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article