- Advertisement -spot_img
4,844
published news
and counting

Sabak Bebuah, Vokal Muzik Masyarakat Iban

Must read

Suku kaum Iban di Sarawak terkenal dengan kepelbagaian muzik tradisional, sama ada dari segi alat muzik dan vokal muzik.

Alat-alat muzik seperti engkerumong, gong, letawak dan bebendai merupakan antara alat-alat muzik tradisional Iban yang sering digunakan untuk mengiringi persembahan tarian ngajat dan ketika sambutan perayaan Gawai Dayak.

Dari segi vokal muzik, ensera, timang, sampi, renong dan sabak adalah antara jenis-jenis vokal muzik tradisional yang dinyanyikan ketika berlangsungnya majlis perkahwinan serta sambutan perayaan Gawai Tanju, Gawai Kenyalang dan Gawai Antu.

Sabak merupakan vokal muzik tradisional Iban yang jarang dinyanyikan dan hanya dipersembahkan ketika sambutan Gawai Antu.

Gawai Antu disambut bagi memberi penghormatan tertinggi kepada nenek moyang dan saudara-mara terdahulu atas sumbangan, jasa dan usaha keras mereka dalam memastikan generasi seterusnya menikmati kehidupan yang lebih baik.

Mengikut kepercayaan Iban, pemujaan roh keluarga dan nenek moyang dalam Gawai Antu merupakan tanda penghormatan kepada mereka yang telah lama meninggal dunia sambil pewaris atau ahli-ahli keluarga yang masih hidup bersedia menerima hakikat dengan mewujudkan kesedaran bahawa mereka yang telah mati tidak akan kembali lagi ke dunia.

Perayaan Gawai Antu di Sarawak (Foto K. F. Wong)

Walau bagaimanapun, perayaan penuh ritual tersebut disambut mengikut kepercayaan yang mungkin berbeza daripada satu tempat dengan tempat yang lain.

Berdasarkan Sandin, (1994), sabak merupakan sejenis lagu puisi sedih yang berkisar tentang kematian atau menceritakan dunia kedua yang digelar sebagai Sebayan.

Di kawasan Batang Lupar, Sabak Bebuah adalah terminologi yang mengikut dialek penduduk Iban Balau di sana yang merupakan sebuah nyanyian puisi sedih untuk dipersembahkan dalam memperingati nenek moyang yang telah lama meninggal dunia dan pewaris mengharapkan roh si mati dapat menjalani kehidupan yang sejahtera di alam lain.

Iban Balau ialah migran yang berhijrah dari Borneo Indonesia ke Sarawak dan membina penempatan mereka berhampiran Bukit Balau (Sandin, 1994).

Dipercayai, penghijrahan mereka dari Kapuas menuju ke Bukit Balau Ulu telah berlaku perselisihan dengan Iban Skrang sehingga menyebabkan mereka berhijrah ke Lingga, Banting, Bukit Balau Ili, Selanjan, Empelanjau, Engkeramut dan Selepong di kawasan Simanggang yang kini lebih dikenali sebagai Sri Aman.

Masyarakat Iban yang menganut kepercayaan animisme atau ‘pengarap lama’ suatu ketika dahulu (sebelum kedatangan Kristian) mempercayai bahawa seni kata dalam ritual Sabak Bebuah adalah sebagai pembimbing kepada roh si mati di alam Sebayan.

Semasa sambutan Gawai Antu, vokal muzik Sabak Bebuah akan dinyanyikan oleh Tukang Sabak bermula dari pukul 6 petang hingga ke pukul 6 pagi pada hari berikutnya.

Tukang Sabak akan mempersembahkan nyanyiannya dengan duduk di atas buaian kayu yang dikenali sebagai ayun manakala para penghuni rumah panjang dan tetamu pula duduk berkumpul di ruai berhadapan dengan Tukang Sabak untuk menyaksikan persembahan vokal tersebut sehingga keesokan hari.

Cara sambutan ini amat berbeza dengan suku kaum Iban di kawasan Batang Rajang yang akan menyambut perayaan Gawai Antu ketika jasad si mati masih belum dikebumikan.

Secara tradisi, Sabak Bebuah dinyanyikan oleh golongan lelaki dan wanita. Namun begitu, golongan wanita yang majoritinya menguasai cara nyanyian tradisional ini.

Seorang wanita Iban yang berperanan sebagai Tukang Sabak menyanyikan puisi sedih dalam upacara mengingati nenek moyang yang telah lama meninggal dunia

Lazimnya, Sabak Bebuah dicipta oleh golongan wanita yang imaginatif, kreatif dan fasih dalam mempersembahkan lirik Sabak Bebuah.

Kaum wanita juga mempunyai kemahiran untuk menyebut dan menyatakan idea dengan tersusun ketika mempersembahkan Sabak Bebuah.

Peranan sebagai Tukang Sabak pada kebiasaannya juga dimainkan oleh kaum wanita atas kebolehan mereka membimbing roh si mati di alam Sebayan.

Sekumpulan wanita yang merupakan para penghuni salah sebuah rumah panjang masyarakat Iban di Lingga, Sri Aman

Kaum wanita lebih diberikan peranan sebagai Tukang Sabak kerana wanita mempunyai perwatakan yang lemah lembut serta mempunyai perasaan kasih sayang yang lebih daripada kaum lelaki.

Selain sabak, suku kaum Iban di Sarawak juga mempunyai banyak genre vokal muzik seperti timang, pengap, ensera, renong dan beberapa lagu untuk kaedah perubatan, pertempuran dan peperangan, vokal muzik untuk menunjukkan nilai kasih sayang dan juga hiburan pada sesuatu upacara dan perayaan (Matsuky & Tan, 2004).

Menurut Maxwell, (1989), sabak adalah salah satu genre lagu yang dinyanyikan ketika menyambut sesuatu upacara yang berunsurkan keagamaan selain daripada pengap, sampi, sangkah, timang dan taku.

Kesemua vokal muzik ini mempunyai hubung kait dengan semangat, mimpi, harta benda, kematian dan sebagainya.

Sungguh pun begitu, persembahan vokal muzik dalam upacara ritual amat jarang sekali dilakukan pada masa sekarang disebabkan oleh perubahan zaman dan gaya hidup masyarakat yang serba moden hari ini.

Sumber:

Kajian Terhadap Vokal Muzik Tradisional Suku Kaum Iban di Kawasan Batang Lupar, Sri Aman, Sarawak: Lagu Sabak atau Sabak Bebuah Semasa Perayaan Gawai Antu, UNIMAS

https://btu.upm.edu.my/content/ritual_sabak_bebuah_kaum_iban-58035

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article