Pesta Bung Bratak yang diadakan setiap 1 Mei di Bung Bratak yang terletak di Kampung Tembawang di Bau, menyingkap peristiwa penting kisah sejarah dan warisan masyarakat Bidayuh Jagoi.
Sejak itu, setiap tahun pada 1 Mei, masyarakat Bidayuh Jagoi dari sekitar Kuching, Bau dan Lundu akan berkumpul di Bung Bratak untuk memperingati peristiwa hitam yang menimpa nenek moyang mereka di sini.
Penganjurannya (sambutan Pesta Bung Bratak) kini bukan sekadar perayaan memperingati nenek moyang masyarakat Jagol,malah telah dijadikan salah satu tarikan warisan dan destinasi pelancongan serta kawasan rekreasi di negeri ini khususnya Daerah Bau.
Ia turut bertujuan untuk mempamerkan budaya, tarian dan muzik tradisional Bidayuh, serta persembahan kebudayaan, perarakan “Dayung Sangon”, gadis-gadis berpakaian tradisional dalam masyarakat menyertai perarakan.
Sambutannya kini tidak hanya terhad kepada kaum tersebut sahaja, sebab sudah terbuka kepada orang ramai dengan salah satu tarikan di festival itu ialah Pusat Warisan Bung Bratak atau Bung Bratak Heritage Centre (BBHC) yang siap pada tahun 2019.
Kawasan tersebut yang mempunyai kemudahan penginapan berharga RM100 seorang (termasuk sarapan pagi, makan tengah hari, makan malam dan barbeku) turut dikelilingi oleh hutan hujan, dengan air terjun berdekatan.
Menyingkap peristiwa di sebalik Bung Bratak, mungkin ramai yang belum mengetahui tentang kaitan kawasan pergunungan Bung Bratak yang terletak di daerah Bau dengan kaum Bidayuh Jagoi di sini.
Sebenarnya, kawasan ini (Bung Bratak) pernah dijadikan kawasan penempatan asal bagi nenek moyang masyarakat Jagoi di sini yang berasal dari gunung Sungkong, Kalimantan Indonesia,
Sejarah Bung Bratak bermula lebih kurang 750 tahun dahulu, dengan kumpulan pertama dari Sungkong menetap di Bung Bratak. Namun, peristiwa hitam 1 Mei 1838 telah mengubah segalanya.
Dari sumber, Persatuan Warisan Bung Bratak atau Bung Bratak Heritage Association (BBHA) menyatakan berdasarkan catatan sejarah dari ahli sejarah dan orang tua Bidayuh, kumpulan pertama ini berpindah dari Sungkong, yang terletak di kawasan pedalaman wilayah Kalimantan Barat, Indonesia, untuk mencari tanah yang luas untuk penanaman padi atau mengelakkan penyakit berjangkit.
Selama bertahun-tahun rakyat Bung Bratak hidup dengan aman dan, kerana bekerja keras, mereka mempunyai banyak simpanan padi dan perhiasan.
Mereka telah membina tujuh (7) buah rumah panjang dan juga tujuh (7) buah rumah bulat tradisional (Baruks) dan kedai padi (Basals).
Malangnya, pada tahun 1 Mei 1838, kumpulan luar yang bermusuhan, yang dikatakan berasal dari Skrang, menyerbu dan menghancurkan penempatan Bung Bratak, membunuh semua orang tua dan menculik semua kanak-kanak.
Mujurlah Panglima Kulow dan beberapa orang pembesar terselamat kerana mereka berada di kaki bukit Bung Bratak melakukan penanaman padi ketika Bung Bratak diserang.
Panglima Kulow mencari bantuan di segenap tempat dan akhirnya memperolehinya pada tahun 1841 daripada Rajah British pertama, Sir James Brooke.
Dengan bantuan ketenteraan Rajah, Panglima Kulow mendapatkan kembali anak-anak Bung Bratak yang telah diculik tiga (3) tahun sebelum ini pada tahun 1838.
Selepas 1841 apabila Rajah British membawa keamanan ke Sarawak, Bung Bratak telah dibina semula dan dihidupkan semula.
Sejak tahun 1900 dan seterusnya, penduduk Bung Bratak mula berpindah ke kawasan rendah (menuruni bukit).
Kini terdapat 33 buah perkampungan Jagoi-Bratak di Sarawak dalam Daerah Bau dan Lundu yang bersempadan yang berasal dari Bung Bratak. Lima (5) kampung berada di Kalimantan Barat Indonesia dan sebuah di kawasan Penrissen Daerah Kuching.
Bagi semua rentetan peristiwa penting di atas, Bung Bratak amat bermakna kepada masyarakat Jagoi-Bratak Bidayuh khususnya peranan yang dimainkan oleh Panglima Kulow.
BBHC juga telah dimulakan atas ingatan dan penghormatan Bung Bratak dan khususnya Panglima Kulow.
Ia telah dibangunkan serta diurus oleh Persatuan Warisan Bung Bratak (BBHA) serta dibiayai oleh Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia
BBHC juga mendapat pengiktirafan daripada Pertubuhan Pendidikan, Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) sebagai tapak bersejarah di puncak gunung (dibina 1,000 kaki di atas paras laut) yang pertama dibangunkan menjadi pusat ekopelancongan di Borneo.
BBHC dilengkapi kemudahan dengan dua (2) buah rumah panjang (sebuah untuk penginapan dan sebuah sebagai dewan persidangan, muzium mini dan pejabat), Baruk (rumah bulat tradisional Bidayuh), dewan makan dan dapur.
Seni binanya juga menggunakan reka bentuk tradisional Bidayuh yang unik, yang menelan kos RM8 juta di bawah pembiayaan Kerajaan Persekutuan.
Selain trek pendakian, BBHC juga boleh diakses menggunakan kenderaan kerana ia mempunyai jalan menuju ke puncak gunung dan tempat letak kenderaan di puncak gunung, yang dibangunkan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak dengan kos RM5 juta.
Di pusat tersebut, pelawat boleh berehat dan bersantai sambil menikmati keindahan pemandangan alam semula jadi.
Lokasi Bung Bratak yang terletak hampir dengan bandar Kuching dan hanya 10 kilometer dari Bau menjadikannya mudah dikunjungi pelawat.
Malah, Pejabat Daerah Bau dan Majlis Daerah Bau juga sudah menaik taraf jalan lama menuju ke BBHC dan tempat letak kenderaan di bawahnya.
Bung Bratak bermaksud Bukit Bratak, dan ia mewakili apa yang dikatakan menjadi penempatan besar bukit Bidayuh yang terdiri daripada tujuh (7) buah rumah panjang.
Menariknya Pusat Warisan Bung Bratak dibina di atas apa yang disifatkan sebagai rumah nenek moyang asal sub-etnik Jagoi-Bratak Bidayuh.
Malah sebelum ini, Bung Bratak diisytiharkan kawasan bersejarah pada tahun 1988 oleh Dayak Bidayuh National Association (DBNA) dan dijadikan salah satu warisan masyarakat Bidayuh Jagoi dengan batu peringatan didirikan bagi memperingati peristiwa hitam tersebut.
Memetik kata-kata Pengerusi Persatuan Warisan Bung Bratak, Datuk Peter Minos, tempat ini adalah menjadi simbol sejarah dan sesuatu yang unik kerana sebanyak 35 kampung daripada kumpulan Bidayuh Jagoi-Bratak dan Lundu adalah berasal dari Bung Bratak.
Manakala sebuah lagi kampung, iaitu Kampung Bowang di Penrissen, termasuk lima (5) buah lagi kampung di kawasan Jagoi Babang yang terletak di Kalimantan Barat berhampiran Kampung Serikin juga datang dari Bung Bratak.