- Advertisement -spot_img
4,842
published news
and counting

Struktur dan Kapasiti Dipertingkatkan Ikut Keperluan Sarawak

Must read

Bagi memenuhi keperluan di Sarawak, Angkatan Pertahanan Awam (APM) Sarawak sejak tiga (tiga (3) tahun kebelakangan ini telah melakukan penambahbaikan dengan menukar strukturnya (sebelum ini mengikut Semenanjung Malaysia berasaskan satu (1) lapisan iaitu daerah) kepada struktur Sarawak (terdapat tiga (3) lapisan pentadbiran-Bahagian, Daerah dan Daerah Kecil)

Demikian menurut Pengarah APM Sarawak, Pengarah APM (PPj (PA) Abdul Wahab Bin Hj. Rahim dalam sesi temu bual bersama RAKAN Sarawak.

Pengarah APM Sarawak (PPj (PA) Abdul Wahab Bin Hj. Rahim dalam sesi temu bual bersama RAKAN Sarawak

APM adalah sebahagian daripada pertahanan awam sehinggalah pada tahun 1951, setelah ada Ordinan sendiri yang kemudian menjadi Akta telah menggariskan kerja-kerja pertahanan awam mencakupi istilah lebih umum dan meluas.

Mengambil contoh dua (2) situasi iaitu situasi pertama ketika di uji berlakunya “situasi genting” di Lahad Datu (walaupun bukanlah peperangan) tetapi situasi yang boleh mendatangkan kecemasan yang memerlukan tempat perlindungan, kebajikan, perubatan dan ada elemen pemindahan. Situasi kedua, semasa bencana, sebagaimana yang kita ketahui, APM menjadi Sekretariat Pengurusan Bencana Peringkat Negeri dan Daerah.
Dalam konteks Sarawak, terdapat dua (2) fungsi iaitu pada peringkat Bahagian, APM akan menjadi urus setia segala persediaan, operasi dan bantuan yang akan dipengerusikan oleh Residen atau Pegawai Daerah atau Bahagian.

Fungsi kedua, APM akan membuat kerja-kerja bertindak balas seperti kerja-kerja pemindahan termasuklah kerja-kerja menyelamat.

APM kini sedang dalam proses melaksanakan penambahbaikan untuk mewujudkan lebih banyak pejabat di peringkat daerah mengikut struktur yang lebih sesuai untuk Sarawak seperti yang telah ditetapkan iaitu terdapat tiga (3) lapisan iaitu Bahagian, Daerah dan Daerah Kecil.

Menurut beliau, pihaknya secara beransur-ansur akan menukarkannya dan akan mendapatkan mereka yang berkelayakan bagi memenuhi kekosongan (kawasan yang belum ada pegawai).

Pengarah APM Sarawak (PPj (PA) Abdul Wahab Bin Hj. Rahim

Jelas beliau, pihaknya telah meyakinkan pihak persekutuan bahawa APM Sarawak perlu mengikuti struktur yang ada di Sarawak, jika tidak ini sudah tentu menyukarkan kerana misalnya Residen mempengerusikan mesyuarat dan APM Sarawak menghantar pegawai dari Daerah, sedangkan sepatutnya pegawai dari Bahagian yang di hantar.

Begitu juga, sekiranya Pegawai Pertahanan Awam Bahagian Sibu, pada masa yang sama menjadi Pegawai Pertahanan Awam Daerah. Jika ada urusan di daerah lain, dia tidak meliputi daerah tersebut dan ia akan menyukarkan urusan di daerah tersebut.

Sekiranya struktur lama (berasaskan satu (1) lapisan daerah) digunakan, ia akan merumitkan keadaan sebab struktur di Sarawak mempunyai tiga (3) lapisan.

Atas perubahan struktur tersebut juga, beliau berharap akan wujud pertambahan jawatan dan peruntukan untuk pejabat baharu. Sebagai contoh pejabat untuk Bahagian lain. Setakat ini daripada 41 buah daerah yang terdapat di Sarawak, APM Sarawak cuma ada 26 buah pejabat (21 buah pejabat daerah dan lima (5) buah pejabat daerah kecil).

Bagi memastikan sasaran ke arah 41 buah pejabat, APM Sarawak, jelas beliau menyasarkan penghujung tahun 2022 mendapat tambahan 10 lagi pejabat baharu.

Mengikut struktur yang ada kini, sebagai contoh Pegawai Pertahanan Bahagian (kini hanya ada di Bahagian yang besar seperti Kuching, Sibu dan Miri), di bawahnya ada Pegawai Pertahanan Daerah yang akan menjaga dan mentadbir.

Pada peringkat Bahagian ini, setakat ini tidak semua mempunyai Pegawai Pertahanan Bahagian kerana pada masa yang sama mereka akan menjaga Zon Operasi. Sebagai contoh untuk Bahagian Tengah, walaupun ditempatkan Pegawai Pertahanan Awam Sibu, tapi untuk operasi ia meliputi juga kawasan Mukah atau Sarikei.

Menurut beliau, itu hanya bagi tujuan operasi sahaja, setakat ini APM cuma menempatkan pegawai (tahap Pengurusan dan Profesional) di tiga (3) bahagian yang besar, dan menjangka kesemua 12 Bahagian turut mempunyai Pegawai Pertahanan Bahagian masing-masing pada masa akan datang.

APM Menggunakan Sepenuhnya Tenaga Sukarelawan, 15,000 Sukarelawan Digerakkan Semasa Pandemik COVID-19

Jelas beliau, majoriti kekuatan APM adalah menggunakan kekuatan sukarelawan. Ia datang daripada komuniti yang telah dilatih dan diurus sepenuhnya oleh APM.

APM Sarawak sentiasa menempatkan sukarelawan di segenap tempat yang berisiko banjir

Penggunaan sukarelawan terbukti berjaya ketika berhadapan dengan pengurusan kecemasan dan tempoh tertentu terutama semasa kita mengalami pandemik COVID19.

Jelas beliau, pihak APM menganggapkannya sebagai “Bencana Kesihatan” dan dengan pantas mengerahkan hampir 15,000 sukarelawan setiap hari ketika pandemik yang bertugas di lapangan terbang, stesen kuarantin selain di PKPD dan PPB.

Selain situasi pandemik, untuk pengurusan kecemasan secara harian, APM bersama lima (5) agensi lain terlibat langsung dalam operasi MERS 999 dan event code (fokus utama) APM adalah kerja-kerja kemanusiaan.

Walaupun, ada pada satu ketika ada pihak yang masih skeptikal dan memandang remeh tugas APM tetapi pada hakikatnya kes yang tertinggi di Malaysia ketika ini adalah melibatkan kerja-kerja kemanusiaan dengan purata empat (4) ke lima (5) kes setiap hari.

Kes tersebut termasuklah, memusnahkan sarang tebuan, menyelamat dari bahaya ular, lebah dan buaya dan menyelamat kucing, anjing dan sebagainya.

Salah satu aktiviti pemusnahan sarang tebuan
APM sentiasa memastikan keselamatan penduduk, kelihatan sukarelawan menangkap buaya

Perkhidmatan APM sentiasa diperlukan sepanjang masa dalam keadaan biasa dan genting dan ini menjadikan APM sentiasa relevan sehingga ke hari ini.

Beliau tidak menafikan masih terdapat mereka yang masih kurang faham objektif APM. Sukarelawan APM, jelas beliau mempunyai pelbagai latar belakang daripada orang biasa (penduduk kampung) serta mereka yang pakar dalam bidang masing-masing seperti bidang perubatan (doktor), bidang teknikal (juru teknik).

Mereka ini (sukarelawan) yang akan membantu “menyelamatkan keadaan.” Sebagai contoh, sukarelawan terlatih terdiri dari orang kampung selain menyelamat dengan pantas kejadian di rumah panjang boleh ditugaskan juga mengurus pusat pemindahan, mengurus penyimpanan stok, mengurus aktiviti penyediaan makanan (tidak memerlukan pakar).

Manakala sukarelawan (terdiri dari pakar dalam bidang masing-masing) pula dapat ditugaskan untuk tujuan operasi mengikut kepakaran bidang masing-masing (bantuan dapat diberikan dengan segera).

Apa yang menarik mengenai tugas kemanusiaan ini, jelas beliau adalah struktur masyarakat yang berbeza-beza (pendekatan APM menanganinya turut berbeza) dengan kebanyakan penduduk kampung tahu mengendalikan kes kecemasan berbanding struktur perumahan di bandar (masih mengharapkan pihak APM).

Langkah Strategik APM Dalam Memastikan Kesiapsiagaan Komuniti Pada Tahap Tertinggi

Bagi kesiapsiagaan sentiasa berada pada tahap tertinggi menurut beliau, APM telah memastikan setiap kawasan berisiko kita mempunyai pasukan sukarelawan (di tempat tersebut), sekurang-kurang ada satu (1) platun.

Penubuhan pasukan di sesuatu tempat bukanlah berdasarkan daerah tetapi berdasarkan keperluan, walaupun mereka tinggal di daerah kecil dan berasaskan komuniti. Berdasarkan kes terdahulu, ini akan diurus oleh daerah yang berdekatan dan perlu memberikan respons awal.

Hal berkaitan pertahanan awam ini menariknya sebab ia banyak melibatkan sukarelawan, walaupun masih ramai yang keliru dan tidak dapat membezakan di mana pegawai atau sukarelawan.

Keadaan ini jelasnya, mungkin disebabkan apabila melaksanakan tugas, sukarelawan ini dikehendaki menggunakan pakaian seragam, mereka mempunyai aset dan peralatan. Mereka juga di berikan elaun sebagai insentif menghargai tugas mereka.

Pasukan Penyelamat Pantai yang terdiri daripada Anggota Sukarelawan Pertahanan Awam dari penduduk Kampung Telok Melano di bawah seliaan Pejabat Pertahanan Awam Daerah Lundu/Sematan

Menurut beliau, APM membelanjakan peruntukan yang cukup besar RM3 juta sebulan untuk mengurus sukarelawan di Sarawak termasuklah bagi tujuan latihan, program dan operasi (bayaran)

Di sebalik keadaan tersebut, beliau menekankan betapa penting masyarakat untuk melengkapkan diri dengan pengetahuan kecemasan agar respons dan bantuan awal dapat diberikan.

APM perlu meletakkan tanggungjawab ini (merancang, melaksanakan, operasi ataupun pemindahan )untuk sama-sama digalas oleh masyarakat.

Berdasarkan pengalaman yang lepas, pernah ada kes di mana segala perancangan sudah di atur tetapi berdepan cabaran disebabkan jalan terputus malah kenderaan tidak dapat digerakkan disebabkan masalah cuaca buruk.

Mesejnya di sini, APM perlu memberikan sepenuhnya kepercayaan dan memberikan kuasa kepada masyarakat ini sekurang-kurangnya untuk mereka mengurus dan menangani keadaan mereka dalam tempoh kritikal satu (1) hari atau 48 jam.

Lebih-lebih lagi dalam keadaan bencana seperti banjir yang dapat dijangka (mengikut musimnya), APM boleh meletakkan makanan atau khemah di tempat tersebut. Kita akan melatih mereka bagaimana untuk memasang, melakukan pemeriksaan stok dan Jawatankuasa Keselamatan Kampung (JKKK) boleh bergerak sendiri sebelum bantuan dapat ke tempat mereka.

Pemantauan banjir sedang dilakukan di kawasan yang berisiko banjir
APM melakukan pemindahan penduduk yang menghadapi banjir
Di salah satu kawasan pemindahan banjir

Keadaan ini tidak dapat dielakkan seperti contohnya di Sarawak, APM perlu melatih, percayakan mereka, melengkapkan kesiapsiagaan mereka ini termasuklah memberi kuasa kerana kebanyakan tempat rumah panjang terletak jauh di pedalaman seperti di Belaga, Marudi dan sebagainya.

Ditanya bagaimana tahap kesiapsiagaan dapat diukur, jelas beliau,  APM hendaklah melihat kemampuannya, sebagai contoh sekiranya terdapat 400 orang perlu dipindahkan dalam kejadian banjir, pertama (berapa tempoh masa yang akan diambil), kedua (dari segi logistik dan penetapan masa perlu diletak contohnya dalam masa dua (2) jam.

Dari segi kesiapsiagaan yang boleh dikawal (seperti persediaan Monsun Timur Laut), APM hendaklah memaklumkan lebih awal kepada masyarakat, selain simulasi boleh dilakukan (boleh menilai tahap kesiapsiagaan).

Cabaran APM Dalam Memenuhi Peranan Organisasi Dan Ekspektasi Masyarakat

Agensi tersebut masih berdepan dengan penerimaan masyarakat iaitu kebergantungan masyarakat terhadap APM dalam kerja-kerja menyelamat dan menguruskan bencana kerana masyarakat juga perlu mempunyai pengetahuan asas, bersedia dan memberikan respons segera bila berlakunya kes kecemasan di tempat mereka.

APM sentiasa menggalakkan orang ramai untuk mengikuti kursus asas pertahanan awam

Jelas beliau, masih ada sesetengah tempat bila dianjurkan program kesiapsigaan komuniti, sambutan mungkin tidak begitu menggalakkan sebab merasa peranan tersebut perlu dimainkan oleh agensi.

APM perlu meyakinkan, menukarkan pendekatan dan lebih kreatif dalam mengubah pemikiran masyarakat seperti contoh pertolongan segera seperti rawatan luka, pertolongan kecemasan di laut yang perlu dilakukan oleh mereka sendiri.

Tempoh empat (4) minit atau satu (1) minit begitu berharga dalam menyelamatkan nyawa, jelas beliau dan gunakan sebaik mungkin pengetahuan kecemasan yang dimiliki untuk menyelamat nyawa orang sekeliling kita.

Sukarelawan APM sentiasa bersedia di mana jua, sekiranya berlakunya bencana alam

Untuk kawasan luar bandar, APM tidak menghadapi begitu banyak masalah disebabkan tahap kesiapsiagaan mereka yang tinggi tetapi bagi kawasan bandar masih mengharapkan agensi seperti APM.

Dari segi memberikan latihan kepada masyarakat, APM turut menjalankan operasi menyelamat ataupun pengurusan kecemasan termasuklah mempersiapsiagakan serta menyeragamkan komuniti sama ada dari segi ilmu pengetahuannya ataupun pergerakan aset dan pengendalian logistik.

Kini, penempatan aset termasuk bot jelas beliau diletakkan di kawasan-kawasan berisiko, berada dekat JKKK (ini memudahkan sekiranya aset tidak dapat digerakkan sekiranya jalan terputus) dan kita akan melantik penyelaras di kalangan masyarakat itu tadi.

Pencapaian Projek Kendalian APM Sarawak

Bagi Rancangan Malaysia Ke-11 (RMKe-11), terdapat dua (2) projek utama iaitu pembinaan Kompleks Pertahanan Awam Fasa satu (1) (menempatkan juga stor logistik) di Kuching dan Pejabat Pertahanan Daerah dan Dewan Terbuka (sebagai digunakan sebagai tempat perlindungan dan latihan asas) di Sibu.

Sentiasa memastikan logistik dalam keadaan baik

Manakala bagi Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKE-12), fokus APM kepada pengambilan tanah (di setiap daerah) bagi tujuan tapak kekal Pejabat Pertahanan Awam Daerah.

APM Sarawak juga ada merancang untuk memohon pembangunan fasa ke dua (2) Kompleks Pertahanan Awam (melibatkan kemudahan Latihan, kemudahan asrama, kelas) di bawah Kajian Separuh Penggal (RMKE-12).

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article