- Advertisement -spot_img
4,842
published news
and counting

Program Kelestarian Hospital Hijau, Hospital Miri

Must read

Anugerah Alam Sekitar Premier Sarawak merupakan salah satu inisiatif Kerajaan Sarawak untuk memberi pengiktirafan dan menggalakkan semua sektor di negeri ini mengutamakan pengurusan alam sekitar dengan baik.

Menurut Pengarah Hospital Miri, Dr. Jack Wong Siew Yu ketika ditemu ramah RAKAN Sarawak memberitahu, sejak 2015, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah menyarankan semua hospital di negara ini menerapkan konsep hospital hijau (green hospital concept).

Pengarah Hospital Miri, Dr. Jack Wong Siew Yu ketika ditemu ramah RAKAN Sarawak

Hal ini kerana, kita sedang berdepan dengan isu pemanasan global di mana apabila pemanasan global semakin meningkat, ia akan membawa banyak impak negatif terhadap alam sekitar kita.

Pada masa yang sama, kesan rumah hijau turut berlaku apabila komposisi gas-gas rumah hijau seperti karbon dioksida, karbon monoksida, nitrogen dioksida meningkat melebihi tahap normal dan jika masalah ini tidak dikawal, pemanasan global akan menjadi semakin teruk.

Oleh itu, bermula tahun 2015, pihak pengurusan Hospital Miri telah melaksanakan beberapa inisiatif untuk mengatasi masalah ini dengan cara menerapkan konsep tenaga hijau (green energy) melalui Program Kelestarian atau Sustainability Program (SP).

Pelaksanaan SP terdiri daripada tiga (3) kategori iaitu Pengurusan Tenaga atau Energy Management (EM); Kualiti Pengudaraan Dalaman atau Indoor Air Quality (IAQ); dan Program 3R (Reduce, Reuse, and Recycle).

Program 3R (Reduce, Reuse, and Recycle) antara salah satu inisiatif dalam Program Kelestarian

Di bawah inisiatif EM, pihak pengurusan Hospital Miri telah melaksanakan tiga (3) projek iaitu pertama ialah Projek Naik Taraf Sistem Pendingin Hawa Berpusat (Chiller Retrofit Project) yang telah bermula pada Oktober 2018 dan berakhir pada Disember 2019 (60 minggu).

Tujuan projek tersebut adalah untuk menjimatkan tenaga sistem penyejuk yang tidak lagi efisien, mengurangkan pelepasan karbon ke alam sekitar, menjimatkan kos operasi dan utiliti sekali gus untuk memastikan penyampaian perkhidmatan di Hospital Miri tidak terjejas.

Antara komponen projek sistem pendingin hawa berpusat di Hospital Miri
Antara komponen projek retrofit sistem pendingin hawa berpusat di Hospital Miri

Hospital Miri telah mula beroperasi pada 6 Mei 1995 dan ini bermakna pendingin hawa yang digunakan sudah pun berusia lebih 20 tahun, jadi wajarlah untuk ia ditukar kerana sistem penyejuk yang sedia ada sudah uzur.

Sebahagian besar daripada kerja projek itu merangkumi kerja menanggal dan memasang saluran udara (air duct) yang menyalurkan udara sejuk ke dalam bangunan hospital.

Projek itu dilaksanakan secara berperingkat (fasa) dan ia melibatkan hampir kesemua blok klinikal yang terdapat di bangunan hospital.

Antara cabaran yang dihadapi pihak pengurusan hospital sepanjang tempoh pelaksanaan kerja projek ini dijalankan ialah, wujudnya keadaan yang tidak selesa terhadap para pesakit dan orang awam termasuk kakitangan hospital seperti persekitaran yang panas, berdebu dan bunyi bising.

Dengan pelaksanaan projek Naik Taraf Sistem Pendingin Hawa Berpusat ini, pihak pengurusan Hospital Miri telah berjaya menjimatkan tenaga tahunan sebanyak 1, 010, 7222 Kilowatt-jam (KWH) bersamaan dengan RM242, 573 setahun.

Statistik penjimatan yang dicapai pada tahun 2021

Kedua ialah Projek Sistem Air Panas Solar (Solar Hot Water Project) yang menggunakan teknologi baharu untuk mengelakkan kebergantungan kepada sistem dandang konvensional dalam penghasilan air panas.

Antara komponen projek sistem air panas solar di Hospital Miri

Projek ini merupakan inisiatif pihak pengurusan Hospital Miri untuk menaik taraf loji dandang konvensional (conventional boiler plant) kepada sistem air panas solar.

Dengan melaksanakan projek ini, pihak hospital telah berjaya mencapai hasil penjimatan daripada penggunaan diesel sebanyak 135, 00 liter bersamaan dengan RM313, 334.90 setahun.

Ketiga ialah projek pemasangan LED (LED Retrofit) untuk menggantikan lampu jenis tiub pendarfluor kepada tiub LED.

Projek yang telah bermula pada Oktober 2019 dan berakhir pada Jun 2020 berjaya menjimatkan penggunaan tenaga di Hospital Miri sebanyak 761, 676 Kilowatt-jam (KWH) dan RM228, 502.80 setahun.

Rajah menunjukkan pembahagian penggunaan tenaga elektrik di Hospital Miri

Pihak pengurusan hospital Miri juga turut menerapkan program 3R di mana penggunaan barangan plastik tidak digalakkan untuk digunakan di hospital termasuk di kantin dan farmasi.

Selain itu, pihak pengurusan hospital juga telah mengurangkan pengambilan air mineral botol kerana botol tersebut merupakan salah satu daripada sisa plastik.

Bagi mengurangkan pembelian air mineral, pihak pengurusan hospital telah menyediakan pembahagi air (water dispenser) untuk kegunaan kakitangan hospital dan pada masa yang sama, pihak pengurusan juga menggalakkan kakitangan membawa air minuman masing-masing.

Seterusnya, pihak pengurusan Hospital Miri juga turut membangunkan sistem cap ibu jari biometrik (biometric thumbprint) sebagai satu langkah untuk mengurangkan penggunaan kertas.

Menurut Dr. Wong, pihak pengurusan hospital perlu mengeluarkan hampir 20 ribu keping kad perakam waktu setiap tahun memandangkan hospital ini mempunyai sekurang-kurangnya 1,700 orang staf.

Pihak pengurusan membangunkan sistem cap ibu jari biometrik sebagai langkah untuk mengurangkan penggunaan kertas

Penggunaan kad perakam waktu ini sebenarnya banyak kelemahannya dan salah satunya, ia perlu disimpan selama tujuh (7) tahun mengikut polisi kerajaan.

Kemudian, baru-baru ini Hospital Miri telah bekerjasama dengan pihak NGO bagi melaksanakan Projek Ecobrick sebagai usaha menyokong inisiatif hijau.

Ecobrick adalah botol plastik yang diisi menggunakan plastik terpakai pada ketumpatan tertentu dan dijadikan bahan blok bangunan atau perabot, dinding, atau struktur lain yang boleh digunakan semula.

Projek Ecobrick merupakan inisiatif yang sangat diperlukan dalam memerangi penggunaan plastik justeru, projek ini secara tidak langsung dapat mendidik orang ramai bahawa penggunaan plastik yang banyak boleh memudaratkan alam sekitar dan ia perlu dikurangkan bermula dengan kesedaran.

Pihak Hospital Miri telah disarankan untuk menghasilkan 740 Ecobrick di mana setiap staf perlu menghasilkan satu bata dan Ekobrick yang dihasilkan akan dijadikan sebagai dekorasi dan disusun untuk membina Tembok Hijau Miri di tempat awam.

Justeru, pihak Hospital Miri amat komited dalam melaksanakan program kelestarian ini kerana ia selari dengan matlamat yang ingin dicapai menjelang 2025 iaitu sifar karbon (low carbon), penjimatan tenaga (energy saving), persekitaran selamat (safe environment) dan pengurangan sisa (waste reduction).

Secara dasarnya, kejayaan pihak Pengurusan Hospital Miri ini dalam melaksanakan Program Kelestarian turut diukur dengan mengambil kira pertimbangan kepada elemen amalan baik alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).

Misalnya dari sudut persekitaran, apa yang menjadi tumpuan adalah kepada aspek pengurusan tenaga, sistem pengudaraan, pengurusan air serta pengurusan sisa; dari sudut sosial pembangunan Infrastruktur untuk keselesaan pekerja dan pesakit, program-program kesedaran dan sebagainya.

Sehubungan itu, Dr. Wong menyifatkan penerimaan anugerah ini amat bermakna kerana ia mengiktiraf usaha yang sudah dilakukan selama ini bahkan turut menjadi penyuntik semangat, pendorong dan motivasi kepada kakitangan hospital untuk mencapai lebih banyak kejayaan pada masa akan datang.

Dr. Jack Wong Siew Yu memegang trofi dan sijil Anugerah Alam Sekitar Premier Sarawak 2022 yang dimenangi

Beliau sangat berterima kasih kepada Kerajaan Sarawak yang telah memberi pengiktirafan tersebut kepada hospital Miri yang merupakan agensi persekutuan kerana ia sekali gus telah mengiktiraf segala usaha yang dilakukan oleh hospital Miri.

Tambah beliau, penganugerahan ini sangat penting kerana ia merupakan pencapaian (milestone) untuk mereka kerana sebelum ini pun mereka pernah menyertai pertandingan halaman cantik yang dianjurkan oleh Majlis Bandaraya Miri (MBM).

Pertandingan itu bertujuan untuk memupuk budaya menghias halaman rumah, pejabat dan premis masing-masing sejajar dengan slogan ‘Miri Go Green’.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article