Sekian lama penantian untuk pembinaan sekolah baharu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Matu, Daro yang tertangguh dan kini pembinaan sekolah ini akan dibina bermula April 2023.
Projek pembinaan sekolah baharu ini penting bagi menjamin dan meningkatkan keselesaan murid-murid di daerah Matu.
Kelewatan pembinaan sekolah ini telah dijawab oleh Menteri Pendidikan, YB Fadhlina Sidek bagi menjawab soalan daripada YB Tuan Haji Ahmad Johnie Bin Zawawi, Ahli Parlimen Igan untuk status pembinaan baharu SMK Matu.
Menurut Menteri Pendidikan, kerja-kerja pembinaan SMK Matu, Sarawak akan bermula pada pertengahan April 2023, selepas Surat Setuju Terima dikeluarkan pada 30 Mac 2023.
Menteri Pendidikan berkata, projek pembinaan gantian penuh 28 buah bilik darjah dan kemudahan lain SMK Matu diluluskan dalam Rancangan Malaysia Ke-11 Rancangan Boleh Pinda 2 (2017).
Iklan tender telah dipelawa pada 19 November 2022 dan penilaian tender dibuat oleh Jabatan Kerja Sarawak (JKR) Sarawak.
Menurut Menteri Pendidikan lagi, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) komited dalam menyediakan infrastruktur pendidikan yang selamat dan kondusif untuk kegunaan murid dan warga sekolah di seluruh negara.