Kolej Komuniti sebagai penyedia Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang utama di Malaysia yang akan melalui fasa pemerkasaan (2013-2015) telah menetapkan tujuh (7) sasaran utama yang perlu dicapai menjelang tahun 2015.
Ketujuh sasaran tersebut termasuklah Pembangunan Portal pembelajaran melalui e-learning, ASEAN Lifelong Learning Hub, Mempergiat Penawaran Program up-skilling dan re-skilling kepada rakan industri, Memperkasa kurikulum Sijil Kolej Komuniti melalui pewujudan Lembaga Kurikulum, Pembangunan attribut pelajar Kolej Komuniti, Penarafan Kolej Komuniti dan Pembangunan Pensyarah Subject Matter Expert (SME).
Ini diumumkan oleh Menteri Pengajian Tinggi , YB Dato’ Seri Mohamad Khaled Nordin ketika berucap merasmikan Majlis Pemerkasaan Kolej Komuniti dan Karnival Pembelajaran Sepanjang Hayat (My3L) Peringkat Zon Sarawak di Kuching.
Mengulas lebih lanjut mengenai sasaran tersebut, beliau berkata Portal pembelajaran melalui e-learning (Portal pembelajaran melalui e-learning akan mula dibangunkan secara fasa demi fasa, bagi membuka akses pengajian kepada semua penuntut kolej komuniti dengan sembilan (9) bidang tumpuan itu ialah Operasi Perniagaan, Keusahawanan, Fotografi Komersil, Pemprosesan Makanan Komersil, Lanskap, Servis Kenderaan Ringan, Pastri dan kulinari, Multimedia dan Grafik, Fesyen dan Pakaian.
Manakala, ASEAN Lifelong Learning Hub pula menurut beliau Kolej Komuniti yakin sudah tiba masanya, Kolej Komuniti menerajui Malaysia Lifelong Learning Hub di kalangan Negara ASEAN. Melalui kerjasama dengan Education Malaysia (EM), Kolej Komuniti akan memperluaskan sayap dan pengalamannya ke Negara-negara jiran seperti Thailand, Myanmar, Lao PDR dan Vietnam.
Sasaran ketiga pula, Mempergiat Penawaran Program up-skilling dan re-skilling kepada rakan industri pula dilihat sebagai landasan terbaik bagi menyokong pengumuman kerajaan untuk menetapkan kadar gaji minimum pekerja.
Berdasarkan sasaran tersebut, mulai tahun 2013, semua kolej komuniti akan menawarkan pakej latihan secara customized menerusi Sijil Modular Kebangsaan kepada rakan industri dengan indeks petunjuk prestasi (KPI) semua kolej komuniti untuk melaksanakan sekurang-kurangnya satu program up-skilling kepada rakan industri. Sehingga kini, terdapat 65 modul latihan yang sedia ditawarkan kepada rakan industri.
Sasaran keempat pula ialah dengan Memperkasa kurikulum Sijil Kolej Komuniti melalui pewujudan Lembaga Kurikulum. Melalui sasaran ini, pihak industri dilibatkan secara lebih berkesan dalam penggubalan dan penyemakan semula kurikulum .
Ia dilihat dengan usaha ke arah pengiktirafan MQA bagi semua program yang dilaksanakan di kolej komuniti. Oleh yang demikian dalam tahun 2013 ini, JPKK akan mewujudkan Lembaga Kurikulumnya sendiri di mana komposisi keanggotaan ahli Lembaga ialah pihak industri (30 peratus), wakil politeknik atau universiti (40 peratus) dan wakil kepimpinan komuniti setempat (30 peratus).
Seterusnya, sasaran Pembangunan attribut pelajar Kolej Komuniti dengan tumpuan khusus kepada pembangunan pelajar kolej komuniti termasuk mengilap dan membangunkan atribut berikut seperti Berani mencuba, Kreatif dan berbakat, Mesra dalam pergaulan dan Berfikiran terbuka.
Pembangunan model Atribut Pelajar, menurut beliau akan dilaksanakan berdasarkan tempoh pengajian dan terbahagi kepada tiga iaitu fasa awal, pertengahan dan akhir. Setiap fasa akan memberi nilai tambah kepada pelajar tersebut.
Sasaran keenam pula melibatkan Penarafan Kolej Komuniti dengan status ketika ini suatu instrument penarafan sedang dibangunkan oleh Perunding yang diketuai oleh Perunding MyQuest dengan jangkaan proses penarafan dilakukan pada pertengahan tahun ini dan keputusannya diketahui pada penghujung tahun.
Sasaran terakhir, tambah beliau ialah Pembangunan Pensyarah Subject Matter Expert (SME) dengan JPKK akan mula membangunkan pensyarah pakar dalam bidang-bidang yang menjadi tumpuan di Kolej Komuniti mulai tahun 2013.
Tenaga pengajar yang menunjukkan pencapaian yang tinggi dalam bidang masing-masing akan dikenalpasti dan diberi pendedahan tambahan di dalam dan diluar negara.
Melengkapkan tindakan ini, satu set kriteria penilaian serta panel penilai SME perlu ditubuhkan bagi mengendalikan proses penetapan kriteria pentaulihan ini dalam tahun 2013 manakala pentauliahan SME yang berkelayakan akan bermula pada tahun 2014.
Pemerkasaan Kolej Komuniti 2013-2015 merupakan satu komitmen bagi memantap dan menambahbaik kualiti penyampaian dan perkhidmatan kolej komuniti. Ianya berfokus kepada enam teras iaitu Memperkasa Pembelajaran Sepanjang Hayat, Mengarus perdana dan memperluas akses kepada TVET, Meningkatkan keberkesanan organisasi , Memperkukuhkan kerjasama strategik dengan rakan industri & agensi, Meningkatkan keupayaan dan daya saing komuniti dan Meningkatkan kapasiti dan bakat.