Visi menjadikan Sarawak negeri maju menjelang 2030 dimantapkan lagi dengan penubuhan Majlis Tindakan Ekonomi Sarawak atau SEAC (Sarawak Economic Action Council).
SEAC ditubuhkan dengan mengambil kira situasi ekonomi pasca pandemik COVID-19 yang kini masih melanda dunia sehingga menjejaskan ekonomi global.
Semasa mesyuarat pertama SEAC, Premier Sarawak, YAB Datuk Patinggi (Dr.) Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Haji Openg menekankan betapa perlunya aktiviti ekonomi Sarawak digerakkan bersesuaian dengan norma baharu yang diamalkan kesan daripada COVID-19.
Dalam mesyuarat tersebut, beliau memperincikan tiga (3) tonggak dalam visi menjadikan Sarawak negeri maju, iaitu Kesejahteraan Ekonomi, Keterangkuman Masyarakat dan Kelestarian Persekitaran.
Premier Sarawak menjelaskan, kelestarian merupakan prinsip utama bagi pertumbuhan ekonomi Sarawak.
Dalam usaha memastikan kelestarian alam sekitar, tumpuan diberikan terhadap pengurusan hutan dengan penglibatan bersama kerajaan, komuniti perniagaan dan masyarakat.
Inisiatif-inisiatif utama dalam usaha berkenaan termasuklah menggalakkan aktiviti perladangan hutan industri, penanaman semula hutan di kawasan degradasi dan pensijilan antarabangsa amalan pengurusan hutan di Sarawak.
Industri perkayuan merupakan antara penyumbang utama ekonomi Sarawak dan penanaman semula hutan dijalankan bagi mengurangkan impak terhadap sumber semula jadi serta memastikan kelestarian bekalan bahan mentah untuk industri perkayuan.
Pada Oktober 2020, Premier Sarawak mengumumkan bahawa menerusi SEAC, Sarawak sedia mengkaji semula dasar industri pembalakan demi manfaat kepada rakyat.
Jelas beliau, kajian semula dasar pembalakan perlu dilakukan jika bertujuan untuk membuka lebih banyak peluang kepada rakyat tempatan untuk terlibat dalam industri tersebut.
Walau bagaimanapun, penekanan harus diberikan terhadap aspek penanaman semula hutan serta penyertaan rakyat dalam industri pembalakan.
Beliau menjelaskan, antara perkara yang ditegaskan dalam penstrukturan semula industri pembalakan Sarawak termasuklah memastikan pemegang lesen pembalakan tempatan memenuhi komitmen mereka untuk menanam semula hutan yang telah diterokai.
Penanaman semula dilakukan dengan memberi keutamaan kepada spesies-spesies pokok yang boleh mendatangkan hasil pendapatan.
Seiring dengan perkembangan teknologi, Kerajaan Sarawak telah pun meneroka penggunaan teknologi dalam pelbagai sektor termasuk perladangan hutan.
Kawasan-kawasan hutan baharu telah dikenal pasti untuk dijadikan lokasi tanaman semula pokok yang mampu membesar dan sedia untuk ditebang hanya dalam tempoh enam (6) tahun.
Menurut Premier Sarawak, bumi Sarawak amat bertuah kerana beriklim tropika dan mendapat taburan hujan serta cahaya matahari yang cukup memberi kelebihan kepada pokok-pokok untuk tumbuh subur dan membesar dengan cepat.
Daripada aspek pelesenan, Yayasan Sarawak dan Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (PUSAKA) adalah dua (2) buah agensi yang akan mempertimbangkan kumpulan sasar yang layak memegang saham dalam industri pembalakan di negeri ini.
Di bawah tonggak Kelestarian Persekitaran, Jabatan Hutan Sarawak sebagai agensi penguatkuasaan dalam industri perhutanan turut tidak terkecuali dalam memainkan peranannya menjayakan visi berkenaan.
Jabatan berkenaan bersedia untuk mengkaji faktor yang menyebabkan sasaran liputan satu juta hektar kawasan hutan yang ditanam gagal dicapai dan memastikan usaha tersebut akan dijalankan dengan lebih berkesan.
Langkah lebih agresif juga sedang dijalankan dengan menggalakkan penglibatan syarikat-syarikat kecil serta komuniti, iaitu pemilik-pemilik tanah adat (NCR).
Menerusi perladangan hutan secara agresif, Sarawak bakal memiliki rimbunan hutan yang akan dimanfaatkan untuk pertumbuhan ekonomi menjelang 2030.
Data merekodkan sebanyak 63 peratus tanah di Sarawak masih diliputi hutan, namun kualiti hutan menunjukkan penurunan berbanding dengan 50 tahun yang lalu.
Jabatan Hutan Sarawak juga akan sedia memastikan supaya hutan di negeri ini akan memberi manfaat kepada generasi sekarang dan akan datang dalam tempoh 20 tahun.