Bagi yang pertama kali datang ke Pekan Kapit akan mendapati pekan tersebut mengekalkan ciri-ciri tradisi masyarakat Iban seperti ukiran dan corak Iban seperti ukiran pada Kapit Town Square.
Mendalami lebih lanjut, RAKAN Sarawak meninjau dari lokasi ke lokasi pasar di Kapit seperti Tamu Khas Kapit Night Street Market, Pasar Teresang dan Harmony Mall/Walk.
Daripada situ (penjualan barangan), kita sudah membuat penilaian apa yang sentiasa mendapat perhatian pengunjung.
Dari tinjauan yang dibuat, adalah didapati masyarakat Iban di Kapit terus mengekalkan budaya dan tradisi yang dapat disaksikan melalui penjualan seni kraftangan seperti pembuatan “Duku” (Parang) dan “Lunga” (Pisau).
Menurut Jalang Ak Wan, ditemu bual di Kapit Night Street Market, pembuatan dan penghasilan “duku” dan “Lunga” tersebut yang tidak mengambil masa yang lama iaitu di antara tiga (3) hingga lima (5) hari untuk satu-satu pembuatan.
Permintaan tinggi seni kraftangan juga mendorong Puan Asmiaty Binti Rajuni (dengan panggilan mesra Mia) beserta ahli keluarganya menghasilkan beg rotan seperti “Belanyat/Butak” atau “Uyut” yang boleh diperoleh di Pasar Teresang Kapit.
Menurut Puan Mia, “Belanyat” ini merupakan anyaman bakul yang boleh diletakkan di bahagian bahu belakang manakala “Uyut” bakul yang bersaiz kecil.
Selain produk kraftangan tersebut, Puan Asmiaty turut menjual “Tanggi” (digunakan sebagai “topi” perlindungan daripada cuaca panas yang selalu dibawa ketika aktiviti sawah padi atau Kumai), Turut dihasilkan ialah“Seladang” (bakul lebih besar untuk meletak padi dan buah di dalamnya), “Capan” (seperti Tampi) untuk proses ngebau (menampi padi).
Bukan itu sahaja, dia turut menjual perhiasaan seperti “Topi Tunjang” untuk digunakan orang lelaki Iban dalam upacara tertentu.
Rembong ak Utong yang turut menjual “belayat” berkata antara banyak produknya inilah yang sentiasa mendapat permintaan tinggi di kalangan masyarakat luar, mungkin disebabkan saiznya dan warnanya yang banyak pilihan.
Selain anyaman, bahan tradisi untuk makanan seperti penjualan daun “Selukung” seperti yang diterangkan Puan Gelenih, untuk membungkus pulut ataupun ikan bagi tujuan salai yang bahan asasnya menggunakan daun tersebut.
Daun selukung dijual dengan harga RM2 dalam satu ikat yang sentiasa mendapat permintaan tinggi di kalangan penduduk kerana ia adalah bahan asas untuk menghasilkan makanan tradisi masyarakat Iban di Kapit.