- Advertisement -spot_img
4,842
published news
and counting

Penekanan Aspek Kerjasama Dalam Pasukan Berprestasi Tinggi

Must read

Kerajaan Sarawak berhasrat menjadikan Sarawak negeri maju dan terkaya di Malaysia menjelang tahun 2030 dan hasrat tersebut pasti tercapai jika adanya kerjasama daripada semua pihak terutamanya dalam Perkhidmatan Awam Negeri Sarawak (PANS).

Oleh kerana itu juga, Kerajaan Sarawak amat memberi penekanan terhadap “kerja berpasukan” agar para penjawat awam dapat menjadi jentera kerajaan berprestasi tinggi yang boleh melaksanakan agenda pembangunan strategik kerajaan.

Berbicara tentang “pasukan”, ia merujuk kepada sebilangan pekerja yang bekerja dalam satu kumpulan yang sering bekerjasama dan menjalankan tugas secara berganding bahu bagi mencapai matlamat pasukan.

Sebuah pasukan terdiri daripada gabungan individu yang mempunyai kompetensi yang saling bergantung keupayaan, kepakaran, kemahiran dan pengetahuan serta mempunyai akauntabiliti dan komitmen terhadap prestasi pasukan serta bersedia melaksanakan tugasan secara bersama.

Pada masa kini, organisasi kerajaan khasnya di Sarawak semakin berkembang dan sudah pastinya isu-isu yang dihadapi oleh kerajaan juga menjadi begitu kompleks dan memerlukan gabungan tenaga, idea, kemahiran dan pengetahuan secara kolektif untuk menghadapinya.

Melihat situasi inilah, Kerajaan Sarawak terus memberi penekanan terhadap pendekatan Pasukan Berprestasi Tinggi (HPT) yang telah diperkenalkan pada tahun 2010 kerana ia merupakan suatu medium yang telah berjaya menjadi pencetus dan penggerak kepada transformasi negeri Sarawak.

Projek KIK Hybrid mewujudkan lebih banyak jalinan kerjasama antara PBT, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan komuniti setempat

HPT yang terdiri daripada ketua-ketua jabatan dan pengurus eksekutif dalam agensi kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan akan “disatukan” dalam sebuah program yang menjurus kepada aktiviti bersifat kreatif dan inovasi yang memupuk semangat kerja berpasukan.

Pendekatan seperti ini telah dapat membentuk sikap kepimpinan di kalangan ketua-ketua jabatan untuk sentiasa ingin terlibat, berkongsi tanggungjawab bersama, menjadi lebih kreatif, inovatif, efisien, produktif, berfokus kepada penyelesaian masalah dan berfikiran terbuka.

Bukan hanya itu saja, pendekatan HPT ini juga telah menjadi platform terbaik untuk mereka menjana idea dan membentuk sinergi kerja berpasukan bagi memacu transformasi PANS mewujudkan budaya kerja cemerlang.

HPT Retreat memberikan perhatian khusus terhadap fokus baharu PANS

Pendekatan HPT ini telah memberi impak yang sangat besar dan dianggap sebagai sebuah kejayaan di mana ketua-ketua jabatan secara proaktif berbincang kemudian menemui jalan penyelesaian bagi isu-isu utama berkaitan dengan perkhidmatan awam termasuk isu-isu pembangunan negeri seperti pengurusan berorientasikan rakyat, kewangan dan projek.

Pendekatan HPT ini diibaratkan sebagai “medan” untuk melihat semula pencapaian perkhidmatan awam dan bagaimana kerjasama tersebut mampu dipertingkatkan agar selari dengan saranan kepimpinan tertinggi pemimpin negeri dan aspirasi perkhidmatan awam.

Melalui pendekatan ini, peranan pegawai-pegawai tertinggi kerajaan telah dapat diuji sekali gus menghasilkan satu pendekatan yang inovatif dalam menyelesaikan setiap cabaran digalas.

Daripada pendekatan ini, apa yang ingin dicapai ialah, melahirkan pasukan berprestasi tinggi yang mempunyai komitmen tinggi terhadap matlamat, meletakkan sasaran lebih mencabar, menggunakan pendekatan-pendekatan kerja lebih efektif, mempunyai akauntabiliti saksama di antara ahli-ahli pasukan dan keterampilan saling lengkap melengkapi.

Pasukan berprestasi tinggi sedang merancang strategi dan membangunkan pelan tindakan ke arah ekonomi digital

Setiap pasukan yang dibentuk demi untuk mempertingkatkan produktiviti, keperluan bagi fleksibiliti dan keputusan yang lebih cepat, kepelbagaian tenaga kerja, kualiti yang lebih baik dan peningkatan kepuasan pelanggan.

Sesebuah pasukan dikatakan berprestasi tinggi dan berjaya memberikan perkhidmatan yang berkualiti apabila mereka berhasil memberikan kepuasan kepada pelanggan, pekerja, serta pihak lain yang berkepentingan dalam organisasi.

Justeru, pasukan ini harus sentiasa menekankan aspek penambahbaikan yang berterusan dalam perancangan dan pengurusan aktivitinya serta kerap menghasilkan kualiti kerja yang lebih baik.

Selain itu, pasukan ini juga harus lebih sedia membangunkan potensi, mengemaskini kepakaran dan menjadikan kekuatan kognitif serta emosi sebagai penggerak dalam memastikan kecemerlangan dalam memberikan perkhidmatan berkualiti kepada rakyat.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article