- Advertisement -spot_img
4,777
published news
and counting

Anugerah SERASI Pendorong Kejayaan

Must read

SK Dua Sungai, Mukah, antara sekolah yang aktif dalam usaha pemeliharaan alam sekitar telah menjadikan Anugerah SERASI (Sekolah Rakan Alam Sekitar) yang dimenangi sekolah tersebut pada tahun lepas sebagai pendorong kejayaan pencapaian pelajar sekolah itu secara keseluruhannya.

Guru penasihatnya, Puan Zaiton Haji Othman berkata bukan anugerah yang dikejar sekolah beliau, tetapi melihat keselesaan dan keindahan sekolah secara tidak langsung menyokong kepada proses pembelajaran.

Menurut Puan Zaiton, peranan sekolah masih lagi relevan dalam menangani isu-isu alam sekitar di peringkat awal kerana melalui pendidikan sahaja usaha ini boleh dicapai.

Jelasnya lagi pendidikan awal diharap boleh mendisiplinkan pelajar serta mendidik mereka terhadap penjagaan alam sekitar.

Beliau melahirkan kebimbangan sekiranya pelajar gagal dididik dalam suasana persekitaran sekolah yang ada sekarang maka ia kemudiannya akan melahirkan masyarakat yang kurang prihatin kepada penjagaan alam sekitar.

Perkara yang sama turut dikongsi bersama Pegawai Pendidikan Bahagian Mukah, Encik Badawi B. Uni yang berkata SK Dua Sungai sentiasa menjadi contoh terbaik sekolah di luar bandar dalam pemeliharaan alam sekitar.

Kesungguhan SK Dua Sungai tidak terhenti setakat itu malah pada tahun ini sekolah ini turut dicalonkan untuk Anugerah LESTARI (Anugerah baru yang diperkenalkan Jabatan Alam Sekitar, Malaysia) pada tahun ini.

Dalam pertandingan SERASI anjuran Jabatan Alam Sekitar bersempena Minggu Alam Sekitar pada tahun lepas SK Dua Sungai berjaya memenangi kategori sekolah rendah dan telah membawa pulang wang tunai sebanyak RM2,000, trofi dan sijil.

Selain Anugerah SERASI, SK Dua Sungai telah menunjukkan prestasi yang membanggakan dalam pertandingan berkaitan pemeliharaan alam sekitar, antaranya Johan Pertandingan Kebersihan dan Keindahan Persekitaran Sekolah Peringkat Negeri Sarawak (2004), Johan Pertandingan Kelab PALS Terbaik Peringkat Negeri Sarawak (2003), Johan Pertandingan Lanskap Peringkat Daerah Mukah (2002) dan menjadi Naib Johan Pertandingan Lanskap Peringkat Daerah Mukah dua tahun berturut-turut (2002 dan 2001).

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article