- Advertisement -spot_img
4,842
published news
and counting

PABDA Perkasa Mutu Perkhidmatan dan Prasarana Perpustakaan

Must read

Perpustakaan Awam Lembaga Kemajuan Bintulu (PABDA) terus komited dalam usaha memperkasakan mutu perkhidmatan dan prasarana perpustakaan yang kondusif dan memenuhi keperluan pengguna.

Sehubungan itu, Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) memainkan peranan penting untuk menyediakan perkhidmatan perpustakaan untuk komunti di enam (6) buah Perpustakaan Awam iaitu;

  1. Perpustakaan Awam BDA Bintulu
  2. Perpustakaan Awam BDA, Cawangan Kidurong
  3. Perpustakaan Awam BDA, Cawangan Jepak
  4. Perpustakaan Awam BDA, Cawangan Tatau
  5. Perpustakaan Awam BDA, Cawangan Sebauh
  6. Perpustakaan Awam BDA, Cawangan Sg. Plan

Pada tahun 2020, PABDA telah memenangi Anugerah Perpustakaan sebagai Pusat Komuniti lantas memanfaatkan kedudukan ini dengan menjalankan program yang lebih strategik dan berimpak tinggi kepada komuniti Bintulu.

Perpustakaan Awam Bintulu telah berpindah ke bangunan baharu ini pada 29 Mei 2000 dan telah beroperasi sehingga kini

Di atas komitmen tersebut, pada tahun 2022, buat julung kalinya PABDA juga telah menerima Anugerah Perpustakaan Awam Premier Sarawak, dan sudah pastinya penganugerahan tersebut terus menyuntik semangat PABDA untuk meningkatkan serta menambahbaik perkhidmatan perpustakaan.

Hasil temu bual bersama dengan PABDA, RAKAN Sarawak difahamkan bahawa penganugerahan tersebut adalah hasil usaha cemerlang PABDA dalam meningkatkan tahap literasi dalam program pembudayaan amalan membaca serta menyumbang ke arah kemajuan masyarakat.

Sesi temubual bersama pihak Lembaga Kemajuan Bintulu yang berlangsung pada 20 Mac 2023

Untuk makluman, PABDA merupakan perpustakaan awam yang pertama mengorak langkah mengatasi isu penyampaian maklumat dan berita palsu dengan mengeluarkan Garis Panduan Pengurusan dan Pengendalian Media Sosial bagi Seksyen Perpustakaan Awam.

Malah, PABDA juga menjadi antara perpustakaan pertama beroperasi semula dengan bantuan Prosedur Operasi Standard (SOP) Pasca Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan Fasa Peralihan ke Endemik Perpustakaan Awam BDA yang dihasilkan.

Sebagai organisasi yang berdaya saing dan ingin terus mempertingkatkan keupayaan kakitangan, PABDA telah membangunkan satu pelan pembangunan kakitangan yang komprehensif dimana setiap kakitangan mempunyai pelan pembangunan individu berdasarkan pelan pembangunan kompetensi organisasi.

PABDA komited untuk memupuk kesedaran kepentingan budaya membaca seawal peringkat umur dari kanak-kanak sehingga dewasa

Antara kaedah yang digunakan dalam pembangunan kakitangan termasuklah pementoran, bimbingan dan giliran kerja sehingga berjaya mewujudkan kakitangan perpustakaan yang berkeyakinan tinggi dan mampu melakukan tugas-tugas seorang pustakawan seperti pengkatalogan bahan.

Selain itu, PABDA juga terus komited dalam usaha melestarikan masyarakat berilmu dan berkemahiran dengan mengadakan program bersama membangunkan penulis tempatan “Anak Jati Bintulu” yang boleh menghasilkan kandungan tempatan.

PABDA telah memperkenalkan kaedah pengoperasian perkhidmatan perpustakaan secara digital

Antaranya adalah program ‘Santai Bersama Penulis Tempatan’ berkongsi pengetahuan, pengalaman kerjaya sebagai penulis sekali gus menggalakkan lebih ramai generasi muda yang berbakat sebagai penulis di Bintulu pada masa hadapan.

PABDA juga telah merangka beberapa inisiatif penerapan elemen pengurusan dan amalan baik alam sekitar seperti;

  1. Aktiviti Kanak-Kanak “Earth Day” 2015 di Perpustakaan Awam Cawangan Kidurong pada April 2015
  2. Program Kitar Semula iaitu inisiatif menjual surat khabar lama
  3. Menderma majalah lama yang masih releven dibaca kepada sekolah, PERYATIM dan Pusat Jalur Lebar Sg. Plan.

Sehubungan itu, pihak pengurusan BDA telah meluluskan peruntukan mengurus bagi pelaksanaan penganjuran program yang mempromosikan perkhidmatan perpustakaan yang akan memberi manfaat kepada pengguna perpustakaan.

Terdapat beberapa projek pembangunan perpustakaan telah diluluskan oleh pihak pengurusan bagi memantapkan perkhidmatan perpustakaan, antaranya ialah projek naik taraf kemudahan dan peralatan auditorium PABDA.

Untuk tujuan tersebut, peruntukan telah diluluskan dan akan dilaksanakan pada tahun 2023 dan projek ini dijangka akan memberi manfaat kepada pengguna kemudahan dan perkhidmatan yang terkini memenuhi keperluan pengguna.

Projek seterusnya yang akan dilaksanakan dalam tahun ini (2023) ialah, baik pulih struktur lantai dan parit di Perpustakaan Cawangan Kidurong.

Dalam usaha mentransformasikan perkhidmatan perpustakaan, PABDA telah melakukan penambahbaikan program pembangunan koleksi perpustakaan, program pendigitalan perkhidmatan perpustakaan dan naik taraf kemudahan perkhidmatan perpustakaan.

Setakat ini, PABDA masih mengekalkan kaedah pengoperasian perpustakaan secara konvensional selain turut memperkenalkan kaedah pengoperasian secara digital.

Antara koleksi bahan bacaan

Antara kaedah pengoperasian perpustakaan secara konvensional termasuklah;

  1. Perkhidmatan peminjaman dan pemulangan buku secara manual di PABDA cawangan Tatau, Sebauh, Jepak, Kidurong dan Sg. Plan;
  2. Kaedah pendaftaran keahlian secara manual; dan
  3. Kaedah pembayaran kadar caj perkhidmatan perpustakaan secara manual di kaunter

Manakala, antara kaedah pengoperasian perpustakaan secara digital ialah;

  1. Penggunaan Sistem Automasi Perpustakaan ANGKASA dalam pengoperasian perkhidmatan perpustakaan melibatkan modul OPAC (Online Public Access Catalog); Modul Cataloging, Circulation, Stockcheck, Member Management dan Modul Acquisition.
  2. Penggunaan perkhidmatan layan diri di “Kiosk Self-Check” untuk peminjaman buku
  3. Penggunaan media sosial seperti Facebook (FB), Instagram (IG), dan YouTube channel untuk mempromosikan perkhidmatan perpustakaan.
  4. Penyediaan e-borang untuk mendapatkan maklum balas pengguna buku yang dikehendaki untuk koleksi baharu perpustakaan
  5. Perkhidmatan pencarian buku BLOC (Projek Kumpulan Kreatif dan Inovasi)
  6. Aktiviti berasaskan maya seperti program “Santai Bersama Penulis Tempatan Tay Marzuki” menggunakan platform Zoom Meeting dan Pertandingan Bercerita secara maya.

PABDA turut menerapkan beberapa elemen baharu dalam menjadikan perpustakaan sebagai sumber utama rujukan maklumat dan pengembangan ilmu dalam kalangan masyarakat.

Suasana yang kondusif di PABDA

Elemen pertama ialah Pusat Pembelajaran Sepanjang Hayat di mana perpustakaan berfungsi sebagai tempat pembelajaran komuniti bermula daripada seawal usia dan sepanjang hayat.

Kedua ialah Warisan Sejarah Tempatan iaitu inisiatif menjadikan perpustakaan untuk menyimpan, memelihara dan memulihara apa sahaja bahan dan warisan sejarah tempatan.

Bahan-bahan bersejarah ini akan dijaga dengan sebaik-baiknya supaya komuniti setempat terutamanya generasi baharu akan sentiasa mengetahui asal usul mereka.

Ketiga ialah Pembangunan Kemahiran Digital di mana dengan adanya segala kemudahan ICT dengan perkakasan dan perisian yang lengkap, perpustakaan akan menjadi tumpuan komuniti setempat untuk mempelajari ilmu kemahiran digital selaras dengan perkembangan semasa bidang ICT.

Keempat ialah berkaitan ekonomi di mana perpustakaan dilihat mampu membantu meningkatkan taraf hidup komuniti setempat dengan memberi bimbingan dan tunjuk ajar kepada komuniti tentang kaedah yang sesuai untuk menjual produk makanan atau barangan mereka.

Kelima ialah elemen Kreatif dan Kesenian di mana inisiatif ini adalah untuk menggalakkan pergiat industri seni dan kreatif seperti pelukis, penulis tulisan kreatif dan reka cipta yang memberi fokus kepada pembangunan komuniti berilmu dan berkemahiran.

Statistik koleksi baharu PABDA dari tahun 2018 – 2022
Peratusan tahap kepuasan pelanggan terhadap perkhidmatan PABDA pada tahun 2022
Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article