Ketika merasmikan Majlis Konvokesyen Ke-30 Politeknik Kuching Sarawak (PKS) pada September 2022, Premier Sarawak, YAB Datuk Patinggi Tan Sri (Dr.) Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Haji Openg menyatakan hasrat Kerajaan Sarawak untuk memberi biasiswa kepada graduan yang cemerlang dalam bidang TVET.
Biasiswa tersebut akan disalurkan melalui Yayasan Sarawak bagi membolehkan pelajar yang layak untuk meneruskan pengajian dalam bidang TVET ke peringkat yang lebih tinggi.
Sejak tahun 1971 sehingga kini, Yayasan Sarawak telah menawarkan biasiswa termasuk bantuan pendidikan kepada lebih 150,000 orang pelajar tempatan.
Biasiswa yang ditawarkan adalah berbentuk intensif, hadiah galakan, bantuan awal pendidikan serta tabung pusingan.
Jelas Premier Sarawak, tawaran biasiswa TVET adalah salah satu inisiatif kerajaan dalam melahir dan meningkatkan tenaga kerja mahir selari dengan matlamat Sarawak mencapai negeri maju menjelang 2030.
Sebelum itu, tahukah anda apa itu TVET dan apakah kelebihan menceburi bidang tersebut?
TVET adalah singkatan bagi Technical and Vocational Education Training dan dalam Bahasa Malaysia ialah Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional.
TVET adalah proses pendidikan dan latihan yang mempunyai hala tuju pekerjaan dengan penekanan utama terhadap amalan industri yang bertujuan untuk menghasilkan tenaga kerja yang kompeten dalam bidang-bidang tertentu.
Skop TVET perlu berdasarkan pada Standard Pekerjaan atau lazimnya Standard Kemahiran Pekerjaan Kemahiran (NOSS) yang diiktiraf dan menekankan pada komponen praktikal, kemahiran psikomotor dan pendedahan kepada latihan dalam industri.
Menurut TVET Malaysia, pendidikan dalam bidang TVET sering disalah erti sebagai pilihan kedua dan hanya layak untuk individu yang kurang cemerlang dalam pencapaian akademik.
Untuk pengetahuan anda, stigma tersebut sebenarnya sudah lapuk kerana graduan TVET kini semakin mendapat perhatian oleh para majikan.
Pada 2017, TVET di Malaysia telah diberi nafas baharu dengan penjenamaan semula untuk mengubah tanggapan dan persepsi negatif terhadap bidang latihan dan kemahiran teknikal, terutama dalam kalangan ibu bapa.
Oleh kerana segolongan besar masyarakat lebih menekankan pada bidang akademik sejak dari dulu lagi, maka stigma tersebut sudah menjadi kebiasaan.
Secara umumnya, TVET menawarkan dua (2) aliran, iaitu di peringkat sijil dan diploma yang diiktiraf oleh Malaysian Quality Accreditation (MQA), Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK).
Lepasan SPM yang lulus berpeluang melanjutkan pelajaran sama ada di peringkat sijil ataupun diploma dalam program TVET yang berkemahiran tinggi.
Antara institusi di Malaysia yang menawarkan aliran TVET adalah seperti Politeknik, Kolej Komuniti, Kolej Vokasional, Institut Kemahiran MARA (IKM), Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC) dan Institut Latihan Perindustrian (ILP).
Di Sarawak, institusi latihan milik Kerajaan Sarawak seperti Pusat Pembangunan Kemahiran Sarawak (PPKS) atau kini dikenali Sarawak Skills dan Pusat Kecemerlangan Teknikal Sarawak (CENTEXS) dilihat semakin menarik minat golongan belia yang ingin menceburi TVET.
Selain itu, Swinburne University of Technology Kampus Sarawak dan Universiti Teknologi Sarawak (UTS) di Sibu juga merupakan kolej latihan di bawah biayaan Kerajaan Sarawak yang menawarkan pendidikan TVET di peringkat yang lebih tinggi.
Bagi pelajar yang lebih gemar kepada hands-on, lepasan PT3 ataupun tanpa SPM juga boleh belajar kursus kemahiran di pusat latihan kemahiran (PLK) awam mahupun swasta yang menawarkan Sijl Kemahiran Malaysia (SKM).
Pekerja atau bakal pekerja yang ingin meningkatkan kemahiran (upskilling) ataupun ingin mendapat latihan semula (reskilling) juga boleh menyertai latihan TVET melalui Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN) sebagai perantis.
Bagi pekerja mahir yang sudah mempunyai pengalaman dalam bidang tertentu, mereka juga boleh memohon pensijilan TVET@Sijil Kemahiran Malaysia/Diploma Kemahiran Malaysia atau Diploma Lanjutan Kemahiran Malaysia/Penyata Pencapaian melalui kaedah Pengiktirafan Pencapaian Terdahulu (PPT).
Mungkin juga anda tertanya-tanya adakah anda layak menyertai TVET. Berikut adalah beberapa syarat dan kelayakan kemasukan TVET:
- Warganegara Malaysia. Individu bukan warganegara juga boleh berdaftar di Pusat Bertauliah Antarabangsa (program dan pusat yang ditauliahkan amat terhad);
- Sihat tubuh badan, tiada sebarang kecacatan atau kecederaan atau sejarah penyakit atau penyakit-penyakit yang menghadkan, membataskan dan menyukarkan pelaksanaan kerja praktikal dan amali sepanjang kursus;
- Tidak rabun warna atau buta warna;
- Memiliki kemahiran asas membaca, mengira dan menulis;
- Bebas daripada masalah mental; dan
- Berminat dengan program dipohon.
Sekarang anda sudah tahu syarat dan kelayakan kemasukan TVET. Namun, apakah kelebihan TVET dan adakah bidang ini menjamin masa depan?
Kelebihan TVET ada pada kemampuan graduan menguasai pengetahuan dan kemahiran praktikal dengan lebih baik berbanding dengan lulusan program akademik.
Lulusan TVET dapat meningkatkan kemahiran diri hasil daripada pendedahan yang lebih dekat kepada keupayaan sesuatu produk melalui eksperimen dan uji kaji.
Seronok bukan? Latihan sedemikian sememangnya lebih menarik jika dibandingkan dengan laluan akademik sekiranya anda lebih suka menjalani pembelajaran secara hands-on.
Hari ini, peluang kerja dalam bidang TVET agak tinggi jika dibandingkan dengan bidang akademik, malah gaji yang ditawarkan juga lebih lumayan.
Sebagai contoh, kemahiran TVET dalam bidang tertentu seperti kimpalan di dasar laut (underwater welding) menawarkan gaji yang agak lumayan.
Di negara kita, beberapa program TVET mengikut bidang pekerjaan yang paling popular adalah seperti di bawah:
- Pemasangan dan Penyelenggaraan Elektrik – Satu & Tiga Fasa
- Penyediaan dan Pembuatan Makanan (Kulinari)
- Perkhidmatan pembaikan & servis diagnostik – kenderaan ringan
- Pembuatan roti/pastry
- Perkhidmatan terapi kecantikan/estetik
- Aplikasi rekabentuk grafik (digital)/rekaan grafik
- Pengasuhan dan Pendidikan Awal Kanak-Kanak
- Pentadbiran Sistem/Rangkaian Komputer
- Pembuatan Pakaian Wanita
- Pegawai Latihan Vokasional (VTO)
Dari segi jaminan masa depan, banyak peluang pekerjaan di samping gaji yang lumayan dalam bidang TVET yang boleh direbut.
Berdasarkan kajian dan pengesanan TVET Malaysia, kebolehpasaran graduan kemahiran adalah lebih tinggi berbanding dengan graduan universiti peringkat diploma, ijazah, masters dan PhD.
Pengarah PKS, Hikmatullah Ahmad Khan memaklumkan, kebolehpasaran graduan PKS adalah melebihi 96 peratus.
Peratusan yang tinggi tersebut menunjukkan bahawa graduan PKS sentiasa mendapat tempat dalam pasaran pekerjaan semasa.
Memandangkan Sarawak, khususnya dan Malaysia, amnya sedang pesat membangun, graduan TVET mempunyai peluang yang menguntungkan kerana negeri dan negara memerlukan ramai tenaga mahir dalam bidang industri.
Sarawak misalnya, sedang mengorak langkah ke arah status maju menjelang tahun 2030.
Oleh yang demikian, Kerajaan Sarawak melancarkan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030 untuk mencapai matlamat tersebut.
Struktur ekonomi Sarawak akan beralih ke arah sumbangan yang lebih besar daripada sektor perkhidmatan dan aktiviti nilai tambah yang lebih tinggi sebagai negeri maju.
Peralihan dan peningkatan ekonomi tersebut akan meningkatkan pelaburan dan permintaan untuk tenaga kerja mahir.
Sehubungan dengan itu, pekerjaan berpendapatan tinggi akan diwujudkan, seterusnya dapat meningkatkan pendapatan isi rumah di Sarawak.
Menjelang 2030, Kerajaan Sarawak menjangkakan ekonomi negeri pada masa itu akan menyokong 190,000 pekerjaan tambahan dan seramai 1.5 juta orang dijangka mendapat pekerjaan pada 2030 berbanding dengan 1.3 juta orang pada 2019.
Peningkatan itu akan disokong oleh inisiatif dan aktiviti ekonomi yang berterusan. Pendapatan isi rumah median juga dijangka meningkat sebanyak 231% daripada RM4,544 pada 2019 kepada RM15,047 pada 2030.
Di bawah PCDS 2030, salah satu strategi bagi menangani jurang perbezaan dari segi pendapatan di antara kawasan bandar dengan luar bandar adalah dengan meningkatkan akses kepada keperluan pendidikan dan modal insan.
Untuk menjayakan strategi tersebut, Kerajaan Sarawak mengambil inisiatif untuk menangani perbezaan dalam pendidikan berkualiti melalui usaha seperti menaik taraf sekolah dan menawarkan biasiswa untuk TVET.
Selain itu, program peningkatan kemahiran untuk membangunkan bakat digital juga akan dilaksanakan.
Sekarang, anda mungkin sudah nampak kelebihan dan gambaran masa depan peluang kerjaya dalam TVET ditambah pula dengan tawaran biasiswa daripada Kerajaan Sarawak kepada pelajar TVET yang cemerlang.
Jadi, apa yang anda tunggu lagi? Rebutlah peluang ini dengan mengikuti program-program TVET yang ditawarkan oleh pelbagai institusi latihan kemahiran yang ada di Sarawak dan di seluruh negara.