Sejumlah 226 projek pembangunan kini sedang dalam fasa pelaksanaan di Bahagian Limbang dengan sebahagian besarnya melalui pembiayaan alternatif.
Berdasarkan statistik 30 April 2023, daripada 226 projek tersebut yang turut termasuk projek Rancangan Malaysia ke 12 (RMKe-12) dan Projek Rakyat, 57 buah projek telah siap, 82 projek (masih dalam beberapa peringkat pelaksanaan manakala 81 peratus projek masih di bawah perancangan.
Perkara ini diumumkan Premier Sarawak, YAB Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Haji Openg sejurus selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Koordinasi Pembangunan Sarawak (SDDCM) Bil 3/2023 dan Taklimat Projek Pembangunan di bawah Regional Corridor Development Authority (RECODA)
Memperincikan lagi kenyataan beliau, untuk Projek Rakyat sahaja Kerajaan Sarawak telah memperuntukkan RM440.7 juta untuk Bahagian Limbang.
Beliau turut menyatakan daripada 226 projek tersebut, RECODA mempunyai 114 projek di bawah agensi tersebut, 48 projek di bawah Kementerian Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan manakala 12 projek di bawah Kementerian Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak.
Mesyuarat tersebut jelas Premier Sarawak diadakan bertujuan untuk membincangkan prestasi pelaksanaan projek khasnya di bahagian Limbang, selain merancang pembangunan masa depan Bahagian Limbang agar sejajar dengan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.
Antara agensi yang menyampaikan pembentangan kepada Premier Sarawak ialah Kementerian Pengangkutan Malaysia, Unit Pemantauan Pelaksanaan Sarawak (SIMU), Lembaga Pembangunan Koridor Wilayah (RECODA), Kementerian Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan (MIPD), Kementerian Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (MPHLG), Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi (MUT) serta Kementerian Sumber Asli dan Pembangunan Bandar (MUDeNR).
Pada sebelah petang Sabtu, Premier Sarawak telah melawat ke beberapa tapak projek pembangunan termasuk Jambatan Baharu Bandar Lawas, Pusat Pentadbiran Bersepadu Lawas serta Hospital Lawas.