Pelancaran Rakan Cop
baru-baru ini telah memperlihatkan sejauhmana kesanggupan penglibatan rakyat untuk bersama-sama pihak
polis membanteras jenayah.
Mungkin sudah tiba
masanya, masyarakat harus memainkan peranan lebih aktif dan melalui Rakan Cop,
dengan menyalurkan aduan, maklumat sama ada menghantar sms atau membuat
panggilan ke hotline IPK (Ibu Pejabat Kontijen) Sarawak
Perkara ini
disuarakan oleh YB Datuk Hj Awang Tengah Ali Hassan sewaktu perasmian Rakan Cop
Polis Sarawak Peringkat Bahagian Kuching pada 21 Mac 2006 yang lepas
Menurut beliau,
masyarakat setempat lebih memahami situasi yang berlaku di sekeliling mereka
dengan kebanyakan jenayah juga datang di kalangan masyarakat di sekeliling.
“Masyarakat tidak
boleh mengambil sikap “lepas tangan” dengan meletakkan sepenuhnya tanggungjawab
tersebut di bahu polis tetapi sebaliknya membantu pihak polis” , jelas beliau .
Mengambil situasi di
Bandaraya Kuching, jelas beliau nisbah untuk seorang anggota polis setakat ini
1 : 569 orang yang pastinya memerlukan masyarakat bekerjasama rapat membantu
pihak polis.
Kerajaan jelas beliau telah
memperuntukkan hampir 3 bilion iaitu 10.6 % pada tahun ini sahaja kepada sektor
keselamatan daripada 23.8 bilion pembangunan keseluruhan yang dilaksanakan bagi
meningkatkan tahap keselamatan di negara ini.
Katanya
sokongan masyarakat penting kerana negara masih kekurangan bilangan anggota
polis.
Di Sarawak, dengan keadaan
bentuk geografi yang luas, penggunaan kaedah ini dilihat mampu membantu pihak
Polis Sarawak menyelesaikan kes-kes. Ini pastinya dapat menyokong kekuatan
bilangan anggota polis yang ketika ini hanya berjumlah 6291 orang.
Melalui Rakan Cop, kesan positif yang lahir ialah semangat
kebertanggungjawaban dapat dipupuk, selain mewujudkan kesedaran sivik
masyarakat serta jaringan kerjasama di antara pihak polis dan orang ramai.
Jelasnya Kerajaan negeri tetap
terus menyokong segala program yang melibatkan masyarakat seperti Kempen Say No
To Crime yang pernah dilancarkan sebelum ini disamping sokongan kepada remaja
sekolah menyertai pasukan beruniform seperti Kadet Polis.