Pada Januari 2023, Menteri Sumber Manusia, YB V. Sivakumar mengemukakan cadangan tersebut berdasarkan pada kecelaruan yang berlaku dalam pelaksanaan TVET di negara yang berpunca daripada kewujudan pelbagai pensijilan untuk bidang berkenaan.
Menurut beliau, SPKM yang berasaskan Standard Kemahiran Pekerjaan Kebangsaan (NOSS) di bawah kawal selia Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) wajar untuk ditetapkan sebagai pensijilan tunggal TVET negara untuk semua program TVET tahap 1 hingga tahap 5 dalam Kerangka Kelayakan Malaysia (MQF).
Mengulas lanjut, beliau turut menyarankan Jabatan Tenaga Manusia (JTM) sebagai penyedia TVET perlu menilai semula kursus-kursus yang ditawarkan agar menepati keperluan semasa industri.
Langkah tersebut perlu diambil bagi mengelakkan sindrom ketidakpadanan atau ‘mismatch’ dalam mengisi keperluan kemahiran dalam industri.
Pada masa yang sama, kursus-kursus yang ditawarkan juga perlu ditambah baik dengan elemen-elemen yang menepati keperluan semasa seperti digitalisasi, automasi dan lain-lain yang selari dengan Revolusi 4.0 (4IR).
Selaras dengan keputusan Mesyuarat Jemaah Menteri pada 7 Disember 2022 untuk memindahkan fungsi Sekretariat Majlis TVET Negara (MTVET) kepada Kementerian Sumber Manusia (KSM), pihak kementerian kini giat menggerakkan kerja yang lebih komprehensif dalam memastikan agenda memartabat dan memperkasa TVET dapat dilaksanakan.
Usaha tersebut juga bertujuan untuk merubah persepsi umum bahawa TVET bukan lagi bidang pilihan kedua ataupun pilihan alternatif.
Sehubungan dengan itu, kementerian perlu menilai pendekatan dan keberkesanan pelaksanaan Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN) sebagai pendekatan cepat menang dalam melahirkan pekerja-pekerja tempatan yang berkemahiran.
Secara asasnya, JPK adalah badan pentauliahan dan pensijilan kemahiran di KSM yang meneraju pembangunan sumber manusia mahir negara selaras dengan keperluan industri melalui program TVET yang ditawarkan berdasarkan pada Standard Kemahiran Pekerjaan Kebangsaan (SKPK).
Antara peranan utama JPK adalah melaksanakan pentauliahan program Latihan Kemahiran yang ditawarkan oleh penyedia TVET di Malaysia melalui Sistem Latihan Program Bertauliah (SLaPB).
Sehingga kini, sebanyak lebih 1,200 Pusat Bertauliah (PB) awam dan swasta melaksanakan program kemahiran di bawah jabatan tersebut.
Pensijilan Kemahiran Malaysia merupakan salah satu fungsi utama JPK yang menawarkan lima (5) tahap pensijilan, iaitu Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 1, SKM Tahap 2, SKM Tahap 3, Dilpoma Kemahiran Malaysia (DKM) Tahap 4 dan Diploma Lanjutan Kemahiran Malaysia (DLKM) Tahap 5.
Pensijilan Kemahiran Malaysia boleh didapati melalui tiga (3) kaedah berikut:
- Melalui Latihan di Institusi yang Diiktiraf (SLaPB) – Kaedah melalui program latihan kemahiran di pusat-pusat bertauliah JPK bagi bidang dan tahap kemahiran yang tertentu dan telah ditauliahkan.
- Melalui Latihan Berorientasikan Industri (SLDN) – Kaedah latihan perantisan dalam Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN) yang dijalankan di industri dan institusi latihan kemahiran.
- Melalui Pentauliahan Pencapaian Terdahulu (PPT) – Kaedah mendapatkan Pensijilan Kemahiran Malaysia melalui pengalaman lalu (kerja atau latihan). Calon dikehendaki mengemukakan bukti-bukti keterampilan yang telah dimiliki untuk dinilai oleh Pegawai Penilai dan disahkan oleh Pegawai Pengesah Luaran yang dilantik oleh JPK.
Berkuat kuasa pada tahun 2021, JPK telah bekerjasama dengan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dengan mengeluarkan Kod Amalan Pentauliahan Program TVET (COPTPA) selari dengan hasrat kerajaan menyatu padukan sistem jaminan kualiti tunggal program TVET negara.
Kod amalan berkenaan menjadi rujukan utama penyedia TVET dalam melaksanakan program kemahiran teknikal dan vokasional yang lebih kompetitif dan mengamalkan amalan terbaik dalam pengendalian program latihan.