- Advertisement -spot_img
4,842
published news
and counting

Membangunkan Bakat Untuk Keperluan Industri Teknologi Tinggi

Must read

Sarawak berhasrat untuk melahirkan seramai kira-kira 500 jurutera pereka dalam bidang semikonduktor dan reka bentuk cip bagi memenuhi keperluan dalam industri teknologi tinggi.

Usaha tersebut akan membolehkan negeri ini menyertai industri teknologi tinggi, khususnya dalam sektor reka bentuk litar bersepadu atau IC (Integrated Circuit).

Sehubungan dengan itu, perjanjian persefahaman (MoU) ‘Transformasi Ekonomi Digital Sarawak: Pembangunan Bakat Dalam Semikonduktor dan Reka Cipta’ telah dimeterai pada 14 Jun 2023 di antara Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak (MEITD) melalui Sarawak Microelectronics Design (SMD) Semiconductor Sdn Bhd dengan Pusat Kecemerlangan Teknikal Sarawak (CENTEXS), Melexis dari Belgium, X-Fab (Sarawak) dari Jerman dan Synopsys and Cadence dari Silicon Valley, Amerika Syarikat.

MoU pembangunan bakat dalam semikonduktor dan reka cipta di antara MEITD melalui SMD Semikonduktor bersama rakan industri dilihat sebagai satu pencapaian baharu Sarawak dalam membangunkan bakat tempatan dalam bidang teknologi tinggi

Menurut Premier Sarawak, YAB Datuk Patinggi Tan Sri (Dr.) Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Haji Openg, MoU berkenaan merupakan satu pencapaian baharu Sarawak dalam membangunkan bakat tempatan dalam bidang teknologi tinggi.

Kerjasama tersebut juga menandakan titik permulaan untuk menjadikan Sarawak sebagai salah satu hab reka bentuk IC terkemuka di rantau ini yang juga bertujuan untuk membangunkan modal insan serta memupuk bakat tempatan dalam bidang semikonduktor dan reka bentuk cip.

Premier Sarawak menjelaskan, reka bentuk cip baharu kini diperlukan dan sangat penting selari dengan transformasi berterusan dalam industri automotif daripada bahan api fosil kepada kenderaan elektrik (EV) termasuk kenderaan hidrogen.

Beliau percaya bahawa cip baharu juga akan diperlukan dalam sektor lain seperti maritim dan kesihatan berikutan peralihan ke arah tenaga hijau dan boleh diperbaharui.

Oleh yang demikian, Sarawak perlu menyediakan satu ekosistem yang komprehensif dengan membangunkan modal insan dan bakat tempatan dengan pengetahuan dan kemahiran yang betul untuk memenuhi ekonomi baharu menerusi produk yang dihasilkan daripada teknologi hijau dan boleh diperbaharui.

Dalam hal ini, kesemua inisiatif yang dilaksanakan adalah sejajar dengan objektif strategik Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030 dalam usaha Sarawak meningkatkan lagi pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi sektor pembuatan melalui pembangunan modal insan yang akan menyumbang kepada ekonomi negeri ini menjelang tahun 2030.

Menerusi kenyataan media, pihak SMD Semiconductor memaklumkan bahawa MEITD akan melancarkan program ‘Sarawak Digital Economy Transformation: Talent Development in Semiconductors & Chip Design’ dengan projek perintis pertama ‘Train-the Trainers’ yang dijadualkan pada September tahun ini.

Program tersebut dijalankan bertujuan untuk melatih 44 graduan dalam reka bentuk IC setiap tahun, 44 graduan dalam program fabrikasi wafer, 10 graduan dalam ujian wafer diikuti dengan pemilihan lima (5) orang calon untuk program ke peringkat ijazah sarjana atau PhD.

MEITD turut menyasarkan untuk mengambil seramai 220 graduan reka bentuk IC, 220 graduan fabrikasi wafer dan 50 jurutera ujian wafer dalam tempoh lima (5) tahun termasuk menyasarkan 10 graduan sarjana atau PhD dalam kerjaya kejuruteraan dalam bidang Reka Bentuk IC.

Untuk tujuan tersebut, empat (4) kursus akan ditawarkan, iaitu IC Design, IC Layout, Wafer Testing dan Wafer Fabrication.

Para graduan yang mengikuti kursus dijamin dan dijangka berpeluang untuk mengisi kekosongan tenaga kerja bernilai tinggi dalam semikonduktor dan reka bentuk IC.

Mengulas mengenai perkara tersebut, Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, YB Datuk Roland Sagah Wee Inn menyatakan keyakinan bahawa program berkenaan merupakan pemboleh ubah yang akan meletakkan asas bagi Sarawak untuk beranjak ke fasa kedua PCDS 2030.

Beliau percaya bahawa inisiatif tersebut akan menjadikan Sarawak sebagai sebuah destinasi pelaburan utama dalam semikonduktor dan sebagai ‘solution provider’ di dunia.

Tambah beliau, Sarawak mengalu-alukan pemain industri dari luar negara untuk mengembangkan perniagaan mereka di negeri ini berdasarkan pada peluang ekonomi serta impak positif terhadap bidang penyelidikan dan pembangunan (R&D), inovasi dan bakat.

Lebih daripada itu, pembangunan bakat berkemahiran tinggi melalui kerjasama dengan institusi pendidikan yang mantap adalah penting bagi memastikan pelajar dan graduan dibimbing dan didorong oleh permintaan dan keperluan industri.

Menurut beliau, semikonduktor adalah antara enam (6) sektor pembuatan yang digariskan di dalam Pelan Induk Pembangunan Bakat Sarawak yang juga akan berperanan dalam menyediakan 200,000 daripada 1.5 juta peluang pekerjaan yang lumayan menjelang tahun 2030 seperti yang dinyatakan dalam PCDS 2030.

Ketua Pegawai Eksekutif SMD Semiconductor, Shariman bin Jamil memaklumkan, usaha yang dijalankan oleh pihak beliau bersama rakan kongsi dalam industri bakal menyediakan tenaga kerja yang berpengalaman serta memastikan bekalan bakat yang berkualiti dari universiti.

Di bawah sokongan MEITD, oleh sebab itulah SMD Semiconductor dan rakan kongsinya terlibat secara aktif dengan universiti dan institusi latihan tempatan bagi membangunkan silibus dan kandungan latihan yang kalis industri.

Para pelajar juga didedahkan dengan alatan dan perisian Automasi Reka Bentuk Elektronik (EDA) yang betul di universiti untuk memastikan mereka bersedia dan pantas apabila memasuki industri, jelas beliau.

Sarawak menyasar untuk melahirkan kira-kira 500 jurutera pereka dalam bidang semikonduktor dan reka bentuk cip bagi memenuhi keperluan dalam industri teknologi tinggi selari dengan matlamat PCDS 2030

  • Selama beberapa dekad, semikonduktor telah menjadi tulang belakang kemajuan teknologi dalam setiap inovasi seperti internet kebendaan (IoT), komputer, tablet, kenderaan autonomi, dron, robotik, perubatan, pusat data, pengeluaran perindustrian, pembuatan aditif dan telefon pintar.
  • Semikonduktor berfungsi seperti otak yang menggerakkan banyak peranti digital yang digunakan hari ini.
  • Secara ringkasnya, semikonduktor berfungsi sebagai penterjemah di antara dunia fizikal dan dunia digital dan tanpa semikonduktor, banyak aplikasi dan produk tidak akan berfungsi.

Rujukan:

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article