- Advertisement -spot_img
4,777
published news
and counting

Usaha Bersepadu Penting Dalam Memerangi Jenayah Kewangan di Sarawak

Must read

Menangani jenayah kewangan adalah usaha yang semakin getir dan mencabar apatah lagi kepesatan teknologi menjadikan jenayah kewangan semakin berkompleksiti tinggi.

Saban hari, kita mendengar kes dana haram semakin mudah disalurkan serta mengalir ke luar negara dalam masa singkat.

Kerana itu, pendekatan penguatkuasaan dan pencegahan secara bersepadu melalui whole of Government atau nations approach perlu diperkukuhkan malah, dimensi kerjasama dan kolaborasi perlu dilaksanakan dengan lebih telus dan terbuka.

Dalam usaha menangani jenayah kewangan di negeri ini, Kerajaan Sarawak terus komited untuk terlibat aktif dan proaktif melaksanakan inisiatif pencegahan yang lebih berkesan demi menjaga kepentingan rakyat Sarawak.

Pendekatan yang serupa telah dilaksanakan di Bank Negara Malaysia Kuching dengan mewujudkan satu platform komunikasi khusus sejak 2019 melibatkan agensi pentadbiran dan penguatkuasaan di Sarawak, khususnya dalam memerangi jenayah penipuan atau ‘scam’.

Pada tahun 2021, agensi-agensi pentadbiran dan penguatkuasa negeri juga telah bersama-sama merealisasikan Virtual Sarawak Financial Awareness Campaign (ViSFA).

Program tersebut telah menarik seramai 7,340 penyertaan di mana agensi-agensi penguatkuasaan dikumpulkan di bawah satu bumbung untuk meningkatkan kesedaran awam berkenaan jenayah ‘scam’.

Selain itu, sesi latihan dan perkongsian pengetahuan turut diadakan bagi agensi penguatkuasaan untuk mempertingkatkan keupayaan agensi khususnya berkenaan pasaran modal dan aset digital.

Dalam pada itu, Kerajaan Sarawak akan terus memberi kerjasama penuh dalam usaha penguatkuasaan bersepadu dengan semua agensi penguatkuasaan yang terlibat.

Premier Sarawak hadir untuk merasmikan Seminar Kolaborasi Dan Pencegahan Jenayah Kewangan di Kuching pada 14 Jun 2023

Ini termasuklah melalui perkongsian maklumat yang diperlukan untuk proses analisis dan siasatan terhadap kes-kes jenayah kewangan yang berimpak tinggi.

Kerajaan yakin bahawa Sarawak boleh mencapai kesan yang lebih baik ke atas operasi jenayah kewangan melalui tindakan penguatkuasaan dan pencegahan secara bersepadu berbanding dengan tindakan penguatkuasaan oleh satu agensi atau secara silo.

Agensi terlibat juga perlu menimbang perubahan perundangan yang perlu dibuat agar tindakan undang-undang dan penalti yang setimpal boleh dikenakan terhadap kesalahan jenayah kewangan yang serius di Sarawak.

Selain daripada komitmen Kerajaan Sarawak ini, agensi-agensi penguatkuasaan yang terlibat termasuk penglibatan Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional wajar untuk terus memberi fokus terhadap agenda menangani jenayah kewangan di Sarawak.

Perkara ini ditekankan oleh Premier Sarawak, YAB Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari Bin Tun Datuk Abang Haji Openg semasa berucap pada majlis perasmian Seminar Kolaborasi Dan Pencegahan Jenayah Kewangan di Kuching pada 14 Jun 2023.

Premier Sarawak menyampaikan amanat sempena Majlis Perasmian Seminar Kolaborasi dan Pencegahan Jenayah Kewangan

Seminar tersebut merupakan anjuran bersama Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC) dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM), Bank Negara Malaysia (BNM) Kerajaan Sarawak.

Premier Sarawak menyatakan bahawa jenayah kewangan merupakan isu sejagat di mana semua negara tanpa kecuali berhadapan dengan permasalahan yang serius ini.

Di peringkat global, jenayah kewangan menjadi perhatian serius oleh institusi antarabangsa seperti United Nations, United Nations Office on Drugs and Crime, Globe Network dan banyak lagi.

Di Negara kita pula, jenayah kewangan turut menjadi fokus serius untuk diperangi dan dibanteras, misalnya penubuhan NFCC yang merupakan suatu manifestasi kerajaan ke arah usaha tersebut.

Infografik menunjukkan lima (5) jenis jenayah berisiko tinggi di Malaysia

Menurut laporan Penilaian Risiko Negara mengenai Pengubahan Wang Haram dan Pembiayaan Keganasan 2020, National Risk Assesment on Money Laundering and Terrorism Financing 2020 (NRA) telah mengenal pasti kedudukan lima (5) jenis jenayah berisiko tinggi, iaitu;

  1. Penipuan (fraud)
  2. Rasuah
  3. Penyeludupan
  4. Jenayah narkotik
  5. Jenayah terancang
Infografik menunjukkan statistik kes jenayah komersial di Malaysia pada 2021 dan 2022

Beliau merujuk kepada statistik PDRM di mana ia menunjukkan kes jenayah komersial pada tahun 2022 adalah sebanyak 30,536 kes membabitkan kerugian sebanyak RM1.73 bilion berbanding 31,490 kes pada tahun 2021 dengan jumlah kerugian sebanyak RM2.20 bilion.

Walaupun berlaku penurunan kes, jumlah tangkapan pada tahun 2022 meningkat kepada 20,252 tangkapan, berbanding 16,778 tangkapan pada tahun 2021.

Kes jenayah penipuan dalam talian merupakan komponen terbesar bagi keseluruhan jenayah komersial dengan 65.6% bagi tahun 2022 dan 65.7% bagi tahun 2021 dengan jumlah kerugian meningkat kepada RM684.5 juta pada tahun 2022 berbanding RM560.8 juta bagi tahun 2021.

Manakala itu, di Sarawak, statistik PDRM menunjukkan kes jenayah komersial pada tahun 2022 adalah sebanyak 2,461 kes bersamaan 8.3% dari keseluruhan kes jenayah komersial di Malaysia membabitkan kerugian sejumlah RM63.7 juta dengan 1,050 tangkapan.

Sidang media bersama Premier Sarawak setelah selesainya Majlis Perasmian

Mengikut unjuran kerugian, ‘macau scam’ adalah yang tertinggi dengan kerugian RM13 juta melibatkan 246 kes, diikuti kes tipu menyamar kenalan dengan kerugian RM4.2 juta melibatkan 183 kes manakala, kes penipuan pekerjaan dalam talian pula melibatkan 225 kes dengan kerugian sebanyak RM2.9 juta.

Menurut beliau, data ini memperlihatkan bahawa rakyat Sarawak khususnya dan Malaysia amnya turut terdedah kepada risiko jenayah kewangan yang serupa.

Oleh itu strategi dan pendekatan serta pelan tindakan yang lebih berkesan mesti dan perlu dilaksanakan dengan lebih cekap dan berkesan bagi membendung risiko ini dari berleluasa.

Beliau turut menegaskan bahawa natijah atau implikasi jenayah kewangan terhadap negara dan rakyat adalah amat besar di mana ia bukan sahaja pada masa kini, tetapi melangkaui implikasi masa hadapan yang berpanjangan.

Implikasi yang utama adalah terhadap sosioekonomi dan kewangan negara di mana persepsi umum terhadap keberkesanan pentadbiran dan pengurusan kerajaan menjadi negatif.

Pelarian cukai dan penyeludupan, sebagai contoh, menafikan kerajaan dan rakyat daripada sumber yang diperlukan untuk membiayai pengurusan dan pembangunan infrastruktur negara.

Ia memberi beban yang tidak adil kepada pembayar cukai yang jujur dan memburukkan lagi ketidaksamaan dalam masyarakat. Jenayah pengubahan wang haram memberi imej yang buruk dan mengikis kepercayaan terhadap keupayaan kerajaan untuk mentadbir dengan berkesan.

Kedua, jenayah kewangan menjejaskan kestabilan dan integriti ekonomi serta sosiobudaya kerana apabila aktiviti haram tidak terkawal, persekitaran dan iklim pelaburan tidak menentu, pelabur domestik dan asing takut untuk terlibat menyertai ekonomi lantaran ketidaktentuan ini.

Keadaan Ini seterusnya menjurus kepada penurunan aktiviti ekonomi, kehilangan pekerjaan dan pertambahan kadar pengangguran.

Rakyat akan resah dengan ketidaktentuan ini dan memungkinkan ketidakadilan sosial berlaku. Rentetan itu, pelbagai permasalahan berlaku, termasuk penurunan kualiti hidup rakyat.

Ketiga, jenayah kewangan turut membawa kesan sosial dan politik yang tidak stabil kerana akan berlaku ketirisan sumber negara, dana yang tidak diurus dengan cekap, menghalang mobiliti sosial, menambah jurang antara yang kaya dan miskin, yang tidak berkuasa dengan yang memegang tampuk kepimpinan dan kuasa yang akan mewujudkan rasa ketidakadilan dalam masyarakat.

Fokus dan keutamaan perlu diberikan untuk menjaga kepentingan dan kesejahteraan rakyat daripada menjadi mangsa jenayah dan penjenayah.

Adalah amat penting dan signifikan untuk mengurangkan ‘volume’ dan impak peningkatan kadar jenayah kewangan ini.

Dari perspektif pembinaan negara pula terutamanya di Sarawak yang bakal melangkah ke arah negeri maju di tahun 2030, semua kita perlu mengambil langkah proaktif bagi memastikan hasil negara yang terhad disalurkan sepenuhnya untuk pembinaan negara dan tidak tiris yang rakus diambil oleh penjenayah sebagai hasil haram mereka.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article